logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PELANCARAN MYBRAIN 2.0 DAN PENYAMPAIAN
SURAT TAWARAN PENAJAAN TAHUN 2023

26 OKTOBER 2023


  1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama menzahirkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita semua dapat bersama-sama pada hari ini sempena Majlis Pelancaran MyBrain 0 dan Penyampaian Surat Tawaran Penajaan KPT Tahun 2023.
  1. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang hadir bagi menjayakan majlis pelancaran ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Peningkatan lebih ramai rakyat Malaysia yang memiliki kelulusan pengajian di peringkat tertinggi, akan menjadi pemangkin pembangunan yang meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk mencapai status negara maju lagi sejahtera.
  1. Dalam konteks ini, KPT selaku pemegang taruh utama dalam proses pembangunan bakat dan minda negara, berperanan memastikan segala potensi yang ada dilonjakkan dengan sebaik-baiknya.
  1. Dalam hal ini, memastikan wujudnya saluran biasiswa atau program pembiayaan yang bersesuaian adalah salah satu tugas paling kritikal yang perlu diusahakan oleh kementerian ini.
  1. Dan biasiswa atau pembiayaan ini pula secara asasnya mesti distrukturkan untuk mencapai fungsi dan matlamat yang bersifat serampang dua mata.
  1. Pertama, memastikan akses kepada pendidikan tinggi kepada golongan sasar yang layak serta mereka yang memerlukan.
  1. Kedua, biasiswa atau program pembiayaan bertindak sebagai satu pengiktirafan secara langsung kepada mereka yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang yang dipilih.
  1. Atas dasar itu, majlis pada hari ini bukan sahaja untuk kita memberi penawaran penajaan dan meraikan mereka yang layak.
  1. Tetapi, juga merupakan ruang dan peluang untuk pihak kementerian kongsikan dengan semua  pihak  beberapa  perubahan  dan penambahbaikan yang dilakukan oleh KPT berkaitan dengan biasiswa dan penajaan.
  1. Pertama sekali, suka untuk saya maklumkan bahawa secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 18 program penajaan di bawah KPT.
  1. Program-program biasiswa dan penajaan ini ditawarkan dalam pelbagai bentuk dan mensasarkan kumpulan penerima daripada pelbagai kumpulan sasar melibatkan warganegara Malaysia dan pelajar antarabangsa.
  1. Antara program penajaan yang ditawarkan adalah:
  1. Pertama, Skim Latihan Akademik Bumiputra (SLAB) dan program Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI). Kedua-dua program ini merupakan program terawal yang ditawarkan oleh KPT sejak tahun 2006 dan dikhususkan untuk pegawai yang sedang berkhidmat seperti tenaga pengajar di Universiti Awam. Kedua-dua program penajaan SLAB dan SLAI melibatkan sasaran seramai 1113 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak 68 juta.
  2. Kedua, program Sub-Kepakaran, Pasca Kedoktoran dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) yang mensasarkan seramai 628 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak 71 juta.
  3. Ketiga, program Tokoh Siswa dan Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik dengan sasaran seramai 254 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak 9 juta.
  4. Keempat, Program MyBrainScience yang mensasarkan seramai 642 penerima dalam bidang sains tulen sebagai usaha melahirkan masyarakat yang inovatif dan berkepakaran tinggi. MyBrainScience melibatkan peruntukan sebanyak 65 juta.
  5. Kelima, Bantuan Kewangan Asasi dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK) dengan sasaran seramai 20,725 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak 5 juta.
  6. Keenam, Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) dan Program Pendidikan Khas (PPK) dengan sasaran seramai 700 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7.4 juta.
  7. Ketujuh, bermula pada tahun lepas, Program Dermasiswa B40 TVET telah dilancarkan khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET. Program penajaan ini melibatkan seramai 1000 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak 5 juta.
  8. Kelapan, KPT juga mempunyai 100 penerima baharu di bawah Program Biasiswa Atlet Cemerlang IPT. Para penerima biasiswa ini adalah antara mereka yang telah memberikan sumbangan pingat semasa Sukan Asia 2023 di Huangzhou tempoh hari. 

