logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

SAMBUTAN HARI TVET 2023 YAYASAN SIME DARBY

30 MEI 2023


Tuan-tuan dan puan-puan,

1.    Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas jemputan ini.

2.    Sememangnya usaha mengembang dan memperkasa program TVET adalah satu keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi.

3.    Dan saya secara peribadi sangat menyokong akan peranan dan sumbangan penting pihak industri untuk bersama-sama menambah baik agenda TVET negara.

4.    Apatah lagi, seperti yang kita maklum, program pendidikan TVET dalam negara kita belum mencapai tahap yang optimum. Masih banyak inovasi dan penambahbaikan yang diperlukan.

5.    Secara asasnya, kalau kita bercakap mengenai TVET, isu-isu yang dibangkitkan akan selalunya berkisar tentang beberapa perkara.

6.    Pertama, keperluan untuk mempunyai kandungan dan pengisian program yang selari dengan perkembangan industri dan pasaran kerja.

7.    Kedua kurangnya minat anak muda untuk mengambil program-program TVET.

8.    Ketiga, fenomena underemployment atau bayaran serta kualiti kerja yang tidak setimpal dengan kelayakan.

9.    Pada saya dan pihak Kementerian, ketiga-tiga isu ini sebenarnya boleh ditangani serentak melalui penglibatan pihak industri secara lebih rapat dan sistematik dalam ekosistem TVET.

10.  Penglibatan industri akan menjadikan kandungan dan pengisian program-program TVET lebih relevan serta memenuhi kehendak industri.

11.  Penglibatan industri akan secara tidak langsung menarik minat anak muda untuk menyertai program-program TVET.

12.  Dan sudah pastilah penglibatan industri akan memberi nilai tambah yang penting. Sekali gus akan berupaya melonjak nilai graduan TVET dan melayakkan mereka untuk menerima gaji yang lebih premium serta berpatutan.

13.  Dan perkara ini selari dengan tema majlis Sambutan Hari TVET Yayasan Sime Darby pada hari ini iaitu; “Memperkasakan Belia Untuk Kerjaya Berpendapatan Tinggi” .

14.  Ringkasnya, banyak isu dalam pengajian TVET sebenarnya dapat diselesaikan dengan mempunyai penglibatan dan sumbangan daripada pihak industri.

15.  Atas dasar itulah pihak kementerian sangat memandang serius kerjasama antara industri, kementerian dan penyedia-penyedia program TVET di seluruh negara. Ia adalah satu hubungan yang mesti dijalin secara bermakna.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

16.  Future of Jobs Report 2023 yang baru sahaja diterbitkan oleh World Economic Forum pada bulan ini, menjelaskan beberapa perkara penting yang mesti kita berikan perhatian bersama.

17.  Antaranya, dalam tempoh 5 tahun akan datang, sebanyak 89 juta pekerjaan dijangkakan akan hilang. Manakala sebanyak 69 juta pekerjaan baharu akan terhasil.

18.  Yang menariknya, 4 kelompok pekerjaan yang akan menyaksikan pertumbuhan yang stabil adalah dalam lapangan yang mempunyai kaitan langsung dengan TVET.

19.  Misalnya, operator atau pengendali mesin dan teknologi, penganalisis teknologi AI yang dijangka akan bertumbuh sehingga 40% dan pengajar atau pelatih vokasional.

20.  Malah, laporan tersebut turut menekankan bahawa, 41% daripada tenaga kerja dalam pasaran pada tahun 2023 mesti dilatih semula atau ditingkatkan kemahirannya menjelang 2027.

21.  Ini bermakna, program skilling, reskilling dan upskilling akan menjadi sesuatu yang sudah tidak boleh dielakkan.

22.  Ia harus menjadi antara pelaburan terbesar pihak industri.

23.  Dalam konteks ini, saya melihat wujud ruang dan peluang untuk pemain industri seperti Sime Darby mendekati IPT di negara kita dengan lebih rapat, khususnya bagi bersama-sama merencana program TVET terbaik.

