logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

MAJLIS KEMUNCAK SEMARAK PATRIOTIK INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI TAHUN 2022
“MAHASISWA PATRIOTIK KELUARGA MALAYSIA”

15 SEPTEMBER 2022


PENDAHULUAN

  1. Pertamanya, saya ingin menzahirkan rasa syukur saya kerana pada hari ini, kita dapat bersama-sama berhimpun di Stadium Pavilion, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), sempena Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi Tahun 2022 yang membawa tema “Mahasiswa Patriotik Keluarga Malaysia”.
  1. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri, kerana sudi meluangkan masa hadir menyempurnakan acara yang penuh bersejarah ini.
  1. Sesungguhnya, seluruh warga IPT yang hadir pada hari ini berasa amat gembira dan berbesar hati dengan kehadiran Yang Amat Berhormat dan Yang Berhormat sekalian. Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan!

SEMARAK PATRIOTIK IPT 2022

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri serta hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Untuk makluman, majlis pada hari ini merupakan acara kemuncak kepada Program Semarak Patriotik IPT Program ini melibatkan semua universiti awam di seluruh negara, politeknik, kolej-kolej komuniti serta juga beberapa buah IPTS, khususnya yang berada di sekitar Lembah Klang.
  1. Dan Alhamdulillah, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri, pada hari ini, secara keseluruhannya, lebih 50,000 orang warga IPT, hadir secara fizikal dan juga dalam talian. Inilah manifestasi bahawa warga IPT sekalian punyai semangat cintakan negara yang sangat tinggi.
  1. Lihatlah, masing-masing begitu seronok memperagakan pakaian tradisi pelbagai etnik. Ini jelas menunjukkan keharmonian dan kerukunan Keluarga Malaysia yang hidup berbilang bangsa, agama dan juga budaya. Syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada semua!
  1. Semoga dengan ini, akan dapat menjadi pemangkin kepada tercapainya objektif penganjuran program, iaitu untuk menyemai semangat patriotisme, jati diri dan kecintaan kepada negara berlandaskan aspirasi Keluarga Malaysia, dalam kalangan mahasiswa. Insya-Allah.

PERANTISISWA KELUARGA MALAYSIA

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Dalam beberapa hari yang sudah, saya dan juga wakil-wakil Kementerian serta agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi telah pun hadir ke beberapa program, melibatkan universiti, politeknik dan juga kolej komuniti.
  1. Antaranya ialah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Komuniti Bagan Serai, dan Kolej Komuniti Masjid Tanah.
  1. Selain menyantuni majlis-majlis yang dianjurkan, lawatan kerja yang dilaksanakan turut menyaksikan penyerahan peranti kepada para mahasiswa yang memohon dan lulus untuk mendapat manfaat PerantiSiswa Keluarga Malaysia. Penyerahan peranti ini adalah melibatkan pemohon fasa pertama.
  1. Dan pada hari ini, suka saya kongsikan di sini bahawa bagi fasa kedua, sejak dibuka pada 1 Ogos 2022 yang lalu, kita telah menerima lebih dua ratus ribu permohonan, iaitu kira-kira 222,866 permohonan.
  1. Daripada jumlah ini, 97,635 permohonan telah diluluskan, sementara selebihnya sedang dalam proses semakan pengesahan. Jumlah ini amat menggalakkan dan saya percaya mereka yang memohon adalah betul-betul memerlukan.
  1. Jadi, mewakili KPT dan warga IPT, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri, atas pengumuman pemberian terus tablet atau pun peranti ini, semasa Majlis Pelancaran 3 September yang lalu! Terima kasih, Dato’ Sri!
  1. Sesungguhnya, warga IPT sekalian amat menghargainya. Kepada yang memenuhi kriteria tetapi masih belum memohon, kita masih lagi buka permohonan sehingga hujung bulan ini.

PATRIOTISME DI IPT

  1. Berbalik kepada acara kita pada hari ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru seluruh warga IPT agar sentiasa mengamalkan nilai cinta kepada negara.
  1. Dan kalau melihat kepada konteks IPT, patriotisme boleh diterjemahkan melalui perkara seperti keterlibatan IPT dalam membawa nama negara di pentas nasional dan global, misalnya dalam aspek penyelidikan, sukan, akademik dan sebagainya; penyertaan dalam aktiviti kesukarelawanan serta pelbagai lagi
  1. Seperti bait-bait lirik lagu Warisan nyanyian Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad, yang saya kira wajar untuk kita semua hayati:

“Aku bukanlah seorang perwira gagah mengguna senjata. Namun, hati rela berjuang walau dengan cara sendiri, demi cinta ini.”

  1. Lirik lagu ini mengingatkan saya kepada usaha dan tenaga yang telah disumbangkan, oleh para sukarelawan IPT kita ketika COVID-19 menyerang negara lewat dua tahun yang lepas. Lebih 3,000 orang pegawai KPT dan juga para sukarelawan IPT terlibat membantu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Itu tidak termasuk barisan hadapan dari hospital-hospital pengajar universiti.
  1. Masa itu juga, beberapa orang pensyarah dan penyelidik UA kita turut terlibat dalam kajian penghasilan vaksin COVID-19 tempatan. Malah, beberapa fasiliti di bawah Kementerian dan IPT telah dijadikan sebagai pusat kuarantin.
  1. Begitu juga, ketika beberapa buah negeri telah dilanda banjir pada penghujung tahun 2021 yang lalu. Lebih 23,000 sukarelawan IPT kita telah menyumbang keringat menyantuni mangsa-mangsa banjir. Satu angka yang besar dan cukup menggambarkan kebersamaan semua! Syabas saya ucapkan!
  1. Hakikatnya, aspek budaya, ilmu pengetahuan, akhlak serta rasa bertanggungjawab dan kesediaan untuk berkorban yang tinggi juga menjadi landasan kepada pembentukan patriotisme dalam setiap daripada kita.
    Apatah lagi jika perkara ini mula ditanam dalam generasi muda seperti yang berada di hadapan saya sekarang ini. Insya-Allah, legasi yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi dapat dilahirkan.
  1. Justeru, kepada seluruh Mahasiswa Patriotik Keluarga Malaysia sekalian, sematkanlah semangat juang yang tinggi dalam setiap apa yang dilakukan, dan pada setiap ketika berdepan dengan cabaran. Ingatlah tentang pengorbanan pahlawan negara dalam mempertahan kedaulatan tanah air. Sekarang, giliran kita pula untuk memastikan agar kemerdekaan ini akan sentiasa dinikmati oleh Keluarga Malaysia. Insya-Allah!

PENUTUP

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri serta hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Sebelum mengakhiri ucapan, sekalung penghargaan saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran program pada hari ini, terutamanya kepada UPNM selaku tuan rumah.
  1. Begitu juga kepada semua agensi kerajaan yang terlibat termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan rakan-rakan strategik lain yang tidak tersebut oleh saya di sini. Terima kasih banyak-banyak atas kerjasama yang diberikan!
  1. Paling utama, terima kasih tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri kerana sentiasa memberikan kepercayaan dan sokongan kepada program-program yang dianjurkan oleh KPT.
  1. Insya-Allah, KPT dan seluruh warga IPT juga akan sentiasa teguh bersama menyokong aspirasi Keluarga Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 19198
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim