Teks Ucapan Sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Dengan Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) Bagi Program KPT-MEDAC Siswapreneur

MUKADIMAH
 
  • Apa khabar semuanya? Saya berharap semua berada dalam keadaan yang sihat dan sentiasa di bawah lindungan Allah S.W.T. Alhamdulillah, kerana dengan izin-Nya jua, kita dapat bersiaran secara maya untuk menyaksikan acara Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi pelaksanaan Program KPT-MEDAC Siswapreneur pada hari ini.
  • Sesungguhnya, sesi pada hari ini memberikan makna yang sangat signifikan kepada usaha strategik KPT dan MEDAC, khususnya dalam ikhtiar melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar. Bukan sahaja yang berdaya upaya menerokai pasaran yang lebih kompetitif, tetapi juga turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
EKOSISTEM KEUSAHAWANAN SEMASA
 
Hadirin yang saya hormati sekalian,
  • Menurut Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), kebanyakan negara maju seperti Kanada dan Jerman menerapkan dasar keusahawanan mereka dalam pelan tindakan inovasi dan strategi industri di pelbagai peringkat termasuk pengajian tinggi. Ini bertujuan untuk memupuk ekosistem inovasi yang kondusif bagi menyokong pembangunan para usahawan negara tersebut. Bagi negara serantau pula, seperti Vietnam dan Indonesia, komponen keusahawanan diterapkan secara langsung dalam pelan pembangunan jangka pendek negara tersebut yang lebih bersifat makro.
  • Di Malaysia, Kerajaan telah memperkenalkan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 atau DKN 2030. Dokumen dasar ini merupakan manifestasi kesungguhan dan komitmen Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang tahun 2030.
  • Jika kita menyorot kembali beberapa fakta berkenaan dengan keusahawanan di Malaysia, boleh dikatakan di sini bahawa persekitaran keusahawanan di negara ini telah menunjukkan peningkatan yang berterusan setiap tahun. Dua contoh indikator yang membuktikan perkara ini ialah Global Entrepreneurship and Development Index (GEDI) yang dikeluarkan oleh The Global Entrepreneurship And Development Institute, dan kedudukan Malaysia dalam Laporan Doing Business yang dikeluarkan oleh World Bank.
  • Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan peningkatan perbezaan skor GEDI yang kedua ketara selepas Hungary, iaitu 40.1 berbanding pada tahun 2018 dengan skor 32.7. Dengan peningkatan ini, kedudukan Malaysia dalam ranking GEDI melonjak 15 anak tangga dari kedudukan 58 pada tahun 2018 ke posisi yang ke-43 pada tahun 2019. Sementara itu, Laporan Doing Business 2020 merekodkan Malaysia berjaya memposisikan diri di tangga yang ke-12 pada tahun 2020 berbanding ke-15 pada tahun 2019.
  • Meskipun Malaysia mempunyai kedudukan yang secara keseluruhannya boleh dikatakan agak kukuh, namun terdapat banyak lagi ruang yang boleh ditambah baik bagi menjadikannya sebagai sebuah negara keusahawanan. Ini penting bagi membolehkan para pelajar berdepan dengan cabaran Revolusi Perindustrian Keempat, yang dipacu oleh tiga domain teknologi utama, iaitu fizikal, digital dan biologikal.
  • Klaus Schwab, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif World Economic Forum (WEF), menyatakan adalah penting untuk menguasai elemen 4C, iaitu Critical Thinking and Problem Solving; Communication; Collaboration; dan Creativity di semua peringkat pengajian. Jadinya, pelajar, khususnya usahawan pelajar di universiti mesti keluar daripada kebiasaan dan melengkapkan diri dengan “kemahiran abad ke-21”. Perkara ini adalah kritikal bagi memastikan para usahawan pelajar kita tidak terus berada di takuk ekonomi konvensional. Mereka hendaklah adaptasi kepada perubahan persekitaran perniagaan dan teknologi baharu yang bersifat disruptif.
DASAR PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI 
 
