KENYATAAN MEDIA
PEMBANGUNAN KERANGKA PERUNDANGAN BAHARU PENDIDIKAN TINGGI
Susulan pengumuman YAB Perdana Menteri pada 15 Ogos 2026 berhubung pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 Akta 30, Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 19 Ogos 2026 telah bersetuju supaya kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi dibangunkan melalui pendekatan One Higher Education Act (OHEA), selaras dengan Inisiatif 5A.2 di bawah Lonjakan Kelima Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Keputusan ini merupakan langkah penting dalam pembaharuan pendidikan tinggi negara. Tumpuan Kerajaan bukan sekadar menggantikan AUKU, tetapi untuk membangunkan suatu kerangka perundangan yang lebih komprehensif, jelas dan responsif terhadap keperluan pendidikan tinggi masa kini dan masa hadapan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan proses ini secara terbuka, tersusun dan inklusif melalui empat langkah utama:
i. Menubuhkan Jawatankuasa Bebas untuk menjalankan kajian dan mengemukakan syor;
ii. Melaksanakan libat urus menyeluruh bersama semua pemegang taruh dalam ekosistem pendidikan tinggi;
iii. Memuktamadkan kerangka dasar dan perundangan sebagai asas kepada Rang Undang-Undang baharu; dan
iv. Menyediakan mekanisme peralihan bagi memastikan kesinambungan tadbir urus dan operasi institusi.
Proses ini akan dilaksanakan secara teliti bagi memastikan pemansuhan AUKU tidak mewujudkan kelompangan perundangan atau menjejaskan kesinambungan tadbir urus dan pengoperasian institusi pendidikan tinggi.
Matlamat akhirnya adalah untuk membangunkan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berpandangan jauh, yang dapat memperkukuh institusi, melindungi kepentingan seluruh warga pendidikan tinggi serta menyediakan ruang yang lebih luas untuk autonomi, inovasi dan perkembangan pendidikan tinggi negara.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
20 Ogos 2026
Muat Turun:
pdf Kenyataan Media - Pembangunan Kerangka Perundangan Baharu Pendidikan Tinggi(169 KB)
- Last updated on .
- Hits: 76
