TEKS UCAPAN
YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
MAJLIS SAMBUTAN HARI AKADEMIA DAN BULAN AKADEMIA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2023
04 OKTOBER 2023
Tuan-tuan dan puan-puan,
- Alhamdulillah, saya ingin panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita semua diberikan kesempatan dan ruang untuk bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.
- Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), khususnya Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) serta semua rakan strategik Kementerian terutamanya Universiti Malaya yang telah berusaha dengan gigih demi menjayakan inisiatif ini.
- Sudah pastilah bagi pihak Kementerian, kita melihat peranan dan sumbangan ahli akademik adalah sangat besar.
- Kejayaan kementerian ini, dan seluruh usaha membentuk masyarakat sangat bergantung kepada komitmen, dedikasi serta sumbangan golongan akademik.
- Malah, akademik adalah satu profesion kritikal.
- Ini kerana, profesion akademik inilah yang menentukan sama ada segala macam profesion lain, bukan sahaja mampu berkembang. Tetapi bertahan dan mempunyai kelangsungan.
- Jadi, saya percaya, majlis pada hari ini dan sambutan bulan Akademia adalah satu penzahiran pengiktirafan secara langsung atas peranan, kepentingan dan sumbangan profesion akademik.
Hadirin dan hadirat sekalian,
- Dalam mana-mana peradaban, pasti masyarakatnya akan berhadapan dengan cabaran yang unik dan tersendiri.
- Masyarakat terdahulu berhadapan dengan kemunduran kehidupan yang primitif dan jauh daripada pembangunan.
- Kemudiannya, apabila ilmu dan pengetahuan manusia berkembang, teknologi maklumat dan komunikasi menjadi perkara asas yang sudah bercambah dan boleh dimiliki oleh hampir semua orang.
- Maka, kemajuan menjadi semakin pesat. Dunia berhadapan dengan cabaran globalisasi, yang meruntuhkan segenap dinding dan sempadan geografi.
- Kini, kita sedang hidup dalam zaman yang sarat dengan teknologi disruptif. Dunia meruntun segenap sisi dan peringkat kehidupan untuk beradaptasi dengan cara yang sewajarnya.
- Yang pasti, kita dapat merumuskan satu perkara
- Yakni, sekali pun masyarakat dalam setiap tingkat peradaban berhadapan dengan pelbagai cabaran tersendiri. Cabaran paling besar kepada umat manusia adalah kejahilan dan kejumudan.
- Masyarakat yang jahil dan jumud, bukan sahaja tidak akan Tetapi akan merosakkan diri sendiri.
- Atas dasar itu, peranan dan tugas golongan bijak pandai dan mereka yang berilmu, sebenarnya sangat besar.
- Kalian tidak hanya boleh berhenti sekadar menyampaikan ilmu dan pengetahuan. Kehidupan dan cabaran semasa menuntut tanggungjawab yang lebih besar.
- Malah, saya boleh tegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi dan golongan akademik mempunyai tugas dan misi bersama. Tugas dan misi bersama yang boleh diringkaskan kepada sekurang- kurangnya 3 perkara.
- Pertama, menyediakan negara dengan bakat terbaik.
- Perkara ini sudah pastilah merujuk kepada tugas membangunkan ekosistem pendidikan tinggi Ekosistem yang berupaya memberi kebijaksanaan, kedewasaan dan kematangan kepada generasi muda.
- Kedua, KPT dan golongan akademik bertanggungjawab merumus segala kebijaksanaan, ilmu, pengalaman dan kepakaran yang ada dalam sektor pendidikan tinggi agar memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
- Ini termasuklah merakyatkan ilmu dengan cara menurunkan segala pengetahuan demi memaksimumkan manfaatnya kepada semua.
- Dalam konteks ini, pendekatan olah-dan-alih adalah sangat
- Kita mesti berupaya untuk mengolah segala ilmu yang ada agar boleh disesuaikan dengan keperluan Lalu mengalihnya ke dalam kehidupan masyarakat dengan cara yang berupaya menawarkan penyelesaian atau nilai tambah pada kesejahteraan hidup.
- Manakala misi dan tugas bersama kita yang ketiga adalah yang paling sukar. Iaitu, kita bersama-sama menggalas tugas memastikan masyarakat hidup dengan menghargai ketuanan ilmu dan akal serta dibaluti dengan nilai serta sikap yang unggul.
- Masyarakat kita bukan sahaja mesti pintar dan terpelajar.
- Tetapi mesti menolak kejumudan. Menolak ketaasuban. Dan mengangkat nilai-nilai yang baik sebagai ciri penting dalam hidup.
- Masyarakat pintar tanpa nilai, tidak akan membina peradaban. Malah, masyarakat pintar tanpa nilai, akan merosakkan peradaban.
- Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini, sangat memfokuskan kepada sistem nilai yang baik.
- Kita mahu masyarakat kita menjadi masyarakat yang berprinsip. Yang tahu membezakan antara yang haq dan yang batil.
- Kita mesti sedar, pembinaan peradaban yang kita mahu capai, tidak mungkin menjadi realiti jika kita mengabaikan aspek kritikal ini.