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Selain daripada 18 program penajaan dan biasiswa yang sedia ada, KPT akan turut menambah dan melebarkan cakupan program dan bidang yang akan ditaja.
  1. Justeru, perkara kedua yang ingin saya kongsikan hari ini adalah pengenalan dan pelaksanaan semula program biasiswa MyBrain15 yang akan dikenali sebagai MyBrain 2.0.
  1. Program MyBrain15 adalah merupakan di antara produk KPT yang berimpak tinggi yang pernah diperkenalkan mulai 2011 namun dihentikan pada tahun 2016.
  1. Program ini bertujuan meningkatkan jumlah pemegang ijazah lanjutan untuk memenuhi keperluan modal insan intelektual dan kepakaran tempatan bagi menyokong pembangunan negara.
  1. Justeru, setelah mengambil kira potensinya, dan usaha Kerajaan dalam meramaikan golongan intelektual serta pakar bagi menyokong matlamat kesejahteraan pembangunan negara, Kerajaan telah bersetuju untuk memperkenal dan melaksanakan semula program biasiswa ini pada tahun 2024.
  1. Selain dikenali dengan nama MyBrain 2.0, program biasiswa ini akan menyaksikan beberapa pengukuhan daripada aspek cakupan dan pelaksanaannya.
  1. Ini termasuklah pengemasan kontrak bagi mengelakkan pelanggaran terma penajaan dan pengukuhan sistem yang lebih bersifat digital dan mesra pengguna.
  1. Secara umumnya, KPT menyasarkan seramai 500 penerima bagi setiap tahun dalam kalangan orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap termasuklah pensyarah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.
  1. Untuk program ini, KPT akan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi setiap ambilan dengan sasaran penerima seramai 500 orang setahun dalam bidang-bidang yang kompetitif di pelbagai peringkat.
  1. Dan untuk makluman semua, biasiswa MyBrain 2.0 ini boleh dimohon oleh semua yang layak bermula Januari tahun 2024.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Kerajaan sentiasa menitikberatkan soal kebajikan pelajar tajaan dan serius membantu menangani cabaran kenaikan kos sara hidup yang dihadapi.
  1. Justeru, perkara ketiga yang ingin saya umumkan adalah bahawa KPT telah bersetuju untuk menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) kepada pelajar yang sedang dan akan ditaja.
  1. Kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar sedia ada dan baharu di bawah Program Penajaan KPT ini, antara lain, adalah seperti berikut:
    1. Kenaikan kadar ESH sebanyak 15% kepada pelajar sarjana dan PhD sedia ada dan baharu luar negara di bawah Program MyBrainScience;
    2. kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu di UK diseragamkan dan tidak lagi mengikut kawasan memandangkan perbezaan indeks kos sara hidup di antara kawasan-kawasan yang berlainan;
    3. begitu juga kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu di Amerika Syarikat diseragamkan daripada 3 kadar kepada dua kadar sahaja.
  1. Selain itu, KPT akan turut menaikkan kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu bagi program-program penajaan dalam negara. Ini termasuklah:
  1. kenaikan kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu yang menerima biasiswa dan dermasiswa dalam negara sebanyak RM100 sebulan. Kenaikan ini akan melibatkan penerima Biasiswa Atlet Cemerlang IPT, Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik, Biasiswa Tokoh Siswa, Dermasiswa B40 TVET dan Program MyBrain 2.0.
  2. selain itu, KPT akan menyeragamkan ESH pelajar sedia ada dan baharu kepada hanya satu kadar mengikut peringkat pengajian iaitu Ijazah Sarjana Muda (RM730), Ijazah Sarjana (RM800) dan PhD (RM1,000). Walau bagaimanapun, penyeragaman ini tidak melibatkan program MyBrainScience kerana kadar ESH sedia ada program tersebut adalah lebih baik daripada program-program lain sedia ada.
  3. dan yang terakhir, kenaikan RM100 sebulan ESH/Elaun Wang Saku juga diperluaskan kepada pelajar-pelajar B40 (Bantuan Kewangan Asasi IPTA dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti) dan OKU (Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya dan Program Pendidikan Khas).
  1. Walaubagaimanapun, kadar ESH yang dinikmati oleh pelajar dalam kalangan pegawai awam dalam perkhidmatan sama ada sedia ada dan baharu dalam dan luar negara dikekalkan.
  1. Ini kerana, kenaikan kos sara hidup dilihat mampu diserap oleh pegawai yang mengikuti pengajian dalam dan luar negara kerana mereka turut menerima gaji bulanan penuh secara tetap selain ESH.
  1. Secara keseluruhan, kenaikan kadar ESH ini melibatkan pertambahan implikasi kewangan dengan anggaran sebanyak 78 juta setahun mulai 2024 dan akan memanfaatkan seramai 24,729 pelajar tajaan KPT.

