logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI & SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA: PROGRAM GRADUAN PASARAN MODAL

10 APRIL 2023 (ISNIN)


Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian;

1. Alhamdulillah, marilah kita semua meninggikan pujian dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpahan kurnia dan rahmatNya, kita berkesempatan menyempurnakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

2. Terima kasih kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atas jemputan dan kerjasama ini. Saya percaya, majlis pada hari ini sangat penting.

3. Ia bukan sahaja selari dengan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memastikan kebolehpasaran graduan dapat ditingkatkan.

4. Malah, ini adalah satu lagi bentuk kerjasama yang inovatif antara kementerian dan penggerak industri seperti SC.

5. Khususnya dalam industri yang bersifat spesifik dan memerlukan pendedahan teknikal dari mereka yang profesional dan berautoriti.

6. Saya percaya pasaran modal dan sekuriti adalah satu industri yang berpotensi besar. Malah, industri ini menawarkan satu bentuk kerjaya yang menarik, mencabar dan lumayan.

7. Jadi, pendedahan serta latihan berstruktur kepada graduan kita dalam industri dan pasaran ini sudah pastilah sesuatu yang sangat dialu-alukan.

8. Lebih-lebih lagi apabila fokus kementerian bukan sahaja mahu meningkatkan kebolehpasaran graduan.

9. Namun, memastikan yang sebahagian besar graduan kita berupaya mendapat peluang pekerjaan dengan gaji atau pulangan premium yang melebihi pendapatan asas pemegang ijazah.

10. Kegagalan pasaran untuk menawarkan pendapatan premium adalah antara punca yang menolak keluar modal insan kita ke negara-negara jiran, sekali gus mengurangkan kepakaran dan bakat dalam negara.

11. Oleh sebab itulah, kita sangat berharap yang pihak industri di Malaysia akan bersedia untuk melatih mereka dengan pengetahuan teknikal yang sesuai dan bernilai tinggi.

12. Perkara ini lebih kritikal memandangkan banyak industri yang sedang berhadapan dengan kekurangan bakat terbaik. Fenomena global ini memberi impak serius yang merentas sempadan dan disiplin ilmu.

13. Saya difahamkan dalam pasaran modal sendiri, khususnya di syarikat-syarikat audit dan bank pelaburan, defisit tenaga mahir telah mencecah ke tahap 30-40 peratus daripada jumlah yang diperlukan.

14. Sehubungan itu, kolaborasi strategik yang akan dimeterai hari ini antara SC dan KPT melalui inisiatif Program Graduan Pasaran Modal atau Capital Market Graduate Programme (CMGP) boleh menjadi satu ikhtiar ke arah mengatasi masalah yang sedang kita hadapi.

Hadirin dan hadirat,

15. Saya berharap dengan termeterainya MOU pada hari ini, universiti-universiti juga akan menyahut cabaran untuk terlibat dengan lebih agresif dan bermakna.

16. Khususnya dalam membantu perlaksanaan CMGP terutamanya dengan menyediakan graduan atau bakat yang bersesuaian untuk menyertai program ini.  

17. Pihak universiti mesti menggunakan ruang dan peluang ini untuk merancakkan proses hebahan. Sesi perkongsian mesti diadakan dengan lebih kerap dan berkesan, di dalam dan luar universiti.

18. Bukan sahaja melalui program yang disusun dan dilaksanakan bersama-sama dengan SC di bawah CMGP ini. Tetapi juga melalui inisiatif tambahan oleh pihak universiti-universiti sendiri.

19. Saya juga percaya, susulan kerjasama ini, semakan dan penyelarasan kandungan pengajian boleh dan mesti dilakukan secara strategik oleh pihak universiti.

20. Ini bagi memastikan kandungan dan cakupan pengajian di universiti berupaya menyediakan graduan dan bakat-bakat tempatan untuk menyertai industri dan pasaran sekuriti dengan lebih bersesuaian, yakin dan bersedia.

21. Saya juga sangat berharap yang pihak SC serta rakan-rakan kerjasama daripada industri seperti bank-bank pelaburan atau mana-mana penyedia perkhidmatan kewangan dan pasaran modal, boleh dari semasa ke semasa memberikan maklum balas, saranan serta kritikan membina kepada universiti-universiti kita.

22. Kementerian tidak akan bersifat apologetik atau defensif sekiranya pihak industri merasakan wujud perubahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh kementerian dan IPT kita.

23. Kesemua pihak sangat dialu-alukan untuk tampil dan memberikan pendapat secara objektif dan konstruktif. Kritiklah dengan jujur. Dan syorkanlah sebarang penambahbaikan yang dirasakan perlu dan bersesuaian.

24. Kerana akhirnya, kita sama-sama mahukan hasil yang terbaik.

25. Bukan sahaja dalam pembangunan bakat serta kapasiti graduan. Malah, dalam merancakkan industri pasaran modal dan sekuriti itu sendiri secara keseluruhannya.

26. Memandangkan inisiatif ini juga akan dipantau oleh satu Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Pengerusi SC dan dianggotai oleh wakil-wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Bursa Malaysia, serta wakil-wakil daripada industri pasaran modal, saya yakin ahli yang berada di dalam jawatankuasa ini dan mereka yang berpengalaman dalam industri mempunyai banyak saranan serta pandangan untuk dikongsikan dengan KPT dan universiti-universiti kita.

Hadirin dan hadirat sekalian,

27. Sekali lagi saya berterima kasih kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti atas kerjasama yang sangat baik ini.

28. Saya memberi jaminan bahawa KPT akan sentiasa terbuka dan menyokong kerjasama ke arah meningkatkan kebolehpasaran, kapasiti serta pengalaman para graduan negara kita.

29. Saya berharap semua pihak akan dapat mengoptimumkan manfaat serta peluang ini, insya-Allah.

30. Selamat maju jaya saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat.

Sekian terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Majlis MoU KPT x SC.pdf (87 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 8917
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 27 Mei 2024, 18:16:03.