- Malaysia yang MADANI tidak akan terbangun apabila golongan pintar fakir empati, miskin dengan prinsip dan lokek tenaga serta kesungguhan untuk mencipta dan menyebar luaskan kebaikan kepada orang lain.
- Atas dasar itu, saya menyeru semua ahli akademik. Biar dalam bidang dan lapangan apa sekali pun kalian Marilah kita bersama-sama dengan KPT, mengambil ikhtiar terbaik untuk memastikan pembudayaan nilai yang baik dalam diri insan menjadi teras kepada penyediaan bakat.
- Kita mesti membangunkan generasi pewaris negara yang kepintaran dan kepandaiannya, dilengkapkan dengan pegangan kukuh kepada sistem nilai yang baik.
Hadirin dan hadirat yang saya hormati,
- Mungkin pada sesetengah pihak, tugas-tugas dan misi bersama ini kedengaran lunak dan ringkas.
- Namun kesemuanya bukan sahaja besar dan Akan tetapi perlu dilunaskan dengan cara dan strategi yang bersesuaian dengan zaman.
- Ini termasuklah, pertama, mengadaptasi dan memanfaatkan teknologi semasa.
- Kita mesti jelas bahawa teknologi bukan musuh ilmu. Dan sudah pastilah, teknologi bukan musuh ahli akademik.
- Dunia akademik mesti berubah dan menyelaras cara berfikir dan cara
- Ahli akademik tidak boleh menolak teknologi dan melihat perkembangan aplikasi serta dunia digital sebagai ancaman atau perkara asing yang boleh diketepikan.
- Sebaliknya, semua perkembangan moden ini mesti dilihat sebagai kelebihan yang harus digunakan dengan sebaik-baiknya.
- Kedua, memfokuskan kepada proses membentuk bakat terbaik dengan pemahaman dan pendekatan baharu.
- Seperti yang kita maklum, minat generasi muda hari ini terhadap ilmu, terhadap pendidikan tinggi sedang terhakis.
- Kita tidak boleh menunggu sehingga keadaan menjadi kritikal, barulah kita mahu memikirkan apakah jalan terbaik untuk menarik semula anak muda kita agar mencintai ilmu.
- Jadi, salah satu daripada misi penting golongan akademik adalah untuk mencari formula baharu. Agar pendidikan dan dunia ilmu dilihat menarik dan menyeronokkan.
- Dan untuk memastikan yang tradisi ilmu dan kesarjanaan berupaya memikat minat anak muda, ahli akademik sendiri mesti beralih dan beranjak dari pemahaman yang terhad atau terlalu berorientasikan cara lama.
- Pembentukan bakat hari ini tidak boleh dirujuk kepada pendidikan di dalam bilik kuliah semata-mata. Apatah lagi jika kita mahu menjadikan pemupukan nilai unggul sebagai antara teras besar.
- Kita mesti mencari inovasi baharu dalam proses menyampaikan ilmu, merangsang penyelidikan dan mencetuskan inspirasi.
- Ketiga, mengoptimumkan kelebihan masing-masing untuk membina satu jaringan kepintaran dan kepakaran yang berupaya melonjak kebangkitan negara dan bangsa.
- Tugas dan misi bersama mesti dilakukan secara bersama-sama.
- Membentuk kepintaran masyarakat dan keunggulan nilai adalah tanggungjawab yang mesti dilakukan sebagai satu misi nasional yang kritikal.
- Kita mesti berkongsi dan melonjak segala kelebihan ilmu yang ada pada golongan akademik. Agar kita menjadi satu ketumbukan yang saling melengkapi dan sentiasa jelas dengan hala tuju negara.
Ahli-ahli akademik yang saya hormati,
- Kalian adalah guru bangsa.
- Dan sebagai guru bangsa, persaingan kalian bukan pada seberapa banyak atau tingginya ilmu yang dimiliki secara individu.
- Tetapi, seberapa ramai dan mendalamnya ilmu yang dimiliki itu, memberi kesan dan makna dalam membawa kebaikan kepada masyarakat secara kolektif.
- Guru bangsa bukanlah mereka yang tahu segala-galanya. Tetapi mereka yang menggunakan segala ilmunya untuk menjadikan masyarakat kita lebih baik.
- Guru bangsa adalah pemimpin masyarakat, yang memimpin menggunakan kelebihan ilmu dan hikmah kebijaksanaan.
- Guru bangsa adalah suri teladan, yang mencontohkan segala keunggulan nilai dan perwatakan bangsa yang bertamadun.
- Jadi, saya tidak pernah teragak-agak untuk menegaskan kepada semua ahli akademik. Betapa besar dan beratnya tugas kalian pada masyarakat dan negara kita.
Hadirin dan hadirat,
- Akhir sekali, sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh ahli akademik di seluruh negara.
- Terima kasih kerana setia mendidik anak bangsa Terima kasih atas segala sumbangan penyelidikan yang dilakukan selama ini.
- Dan terima kasih kerana menjadi suri teladan yang baik dan hadir sebagai sumber inspirasi yang sentiasa mencetus imaginasi anak bangsa untuk berjaya.
- Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.
Sekian, terima kasih.
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 8870