TEKS UCAPAN
YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED BIN NORDIN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
SEMINAR PERANCANGAN HALA TUJU
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2024
23 NOVEMBER 2023
Pengurusan Tertinggi Kementerian, tuan-tuan dan puan-puan,
- Pada kesempatan ini, saya ingin menegaskan. Biar apa pun perancangan serta penetapan hala tuju yang kita lakukan hari ini, semua itu harus dipimpin beberapa perkara secara tegas dan jelas.
- Pertama, bahawa KPT dan semua agensi di bawahnya, mesti menjadi kementerian yang berpandukan prestasi.
- Sebagai Kementerian yang menerima peruntukan kelima terbesar dalam Belanjawan 2024, kita tidak boleh sama sekali mengecewakan negara.
- Selain memastikan kita mempunyai perancangan yang baik, kita mesti turut memastikan kelancaran pelaksanaan segala perancangan yang kita lakukan tersebut.
- Malah, kita tidak boleh bergerak secara biasa-biasa. Kita mesti menonjolkan pemikiran serta prestasi yang cemerlang dan menjadi contoh kepada yang lain.
- Kedua, biar apa pun perancangan dan hala tuju yang kita tetapkan hari ini, kita tidak boleh sama sekali tergelincir daripada mandat dan tugas utama kita.
- Iaitu mendidik dan melahirkan bakat Menyelidik dan meneroka ilmu terkini serta mengembalikan semua manfaat tersebut kepada masyarakat dan negara.
- Mandat ini mesti kekal sebagai tugas dan keutamaan kita.
- Justeru, dalam melunaskan tugas dan tanggungjawab ini, saya ingin menyarankan beberapa perkara yang wajar menjadi fokus kita pada tahun hadapan.
- Pertama, Kementerian bukan sahaja perlu serius dalam menjayakan agenda pendigitalan dan kita mesti memanfaatkan sebaik mungkin kelebihan pelbagai teknologi.
- Melalui pendigitalan dan pengaplikasian pelbagai teknologi terkini, kita akan dapat bergerak dan berfungsi dengan lebih cekap, pantas dan berkesan.
- Malah, kita akan berupaya untuk meneliti pelbagai isu dengan lebih menyeluruh dan mendalam. Terutamanya yang melibatkan data dan pemantauan.
- Kedua, saya juga ingin menyarankan agar hala tuju kementerian ditetapkan dengan cara yang akan turut melonjakkan pelbagai agensi dan segmen lain dalam sektor pendidikan tinggi.
- Bukannya memfokuskan hanya pada kecemerlangan akademik di IPTA.
- Sebaliknya, kita mesti turut memberi fokus yang serius untuk melonjakkan aspek-aspek seperti:
- merancang bagaimana untuk kita memposisikan IPTS supaya menjadi pelengkap dan segmen pendidikan tinggi yang berdaya saing,
- mengoptimumkan kepakaran dan sumbangan HPU-HPU yang kita miliki kepada negara, sama ada kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mahupun melalui sumbangan dan perkhidmatan kepada masyarakat awam,
- memposisikan program-program mobiliti dan edu-tourism dengan lebih strategik dan rancak.
- Yang penting, kita mesti melihat dan menampilkan pendidikan tinggi sebagai satu sektor yang mempunyai pelbagai cabang dan kekuatan tersendiri dalam menyumbang kepada negara.
- Ketiga, saya sarankan juga agar kementerian memberikan perhatian kepada pelbagai amalan terbaik yang boleh kita pertimbang dan sesuaikan dengan kementerian.
- Ini termasuklah untuk kita mula mengadun secara berperingkat aspek ESG dan SDG yang kini menjadi sandaran serta mega trends dunia.
- Bagi menjayakan semua ini, kita mesti memberi perhatian kepada beberapa amalan dan cara kerja yang merentas jabatan, bidang tugas serta perkara fokus.
- Pertama, pastikan segala penetapan hala tuju dan sasaran kita adalah praktikal dan bersesuaian dengan kapasiti Kementerian. Paling penting, pastikan semua sasaran tersebut mempunyai keupayaan untuk dinilai secara objektif dan jelas.
- Kedua, berikan perhatian kepada aspek mengukuhkan kapasiti dan keupayaan sumber manusia.
- Untuk menjadi Kementerian terbaik, kita mesti digerakkan oleh pasukan dan sumber manusia terbaik. Mereka yang terlatih dan mendapat pendedahan yang mencukupi dan bersesuaian dengan fungsi dan peranan.
- Dalam hal ini, AKEPT mesti digerakkan dan dimanfaatkan secara optimum. Sekurang-kurangnya untuk memberi pandangan dan nasihat berkaitan dengan program latihan terbaik yang boleh dipertimbang oleh Kementerian.
- Ketiga, mempunyai pelan tindak balas atau contigency plan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
- Biar apa pun cabaran, kejutan atau ketidaktentuan masa depan, KPT tidak boleh sama sekali lumpuh dan gagal beradaptasi dengan pantas dan berkesan.
- Keempat, kita mesti bekerja secara berkumpulan.
- Kita tidak boleh terus bekerja in silo dan melihat fungsi masing-masing secara terpisah dan berasingan.
- Perkongsian sumber, maklumat, kepakaran serta tenaga kerja mesti menjadi budaya yang diamalkan oleh semua secara serius dan strategik.
- Kelima, memberikan yang terbaik melebihi apa yang diminta dan sentiasa meletakkan agenda dan kepentingan nasional sebagai fokus dan keutamaan.
- Kerana semua ini akhirnya adalah sumbangan, darma bakti dan pemberian kita pada bangsa dan tanahair.
- Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua. Saya percaya, semua pihak akan sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada KPT.
- Terima kasih atas kerja keras dan sumbangan semua pihak. Semoga KPT atas terus cemerlang pada tahun hadapan, insya-Allah.
Muat Turun:
pdf Teks Ucapan YBM Seminar Perancangan Hala Tuju KPT 2024.pdf (215 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 19198