logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PELANCARAN DUAL CAMPUS MSU SHAH ALAM DAN MSU JAKARTA & PROGRAM ‘DOUBLE DEGREE’ ANTARA MSU, UNIVERSITAS AIRLANGGA (UNAIR) DAN JAKARTA GLOBAL UNIVERSITY (JGU)

13 MAC 2023


Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Terlebih dahulu marilah kita sama-sama melafazkan kesyukuran kepada Allah S.W.T.
  1. Alhamdulillah, dengan limpahan rahmat-Nya jua, kita semua berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada satu lagi pencapaian bermakna sektor pendidikan tinggi Malaysia.
  1. Sebenarnya ini adalah lawatan kali kedua saya ke MSU Shah Alam. Jadi, terima kasih saya ucapkan kepada Prof. Tan Sri Dato Wira Dr. Mohd Shukri dan seluruh warga MSU atas undangan ini.
  1. Saya amat berbesar hati atas undangan ini.
  1. Bagi pihak Kementerian, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas Pelancaran “Dual Campus” antara MSU Shah Alam dengan MSU Jakarta, Indonesia, serta pelancaran program “Double Degree” di antara MSU dengan Universitas Airlangga (UNAIR) dan juga Jakarta Global University (JGU) bersama UNAIR.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Sebelum ini, perkara yang sering menjadi fokus banyak pihak apabila kita bercakap tentang pendidikan tinggi adalah perbezaan antara IPT Awam dan IPT Swasta.
  1. Yang manakah lebih baik. Yang manakah lebih diiktiraf. Dan yang manakah akan diberikan perhatian oleh pihak Kerajaan.
  1. Saya ingin nyatakan di sini, perbezaan dan pengelasan sebegitu tidak harus lagi berlaku. Setidak-tidaknya di bawah pentadbiran saya.
  1. Ini kerana, saya percaya bahawa kedua-dua IPTA dan IPTS memainkan peranan yang sama penting dan sama kritikal. Kedua-duanya adalah the Malaysian universities. Kedua-duanya membawa panji dan nama baik Malaysia secara seimbang dan tersendiri.
  1. Sebab itulah, apabila MSU memaklumkan kepada pihak saya berhubung pembukaan kampus MSU Jakarta dan pelancaran program dual degree bersama 2 rakan strategik dari Indonesia ini, saya sejujurnya sangat gembira dan teruja.
  1. Walaupun sesi perbahasan Parlimen masih berlangsung, dan KPT hari ini dijadualkan memberi jawapan lisan di Dewan Rakyat, saya memilih untuk bersama-sama di dalam majlis ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Abad ke 21 merupakan abad yang sangat mencabar. Khususnya kepada sektor pendidikan tinggi.
  1. Pertama, perkembangan teknologi menjadikan ilmu dan pengetahuan bergerak dengan sangat pantas.
  1. Kedua, kita berhadapan dengan tuntutan dan desakan untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja pintar. Tetapi serba boleh dalam pelbagai bidang.
  1. Ketiga, kita mempunyai sumber dan dana yang terhad.
  1. Ketiga-tiga perkara ini menuntut kesemua pihak sama ada kementerian mahupun pihak IPT untuk melakukan 2 anjakan penting.
  1. Pertama, menyemak semula fokus dan strategi kita dalam menjayakan agenda pendidikan tinggi.
  1. Kedua, merancakkan kerjasama dan menjalinkan hubungan yang strategik dengan semua pihak. Sama ada di dalam, mahupun di luar negara. Khususnya di pihak universiti.
  1. Universiti kita mesti keluar dari zon selesa, mesti keluar dari sempadan negara dan mesti keluar dari belenggu konvensional.
  1. Sama ada dalam cara mengajar, melakukan penyelidikan, mencari bakat terbaik mahupun memastikan kemandirian bakat, kita mesti sentiasa meneroka jalan dan peluang baharu.
  1. Lebih penting, kedua-dua anjakan yang saya anjurkan ini, mesti dilakukan dengan mengambil kira 2 angkubah yang kritikal, yang sekarang ini menjadi mega trend dunia.
  1. Iaitu, pertama, memastikan kita melengkapkan universiti dengan kemodenan pendigitalan. Dan kedua, memastikan operasi dan amalan universiti harus menyahut seruan kelestarian.
  1. Pendigitalan dan ESG adalah mantera global yang tidak boleh kita ketepikan dalam merencana masa depan pendidikan tinggi.
