logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PENDEKATAN KONSULTATIF PENTING DALAM MENANGANI ISU ANTARA
UNIVERSITI DAN PERTUBUHAN PELAJAR


Saya mengikuti perkembangan terkini yang melibatkan isu Letter of Demand (LOD) yang dihantar oleh pihak Universiti Malaya kepada sebuah pertubuhan pelajar berkaitan penggunaan logo Universiti Malaya.

Sehubungan itu, saya telah mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan Universiti Malaya bagi memahami secara lebih terperinci perkara yang telah berlaku.

Kementerian Pendidikan Tinggi berpandangan bahawa perkara seperti ini sebaiknya ditangani melalui pendekatan yang lebih konstruktif dan berhemah. Isu berkaitan penggunaan identiti atau logo universiti, sekiranya timbul kekeliruan atau pelanggaran prosedur, wajar diselesaikan terlebih dahulu melalui perbincangan dan konsultasi antara pihak universiti dan pihak pelajar.

Pendekatan dialog dan rundingan adalah lebih selari dengan semangat ekosistem universiti yang berteraskan keterbukaan, pendidikan serta pembangunan kepimpinan mahasiswa.

Saya juga berpandangan bahawa perkara sebegini tidak seharusnya dipanjangkan sehingga ke peringkat tindakan undang-undang sekiranya masih terdapat ruang untuk penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak.

Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa persatuan atau gerakan pelajar yang aktif, sama ada berdaftar secara rasmi dengan universiti ataupun tidak, perlu sentiasa menghormati peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak universiti, khususnya dalam hal yang melibatkan penggunaan nama, logo dan identiti institusi.

Sekiranya terdapat persatuan yang tidak berdaftar, pihak universiti juga boleh mengambil pendekatan yang lebih mendidik dengan memanggil serta memberikan panduan yang sewajarnya kepada mereka.

Saya berharap pihak Universiti Malaya akan mengambil langkah yang lebih proaktif dan konsultatif dalam menangani isu ini, manakala pihak pelajar pula diharapkan dapat mendekati perkara ini dengan sikap terbuka serta semangat untuk mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.

Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa menggalakkan budaya dialog, persefahaman dan saling menghormati dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

DR. ZAMBRY ABD KADIR
Menteri Pendidikan Tinggi
12 Mac 2026

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media - Pendekatan Konsultatif Penting Dalam Menangani Isu Antara Universiti dan Pertubuhan Pelajar(128 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 171
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 13 Mac 2026, 07:36:41.

logo-sirim