24.  Perkara ini boleh dilakukan dengan mendekati universiti dan politeknik yang berada di seluruh negara.

25.  Ini adalah platform terbaik untuk pihak industri mengasah bakat yang akan mengisi pasaran kerja. Percayalah, pihak industri atau mana-mana konglomerat tidak akan berupaya mencari bakat terbaik tanpa bekerjasama dengan pihak IPT.

26.  Jadi, hari ini, saya ingin menjemput secara terbuka dan serius kepada semua pemain industri untuk masuk dan bekerjasama dengan universiti dan politeknik di bawah KPT.

27.  Datang dan bawalah segala kemahiran, kepakaran, pengalaman dan teknologi yang kalian miliki. Kongsikan dengan kami melalui IPT-IPT kita di seluruh negara.

28.  Mengapa perkara ini penting?

29.  Pertama, tidak ada industri yang akan selamat dan mampu bertahan tanpa bekalan bakat yang stabil dan mencukupi.

30.  Kedua, IPT-IPT dan penyedia latihan kita mempunyai kelebihan, ilmu dan penyelidikan yang berguna untuk dimanfaatkan oleh pihak industri.

31.  Di mana lagi kalian akan berupaya untuk mendapat penghasilan dan penemuan terbaharu jika bukan daripada pihak institusi pendidikan tinggi?

32.  Jadi, ia adalah satu hubungan simbiosis yang menguntungkan semua pihak. Paling penting, ia akan memberi lonjakan kepada tenaga kerja dan bakat muda di negara ini.

33.  Dan dalam hal ini, kementerian juga mempunyai strategi tersendiri yang sedang kita usahakan.

34.  Antaranya, kita mahu menjadikan politeknik sebagai destinasi utama untuk pengajian peringkat diploma.

35.  Untuk tujuan itu, bermula tahun ini, pemegang sijil-sijil kemahiran dari mana-mana institusi akan diberikan laluan khas untuk memasuki politeknik di seluruh negara bagi mengikuti program diploma.

36.  Malah, bermula tahun ini juga KPT akan membuka Pusat Asasi TVET yang bakal menjadi program khusus untuk menyediakan pelajar-pelajar menyertai program TVET di universiti.

37.  Pada masa yang sama, KPT sedang mengusahakan untuk membangunkan lebih banyak program atau pakej khas untuk ditawarkan kepada para pekerja industri yang memerlukan reskilling dan upskilling.

38.  Kesemua ini akan insya-Allah KPT usahakan dengan sebaik mungkin. Dan sejujurnya Kementerian memerlukan sokongan dan sambutan dari pihak industri seperti Yayasan Sime Darby. Saya harap pihak industri akan terus menyokong dan membantu kita.

Hadirin dan hadirat sekalian,

39.  Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yayasan Sime Darby. Atas segala sumbangan, komitmen dan visi yang menyokong sektor pendidikan tinggi negara selama ini. Khususnya sumbangan dan pelaburan besar Yayasan Sime Darby untuk melatih anak muda kita dari pelbagai latar belakang.

40.  Malah, saya menyokong iltizam Sime Darby khususnya Sime Darby Plantation yang mensasarkan untuk mengguna 100% tenaga kerja tempatan sepenuhnya menjelang 2027.

41.  Ini adalah satu iltizam yang menguntungkan negara. Ia pastinya akan memberi satu nilai tambah dan lonjakan yang diperlukan oleh sektor pendidikan tinggi negara.

42.  Yang pasti, kita mesti terus dan terus bekerjasama. Kementerian dan pihak industri perlu untuk terus duduk semeja dan berbincang secara berkala. Agar pembaharuan serta penambahbaikan boleh terus kita lakukan dari semasa ke semasa.

43.  Sekali lagi, tahniah kepada semua. Saya ucapkan selamat maju jaya.

44.  Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Sambutan Hari TVET Yayasan Sime Darby 2023.

Sekian terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM KPT Sambutan Hari TVET 2023 Yayasan Sime Darby.pdf (136 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 10141
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim