logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS LIBAT PERASMIAN UiTM CAWANGAN JOHOR KAMPUS PASIR GUDANG
DAN
HARI INDUSTRI 2023

22 OKTOBER 2023


Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Ekosistem pendidikan tinggi negara bersifat komprehensif.
  1. Kita mempunyai pelbagai bentuk institusi untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat dan negara.
  1. Dan dalam segala bentuk dan jenis pendekatan yang ada ini, UiTM merupakan institusi yang mempunyai mandat, kedudukan dan keunikan yang tersendiri.
  1. Misi dan visinya besar. Mandat dan tanggungjawabnya juga besar.
  1. Jadi, bersempena dengan hari yang bersejarah ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menegaskan beberapa perkara penting. Perkara yang saya harap akan menjadi rujukan dan peringatan buat kita semua dalam menggerakkan UiTM.
  1. Pertama, UiTM adalah nadi bangsa yang penting dan kritikal.
  1. Kelebihan dan keunikan yang ada pada UiTM membolehkannya untuk mendidik dan melahirkan generasi bijak pandai yang bukan sahaja berciri intelektual dan profesional.
  1. Sebaliknya, matang dan mampu untuk menyumbang ke arah menyeimbangkan kedudukan Bumiputera dalam perlumbaan ilmu.
  1. Justeru, UiTM mesti memahami dengan jelas fungsi dan peranannya.
  1. Universiti ini bertanggungjawab penuh dalam memastikan ilmu dan kesarjanaan menjadi perkara dasar yang berakar umbi dalam masyarakat.
  1. Khususnya dalam kalangan masyarakat Bumiputera.
  1. Selaku masyarakat yang membentuk komposisi terbesar dalam negara, penerimaan dan penghayatan masyarakat Bumiputera terhadap ilmu sangat memberi kesan kepada keseluruhan sektor pendidikan tinggi dan agenda pembangunan negara.
  1. Jika sebahagian besar masyarakat tidak dididik, tidak dipastikan berilmu dan berpengetahuan, maka, sudah pastilah kita akan berhadapan dengan seribu satu kesukaran untuk bertumbuh dan membangun.
  1. Kita percaya bahawa, tidak ada instrumen atau wahana yang lebih ampuh dalam membentuk pemikiran, kematangan dan kemajuan sesebuah masyarakat melainkan melalui jalan ilmu dan pendidikan.
  1. Jadi, adalah tidak pelik jika sokongan penuh Kerajaan terhadap institusi ini dipasak pada mandatnya yang besar dan kritikal dalam mendewasakan bangsa.
  1. Jadi, saya sangat berharap, sebagai sebuah institusi yang menjadi nadi ilmu bangsa, mandat kritikal ini tidak sama sekali dilupakan dan dibiarkan terhakis.
  1. Kedua, UiTM mesti memfokuskan kepada kualiti terbaik.
  1. UiTM adalah institusi pendidikan tinggi terbesar dengan cawangan terbanyak di negara kita.
  1. Malah, UiTM sangat berbangga dengan pemberian skrol kesejuta semasa istiadat konvokesyen pada tahun ini.
  1. Sekalung tahniah saya ucapkan atas dedikasi dan komitmen melahirkan seramai mungkin graduan. Dan sekalung tahniah atas kejayaan selama ini.
  1. Namun, fokus pada masa kini tidak lagi pada angka dan bilangan.
  1. Kita tidak lagi boleh mensasarkan kepada penghasilan graduan terbanyak sebagai matlamat kecemerlangan.
  1. Sebaliknya, penghasilan graduan terbaik mesti menjadi misi utama.
  1. Dalam dunia semasa yang kompetitif, UiTM mesti menjadi institusi yang mengutamakan kecemerlangan dan ilmu terbaik.
  1. Untuk menjadi bangsa terbaik, kita mesti memiliki ilmu terbaik.
  1. Dan apabila saya menegaskan tentang kecemerlangan, tentang kualiti dan ilmu terbaik, saya tidak sama sekali merujuk kepada kedudukan ranking atau penarafan global.
  1. Semua itu ada hasil yang bersifat secondary dan kosmetik. Ia bukan perkara pokok.
  1. Sebaliknya, kecemerlangan dan kualiti mesti dikaitkan dengan budaya ilmu yang sihat.