Para hadirin sekalian,

  1. Antara pendekatan baharu program penajaan KPT ialah mengadakan kolaborasi dengan pihak industri daripada segi penajaan dan sumbangan kepada bidang penyelidikan negara.
  1. Oleh itu, perkara keempat yang saya ingin umumkan pada hari ini adalah usaha sama antara 5 buah universiti awam dan pihak YTL Cement.
  1. 5 buah universiti awam yang terlibat adalah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak.
  1. Usaha sama ini akan menumpukan kepada aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri yang bakal ditubuhkan bagi menyediakan peluang biasiswa di peringkat pasca siswazah, khususnya kepada pelajar cemerlang di dalam negara.
  1. Lebih menarik, pembentukan Konsortium Penyelidikan Universiti- Industri ini merupakan usaha pertama yang diperkenalkan di negara 
  1. Ia bertujuan membina jaringan kerjasama universiti dan industri dengan cara yang lebih berkesan bagi memastikan penyelidikan pasca-siswazah di universiti relevan dengan keperluan negara.
  1. Justeru hari ini kita akan bersama-sama menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kementerian Pendidikan Tinggi dengan YTL Cement bagi tujuan usaha sama selama lima tahun.
  1. Di bawah usaha sama ini, pihak YTL Cement akan menyediakan geran padanan bernilai 6 juta untuk menaja pelajar pasca siswazah bagi Program Sarjana dan Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang pengajian.
  1. Sasaran utama usaha sama ini adalah untuk membina kapasiti dan kepakaran yang boleh membantu negara memulihara warisan landskap kars batu kapur serta penggunaan sumber secara lestari.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Bagi menjayakan inisiatif pemberian biasiswa dan bantuan kewangan secara bersasar ini, KPT menerima peruntukan yang besar daripada pihak Kerajaan.
  1. Dalam pembentangan bajet tempoh hari, KPT telah diperuntukkan sebanyak RM206 juta (iaitu RM200 juta untuk belanja mengurus dan RM6 juta peruntukan pembangunan) bagi keseluruhan program penajaan tahun 2024.
  1. Jadi, terima kasih sekali lagi daripada seluruh warga KPT akan keprihatinan dan sokongan pihak Kerajaan.

Hadirin yang saya muliakan,

  1. Memandangkan hari ini kita akan turut menyaksikan penyampaian surat tawaran program-program penajaan KPT kepada para pelajar yang berjaya terpilih, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima.
  1. Selamat maju jaya saya ucapkan kepada semua.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Program My Brain 2.0.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan Menteri KPT Pelancaran MyBrain 2.0 Penyampaian Surat Tawaran Penajaan 2023.pdf (301 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 13666
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 01:33:11.

logo-sirim