  1. Apatah lagi universiti hari ini diharapkan menjadi sebahagian daripada enjin pertumbuhan kepada negara, melantun agenda dan misi nasional serta menyumbang idea dan solusi kepada masalah dan isu nasional.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  1. Setakat Jun 2022, terdapat seramai 10,607 pelajar Indonesia di Malaysia. Dan seramai 1398 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian tinggi di Indonesia. Sekali pun memberangsangkan, jumlah ini sebenarnya boleh ditambah baik.
  1. Justeru, pelancaran program dual kampus MSU dan juga program “double degree” hari ini, harus menjadi satu manifestasi yang membuktikan keupayaan sektor pendidikan tinggi Malaysia dalam mengangkat kecemerlangan merentas sempadan.
  1. Perkara ini sangat bertepatan dengan cita-cita saya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab atau pusat pengembangan bakat yang dihormati dunia.
  1. Malaysia harus menonjolkan diri sebagai kota ilmu dan bakat.
  1. Kita mesti menarik bakat-bakat terbaik dunia, khususnya dari negara-negara membangun untuk datang ke sini.
  1. Negara-negara dunia mesti diyakinkan untuk menghantar bakat terbaik dan pemimpin pelapis mereka yang paling berpotensi untuk diasuh dan digilap di Malaysia.
  1. Mereka mesti memilih Malaysia sebagai batu loncatan kepada kerjaya yang lebih besar, inovasi yang lebih terkini dan sumbangan yang lebih bermakna kepada masyarakat serantau mahupun warga dunia.
  1. Saya sedar ini adalah cita-cita yang besar. Tetapi saya juga sedar, ia tidak sama sekali mustahil. Terutamanya apabila kita menggembleng ikhtiar secara bersama-sama.
  1. Jadi, saya harap MSU akan membantu hasrat Kementerian dengan meyakinkan lebih ramai pelajar dan bakat terbaik dari Indonesia untuk datang belajar dan dilatih di sini. Perkara ini sudah pasti akan sangat membantu keterlihatan kita di peringkat serantau.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Pada saya, Indonesia bukan sekadar negara tetangga yang besar. Indonesia adalah negeri seribu potensi.
  1. Kita mesti memaksimumkan potensi dan sumber yang mereka ada. Untuk berkongsi kepakaran. Belajar sesama kita. Dan berusaha secara strategik untuk meningkatkan kredibiliti dan kualiti pendidikan tinggi di kedua-dua negara.
  1. Saya yakin dengan keupayaan MSU untuk menyahut cabaran ini.
  1. Walaupun MSU sebenarnya telah mempunyai operasi lebih dari 17 tahun termasuklah di bandar-bandar seperti Bangalore, India dan Colombo, Sri Lanka, saya yakin pelaksanaan “dual campus” di Indonesia dengan kerjasama antara kampus MSU Shah Alam dan kampus MSU Jakarta, serta Jakarta Global University (JGU) ini memberi satu lonjakan baharu yang bernilai kepada MSU.
  1. Apatah lagi kerjasama kedua-dua kampus MSU Shah Alam dan MSU Jakarta serta JGU, turut melibatkan kerjasama dengan Universitas Airlangga (UNAIR) bagi menawarkan program secara double degree yang semakin mendapat perhatian dalam pembelajaran global.
  2. Saya yakin, penawaran program seperti ini akan memperkaya secara signifikan pengalaman para pelajar bukan sahaja dari kedua-dua negara tetapi pelajar dari seluruh dunia yang mengikut program ini.
  1. Malah, dengan kerjasama dan penawaran program ini, pengalaman MSU sendiri sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi serantau akan bertambah dan berkembang.

Hadirin yang saya hormati,

  1. Sekali lagi saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada MSU atas pembukaan dual campus MSU Jakarta serta pelancaran program double degree
  1. Saya ucapkan selamat maju jaya.
  1. Semoga kejayaan dan pencapaian ini akan menjadi suntikan semangat untuk kita sama-sama terus mengimport masuk dan mengeksport keluar ilmu, kepakaran serta sumbangan terbaik dalam pembentukan generasi masa depan yang berkualiti.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya melancarkan “Dual Campus” Management & Science University (MSU) di antara MSU Shah Alam dan MSU Jakarta, serta Pelancaran Program “Double Degree” di antara MSU dengan Universitas Airlangga (UNAIR) dan Jakarta Global University (JGU).

Sekian.Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM KPT Sempena Pelancaran MSU Jakarta .pdf (153 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 11798
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 03 Oktober 2024, 04:17:23.

logo-sirim