logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP DAN PERTANDINGAN AKHIR PIDATO KEBANGSAAN BAHASA MELAYU (PKBM) PIALA MENTERI PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2023 (EDISI PERTAMA)

10 OGOS 2023


Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

  1. Terlebih dahulu marilah kita semua memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT.
  1. Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua, perancangan dan usaha kita untuk menjayakan pencarian wakil Malaysia melalui Pertandingan Pidato Kebangsaan Bahasa Melayu (PKBM) Piala Menteri Pendidikan Tinggi ini akhirnya dapat kita laksanakan dengan baik dan lancar.
  1. Saya ingin merakamkan terima kasih kepada pihak penganjur dan tuan rumah atas undangan ini.
  1. Saya berbesar hati untuk bersama-sama menjayakan edisi pertama pertandingan ini yang merupakan satu penjenamaan semula daripada Pemilihan Wakil Malaysia Ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM).
  1. Setidak-tidaknya kita dapat memberi mesej kepada semua bahawa pencarian bakat untuk mewakili negara adalah sesuatu yang serius, dan mesti menjadi usaha bersama secara strategik.
  1. Di pihak kementerian, saya beri jaminan bahawa kita akan sedaya upaya memberikan sokongan yang selayaknya kepada usaha-usaha yang penting sebegini, insya-Allah.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Memandangkan pemenang pertandingan ini kelak akan mewakili Malaysia dan membawa nama baik negara ke pentas dunia, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan beberapa perkara.
  1. Khususnya dalam usaha kita mengangkat pidato sebagai seni dan kemahiran yang kritikal dan penting.
  1. Pertama, pidato adalah pentas perkongsian mimpi besar. 
  1. Terlalu banyak dalam catatan sejarah yang menunjukkan fungsi dan peranan pidato dalam mengubah mentaliti dan harapan sesebuah bangsa.
  1. Pada bulan lepas, saya berpeluang ke Indonesia dan bertemu dengan Muhammadiyah.
  1. Seperti ramai yang maklum, Muhammadiyah adalah sebuah gerakan Islam yang sangat besar dan berpengaruh di Indonesia.
  1. Selain mengasas dan membangunkan puluhan ribu sekolah agama, Muhammadiyah mempunyai sehingga 171 buah universiti di bawah naungannya.
  1. Kalau kita singkap sejarah, gerakan Muhammadiyah ini sebenarnya tercetus hasil cita-cita besar pengasasnya, Kiyai Ahmad Dahlan.
  1. Beliau digelar Sang Pencerah, kerana mahu membebaskan Indonesia daripada kejumudan, pengaruh syirik dan amalan khurafat.
  1. Beliau nekad berjuang membawa kebebasan kepada bangsa Indonesia agar mereka membuka pemikiran, mengubah cara hidup dan menerima kemodenan.
  1. Paling penting, semua itu digerakkan bukan sahaja melalui kuliah dan ceramah. Tetapi siri-siri pidato besar oleh Kiyai Ahmad Dahlan yang sentiasa berkongsikan harapan dan cita-cita besar beliau kepada bangsa dan negara.
  1. Pidato menjadi jalan beliau mengubah pemikiran Pidato menjadi instrumen untuk cita-cita besar dan mimpi beliau disampaikan kepada masyarakat awam.
  1. Jadi, saya sangat berharap, selaku mahasiswa, saudara dan saudari boleh meneladani semua ini. Iaitu menjadikan pidato sebagai platform untuk menzahirkan cita-cita besar kepada bangsa dan negara.
  1. Sebagai orang muda, sebagai mahasiswa, anda semua mesti mempunyai cita-cita dan mimpi besar untuk bangsa dan negara.
  1. Berfikirlah merentas dinding bilik kuliah dan pagar kampus. Terokalah dunia. Cipta mimpi yang Dan kongsikan semua itu melalui pidato yang memukau imaginasi anak bangsa.
  1. Kedua, pidato adalah peluang melantun dan menguji idea besar.
  1. Idea dan mimpi besar bukan sahaja Tetapi ia mesti dikongsi dan diuji.
  1. Pidato adalah pentas terbaik untuk kita membicarakan idea-idea besar. Sama ada yang berbentuk saranan mahupun kritikan.
  1. Adalah salah jika kita berpandangan pidato ini adalah tentang suara siapa paling lantang. Atau siapa yang mampu menjerit paling lama dan membuat orang tidak berhenti ketawa.
  1. Negara yang kita cintai ini, sedang bergelut dengan banyak perkara. Ancaman perubahan iklim, ekonomi yang mencabar, politik dan eksploitasi agama yang sering memecahbelahkan.
  1. Semua itu menuntut Semua itu memerlukan idea baharu.
  1. Jadi, jadikan pidato ini ruang untuk kongsikan idea-idea besar saudara dan saudari kepada negara. Ia bukan sahaja menguji kebijaksanaan. Tetapi ia mencerminkan kematangan kita sebagai anak watan yang pintar dan prihatin.
  1. Ketiga dan terakhir, pidato adalah sebahagian usaha kita dalam melahirkan generasi intelektual yang berfikiran kritikal dan matang.
  1. YAB Perdana Menteri sendiri, dalam banyak kesempatan, sering menegaskan yang sektor pendidikan tinggi berperanan menjayakan Malaysia Madani dengan cara melahirkan generasi yang berfikir dengan matang.
  1. Atas dasar itu, kembara menuntut ilmu di universiti mesti dilihat oleh mahasiswa sebagai satu proses mencari kebenaran. Kebenaran yang akan dimanfaatkan demi kebaikan agama, bangsa dan negara.
  1. Berbekalkan ilmu yang benar, anak muda akan menolak dengan keras kejumudan, ketaasuban dan kemunduran pemikiran.
  1. Mahasiswa mesti berusaha menjadi mereka yang berfikiran intelektual dan rasional. Mahasiswa tidak boleh membiarkan dirinya mudah dipengaruhi oleh pemikiran yang ekstrem dan indoktrinasi yang terpesong dan tidak berasas.
  1. Negara akan bermasalah dan mundur apabila masyarakat kita, khususnya orang muda dan mahasiswa, berhenti berfikir dan memilih untuk menjadi mereka yang mengikut sahaja apa yang ada di depan mata.