  1. Pengajaran dan pembelajaran yang menjurus kepada pembentukan kematangan pemikiran.
  1. Keberanian dan keterujaan meneroka ilmu dan inovasi baharu.
  1. Sumbangan kepada kesejahteraan masyarakat. Solusi kepada cabaran negara. Serta sokongan kepada agenda nasional.
  1. Malah, kedudukan kampus ini dalam sebuah bandar industri, seharusnya membolehkan UiTM Pasir Gudang secara khususnya, menjadi peneraju teknologi dan inovasi industri yang berjaya.
  1. Semua ini adalah kedinamikan dan pemboleh ubah yang mesti dirumuskan dengan pintar dan bersesuaian dalam mendefinisikan kecemerlangan UiTM.
  1. Paling penting, dengan adanya kecemerlangan yang unggul, UiTM bukan saya akan dapat membantu melonjak masa depan bangsa.
  1. Tetapi, akan secara tidak langsung berupaya menepis dan mematikan segala polemik dan prejudis terhadap penubuhan dan kewujudan institusi ini.
  1. Ketiga, UiTM mesti merancang secara strategik perjalanan masa depan institusi ini.
  1. Kita sedang berada dalam era yang sangat mencabar. Era yang sudah sangat jauh berbeza dengan zaman semasa UiTM mula-mula ditubuhkan dahulu.
  1. Ekosistem pendidikan tinggi juga bukan sahaja telah berubah dengan sangat pantas. Tetapi ada kalanya dengan cara yang tidak disangka-sangka.
  1. Malah, ekosistem pendidikan tinggi sedang berhadapan dengan asakan gelombang dan pelbagai megatrends yang menuntut kita untuk bingkas dan bergerak pantas.
  1. Jadi, adalah sangat kritikal untuk institusi sebesar dan sepenting UiTM mempunyai pelan strategik bagi mendepani masa depan.
  1. UiTM mesti memeta dengan jelas kedudukannya.
  1. Sama ada untuk tempoh 5 tahun akan datang, atau sedekad akan datang atau untuk suatu jangka yang lebih lama. Semua itu mesti mula difikirkan dan dirancang dengan teliti bermula hari ini.
  1. Saya menekankan kepentingan perancangan masa depan yang strategik ini atas beberapa sebab.
  1. Pertama, kerana kelewatan atau kegagalan kita untuk beradaptasi dengan perubahan yang drastik akan menyebabkan kita ketinggalan. Sebagai nadi ilmu bangsa, UiTM tidak boleh sama sekali ketinggalan.
  1. Kedua, jika kita tertinggal di belakang, tidak berdaya saing dan tidak bersifat terkini dan kontemporari, kita tidak akan diyakini dan dihormati.
  1. Apa lagi kehilangan dan kejatuhan paling melalukan bagi sebuah institusi ilmu, jika bukan menjadi sebuah institusi yang tidak diyakini dan dihormati.
  1. Jadi, saya harap selepas ini, kita akan dapat melihat hala tuju serta perancangan strategik UiTM dalam memeta masa depannya.
  1. Jika institusi penting seperti UiTM jelas dengan masa depannya, maka, masa depan bangsa dan negara juga akan berada dalam keadaan baik, insya-Allah.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

  1. Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada UiTM Cawangan Johor atas pembukaan Kampus Pasir Gudang ini.
  1. Tidak ada perkara yang lebih menggembirakan pihak kementerian dan saya secara peribadi selain melihat universiti kita berkembang dan menjadi semakin baik.
  1. Semoga kampus ini akan menjadi satu lagi titik kecemerlangan yang menyumbang kepada keunggulan sektor pendidikan tinggi negara.
  1. Saya doakan selamat maju jaya kepada semua.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ingin merasmikan pembukaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang.

Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Sempena Majlis Libat Perasmian UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang Dan Hari Industri 2023.pdf (214 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6647
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 03 Oktober 2024, 04:17:23.

logo-sirim