logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KPT MULAKAN LANGKAH SEGERA KE ARAH PEMANSUHAN
AUKU


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil langkah segera untuk memperluas kebebasan bersuara dan hak berpersatuan mahasiswa, seiring dengan penegasan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 13 berkaitan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30] (AUKU).

Dalam forum tersebut, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa sementara proses pembangunan kerangka perundangan baharu dilaksanakan, langkah-langkah yang boleh memberikan lebih kebebasan kepada mahasiswa perlu dilaksanakan segera, tanpa perlu menunggu keseluruhan proses penggubalan akta baharu selesai.

Sehubungan itu, KPT telah meneliti langkah-langkah yang boleh dilaksanakan dalam kerangka perundangan sedia ada bagi menterjemahkan penegasan tersebut dengan segera.

Beberapa peruntukan dalam AUKU serta Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pemakaian sebagai langkah pelaksanaan segera. Antaranya ialah :

i.    Kebebasan pengurusan persatuan dan kelab:
ii.   Kebebasan pengurusan aktiviti pelajar; dan
iii.  Kebebasan bersuara, berhimpun, penggunaan platform komunikasi dan pengedaran serta penerbitan dokumen.

Selaras dengan langkah tersebut, KPT ingin mengumumkan bahawa semua prosiding tatatertib berkaitan dengan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti awam hendaklah dihentikan berkuat kuasa serta merta.

Pada masa yang sama, kebebasan tersebut perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab dan keluhuran undang-undang. Perbuatan yang melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta, kesalahan jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertib yang sah tetap tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Manakala bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tidak tertakluk kepada AUKU, penelitian yang sama akan dilaksanakan terhadap peruntukan masing-masing yang berkaitan mahasiswa agar selaras dengan langkah pembaharuan yang dilaksanakan di bawah AUKU.

KPT terus komited meneruskan pembangunan tatakelola pendidikan tinggi yang terbuka, tersusun dan inklusif melalui penglibatan semua pemegang taruh bagi memastikan penghasilan satu ekosistem pendidikan tinggi masa hadapan negara yang berkualiti.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
28 Ogos 2026

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media - KPT Mulakan Langkah Segera Ke Arah Pemansuhan AUKU(185 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 64
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 28 Ogos 2026, 03:02:14.

logo-sirim