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
  • KPT amat komited dalam mendukung hasrat Kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berkemahiran tinggi dan berdaya tahan. Bagi maksud itu, KPT sejak tahun 2010 lagi telah memperkenalkan Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi. Kesinambungan dasar ini diteruskan dengan Pelan Tindakan Keusahawanan Institut Pengajian Tinggi yang memperincikan lagi inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan.
  • Di bawah Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 bagi Pendidikan Tinggi, iaitu Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang, penerapan nilai dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar merupakan fokus yang diberikan penekanan utama. Antara inisiatif yang digariskan termasuklah mendedahkan budaya keusahawanan ke dalam sistem pendidikan tinggi negara, serta menganjak minda pelajar IPT dari bermatlamatkan untuk menjadi pencari kerja (job seeker) kepada pencipta pekerjaan (job creator) apabila mereka menamatkan pengajian.
  • Hakikatnya, ramai usahawan muda yang berjaya kita lahirkan. Kita ada saudara Fahmy Rayyan Hamdan, usahawan muda berumur 23 tahun, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menerajui syarikat Jiwa Generasi Sdn. Bhd., pakar dalam pengekstrakan tembaga dari e-waste. Kita juga ada saudara Meor Muhamad Fazrul Adly bin Meor Fuad, yang merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi tiga buah syarikat yang menawarkan pelbagai jenis perniagaan, iaitu Meor Legacy Enterprise, Meor Legacy Entertainment dan Meor Legacy Essential. Itu hanyalah beberapa contoh yang pelajar-pelajar boleh jadikan sebagai sumber inspirasi dalam menerokai bidang keusahawanan.
PROGRAM KPT-MEDAC SISWAPRENEUR
 
Para pelajar yang saya kasihi sekalian,
  • Sebagai kementerian yang bertanggungjawab membentuk serta melatih usahawan pelajar, KPT telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuklah kerjasama strategik melalui Program KPT-MEDAC Siswapreneur yang akan dimeterai sebentar sahaja lagi. Program yang turut mendapat sokongan TEKUN Nasional ini berbentuk skim pembiayaan mikro kredit yang memberikan galakan kewangan kepada pelajar yang berhasrat memula dan mengembangkan perniagaan mereka semasa dalam tempoh pengajian.
  • Pembiayaan mikro kredit ini disasarkan kepada seramai dua puluh ribu (20,000) orang usahawan pelajar dengan peruntukan berjumlah RM20 juta. Bagi maksud itu, TEKUN Nasional akan bertindak sebagai agensi pembiaya dan mengawal selia program ini. Sebanyak lima belas (15) buah institusi pendidikan tinggi (IPT) terpilih yang akan terlibat sebagai program rintis sebelum diperluaskan kepada IPT yang lain. Sejumlah RM5 juta diperuntukkan bagi menjayakan program perintis ini yang akan dilaksanakan dalam tempoh enam (6) bulan dengan sasaran seribu lima ratus (1,500) orang usahawan pelajar.
  • Secara peribadi, saya melihat program KPT-MEDAC: Siswapreneur ini sebagai satu lagi tanda aras dan keprihatinan Kerajaan dalam mewujudkan saluran atau mekanisme mapan yang menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan pelajar. Ini secara tidak langsung akan dapat menyuntik semangat dan minat para pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan semasa dalam pengajian.
  • Saya juga difahamkan bahawa beberapa buah IPT telahpun mempunyai mekanisme pembiayaan mikro kredit sendiri kepada usahawan pelajar mereka. Bagi IPT-IPT tersebut, program ini boleh dijadikan sebagai kaedah tambahan kepada usahawan pelajar masing-masing bagi memperoleh pembiayaan, seterusnya dapat meluas dan memperkukuh lagi operasi perniagaan mereka.
PENUTUP BICARA
 
Tuan-tuan, puan-puan serta para pelajar yang saya kasihi sekalian,
  • Saya berharap dengan adanya program seumpama ini, para usahawan pelajar kita akan dapat dibantu dan beban kewangan mereka dapat diringankan. Jadinya, kepada pelajar semua, rebutlah peluang keemasan yang terhidang ini. Semoga lebih ramai usahawan pelajar dapat dilahirkan, dan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Keusahawanan atau Entreprenuerial Nation akan dapat kita realisasikan. Saya yakin melalui gandingan mantap semua pihak, kita mampu melaksanakan program ini dengan lebih baik dan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
  • Sekali lagi, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya rakamkan kepada MEDAC serta TEKUN Nasional atas kesudian menjalin sinergi strategik dengan KPT. Insya Allah, jalinan kolaborasi seperti ini tidak akan terhenti di sini sahaja, bahkan dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang dalam pelbagai pendekatan, demi kelestarian usaha pembangunan keusahawanan negara.
 Sekian.
 
Wabillahitaufik Walhidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.
 
Terima kasih.
  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 13844
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 03 Disember 2024, 08:20:35.

logo-sirim