Para peserta serta hadirin yang saya hormati,

  1. Walaupun pidato itu secara asasnya adalah tentang mimpi atau cita-cita besar dan idea-idea besar, kita tidak boleh menafikan peranan dan elemen bahasa yang matang dan indah.
  1. Kerana, pidato akhirnya harus menyentuh jiwa, menggerakkan pendengar untuk berfikir dan paling penting, menzahirkan nilai dan hikmah yang dipegang oleh pemidato.
  1. Jadi, manfaatkanlah seni ini dengan mempamerkan kekuatan penguasaan bahasa yang baik.
  1. Kita mahu Bahasa Melayu dilihat menjadi wahana yang berkesan dalam membicarakan idea dan mimpi besar.
  1. Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa Bahasa perjuangan. Bahasa bijak pandai yang meretas talibun, gurindam, seloka atau madah dan pujangga.
  1. Kita harus mengangkat dan meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa bijak pandai yang berupaya mencerminkan kekayaan khazanah dan kearifan bangsa Melayu dalam membawa kebaikan manusiawi.
  1. Kalau boleh saya rumus dan tegaskan, pidato adalah satu kemahiran yang datang dengan tanggungjawab.
  1. Ia adalah seni yang mesti dibudayakan dengan pemikiran yang betul, teknik yang betul, dan sudah tentunya dengan matlamat dan niat yang betul.
  1. Sebelum berakhir, tahniah kepada semua peserta yang bertanding. Tahniah juga kepada semua mahasiswa yang terlibat dalam menggerakkan pertandingan ini.
  1. Selamat maju jaya saya ucapkan kepada semua.
  1. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Pidato Kebangsaan Bahasa Melayu (PKBM) Piala Menteri Pendidikan Tinggi Tahun 2023 Edisi Pertama.
  1. Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wasalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Majlis Perasmian Penutup Dan Pertandingan Akhir Pidato Kebangsaan Bahasa Melayu (PKBM) Piala Menteri Pendidikan Tinggi Tahun 2023 (Edisi Pertama).pdf (163 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 10373
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim