Teks Perutusan YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Menteri Pengajian Tinggi Sempena Majlis Amanat Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi Tahun 2021
PEMBUKA BICARA
- Terlebih dahulu marilah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua kita dapat berhimpun bersama-sama dalam Majlis Amanat pada petang yang berbahagia ini. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua warga kerja KPT.
- Semoga tahun 2021 yang baru sahaja menyingkap tirainya, akan memberikan iltizam kepada kita semua untuk mencurahkan khidmat bakti khususnya dalam pembangunan pendidikan tinggi negara. Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini.
- Sesungguhnya majlis pada hari ini merupakan wahana untuk saya menzahirkan iltizam kepimpinan tinggi negara serta aspirasi KPT bagi tahun 2021. Saya berharap agar inti pati amanat ini dijadikan panduan dalam memposisikan KPT sebagai organisasi yang eminent, dan melonjakkan sektor pendidikan tinggi ke persada kegemilangan.
INTROSPEKSI PENCAPAIAN KPT BAGI TAHUN 2020
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
- Tahun 2020 meninggalkan kita dengan seribu satu catatan perjalanan yang penuh pancaroba. Satu dunia seakan terhenti seketika kesan daripada wabak COVID-19 yang melanda. The pandemic is the cause for pause. Alhamdulillah, dalam kepayahan ini, berkat tekad dan komitmen warga KPT, masih banyak perkara yang kita telah berjaya laksanakan. Saya boleh rumuskan pencapaian tersebut kepada lapan subtema dan beberapa contoh sebagai perkongsian bersama.
- Di bawah subtema pertama, iaitu #KPTPRIHATIN: Menyantuni Kebajikan, Memelihara Kesejahteraan, antara perkara yang telah kita laksanakan termasuklah misi penghantaran pulang 57,565 pelajar yang terkandas di kampus ke kampung halaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN yang memberikan manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah keseluruhan penangguhan bayaran balik sebanyak RM1.13 bilion. Selain itu, Kementerian juga telah memperuntukkan sebanyak RM41.2 juta bagi bantuan pelan data dan peranti khususnya kepada pelajar B40. Atas dasar keprihatinan juga, Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan yuran tertentu di IPTA sekurang-kurangnya 15 peratus bagi pengajian Semester 2 Sesi 2019/2020 dan Semester 1 Sesi 2020/2021.
- Subtema kedua, Meraikan Kepakaran, Mencipta Potensi, menyaksikan kita memanfaatkan sepenuhnya kepakaran dan fasiliti yang dimiliki oleh semua institusi di bawah Kementerian. Contohnya, sehingga Disember 2020, Hospital Pengajar Universiti telah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dalam membuat 49,542 ujian saringan, serta mengendalikan seramai 2,780 orang Patient Under Investigation dan 508 pesakit yang positif COVID-19. Fasiliti AKEPT pula digunakan sebagai pusat kuarantin yang menempatkan seramai 1,373 orang. Malah, sepanjang tempoh PKP, lebih 115 produk inovasi serta 27 aplikasi pengurusan COVID-19 berjaya dihasilkan oleh IPT kita.
- Bagi subtema ketiga Mengiktiraf Kecemerlangan, Mempersada Institusi, lima Universiti Penyelidikan, iaitu Universiti Malaya; Universiti Putra Malaysia; Universiti Kebangsaan Malaysia; Universiti Sains Malaysia; dan Universiti Teknologi Malaysia, buat pertama kalinya telah menunjukkan lonjakan ketara dengan berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia dalam penarafan antarabangsa QS World University Ranking 2021. Tiga buah universiti swasta, iaitu Taylor’s University, UCSI University dan Universiti Teknologi Petronas turut melonjak ke kelompok 500 universiti terbaik dunia. 10 politeknik kita juga mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan mengungguli Anugerah Emas dalam Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC). Kejayaan ini merupakan manifestasi terhadap kesungguhan dan komitmen pihak IPTA dalam meningkatkan kesarjanaan melalui penyelidikan serta ekosistem PdP yang berkualiti.
Hadirin sekalian,
- Usaha untuk memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara sehingga ke peringkat antarabangsa diteruskan dengan pelaksanaan program di bawah subtema keempat, iaitu Mencipta Sinergi, Memperluas Jaringan. Kementerian secara aktif bertukar-tukar pandangan dengan beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat; Jepun; Singapura; Australia; dan Palestin. Saya juga ada berkongsi pandangan Malaysia berkenaan dengan literasi masa hadapan dalam UNESCO High-Level Futures Literacy Summit.
- Bagi maksud subtema kelima, Mendakap Aspirasi, Memperkasakan Tadbir Urus, beberapa langkah seperti penubuhan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal Pemantapan Tadbir Urus Universiti Awam atau MANTAP IPTA; pewujudan badan kawal selia TVET, iaitu Majlis TVET Negara); serta penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan Pemudah Cara IPTS Sebagai Industri atau PEMUDAH IPTS telah dibuat.
- Subtema keenam pula ialah Merafak Sembah, Menjunjung Kasih. Bagi memastikan hubungan kerjasama yang erat antara KPT dengan Kerajaan Negeri, majlis menghadap turut dilaksanakan ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Tuan Yang Terutama Negeri bagi negeri Johor, Perak, Melaka dan Kedah. Majlis menghadap ini bertujuan untuk mempersembahkan dan mendapat perkenan bagi cadangan-cadangan kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan antara KPT dengan Kerajaan Negeri.
- Subtema ketujuh pula ialah Merakyat Perkhidmatan, Melakar Muafakat. Terdapat 27 lawatan turun padang dan libat urus dengan IPTA, IPTS, persatuan pelajar, industri, NGO dan sebagainya telah diadakan sepanjang tahun 2020. Pendekatan ini merupakan cerminan kepada nilai aspirasi perdampingan dan muafakat bagi membolehkan pemegang taruh merasa dihargai dan suara mereka didengari dalam proses pembuatan dasar serta keputusan.
- Dan subtema yang kelapan, Charity Begins At Home: Membudaya Kekitaan, Memperkukuh Keharmonian. Program-program yang memberikan penekanan terhadap rasa kebersamaan dan kekitaan dilaksanakan secara berterusan. Ini merangkumi program seperti #KPTSihat dan penganjuran majlis menghargai bakat serta bakti warga KPT.
- Sesungguhnya kejayaan tahun 2020 ini adalah milik bersama dan kita sewajarnya berbangga menjadi sebahagian daripada tinta yang melakar warna kejayaan itu. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua!
MENDEPANI CABARAN 2021
Para hadirin sekalian,
- Senario pengajian tinggi global pada masa ini amat terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda. Tempoh krisis dan pemulihan yang berpanjangan memerlukan kita untuk mencari solusi yang lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan kelestarian institusi pendidikan tinggi terpelihara. Terdapat pelbagai cabaran yang harus kita depani bersama.
- Antaranya adalah untuk menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Tiga penekanan utama yang perlu diberikan fokus, iaitu pengukuhan ekosistem pengajian tinggi; pemerkasaan TVET; dan pengupayaan pendidikan swasta sebagai satu industri. Ketiga-tiga bidang fokus ini menuntut ketersediaan serta komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Jadinya, saya mengharapkan pada minggu yang pertama ini semuanya sudah bersedia memacu langkah ke arah mencapai objektif RMKe-12 bagi rolling plan yang pertama tahun 2021.
- Cabaran kedua ialah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian. Dengan kekangan infrastruktur, liputan rangkaian dan peranti, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar, pelaksanaan PdP secara dalam talian adalah terbatas serta kurang menyeluruh. Pada masa yang sama, kita juga perlu mengadaptasi kepada teknologi disruptif. Strategi perlu diatur agar IR4.0 yang mampu merubah masa hadapan dunia pekerjaan dapat disantuni sebaiknya. We may be preparing our students for jobs that might not be there in the future anymore!
Tuan-tuan dan puan-puan,
- Cabaran ketiga ialah isu kebolehpasaran graduan dalam kalangan siswazah. Statistik oleh Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan kadar pengangguran negara pada suku tahun ketiga 2020 ialah 4.7 peratus atau 741,600 orang. Dalam konteks sektor pendidikan tinggi, Kementerian mengunjurkan seramai 116,161 graduan perlu diberi perhatian untuk ditingkatkan kebolehpasaran mereka yang meliputi 75,000 graduan tahun 2020 dan 41,161 graduan tahun 2019 yang masih belum bekerja.
- Seterusnya cabaran yang keempat, iaitu mengekalkan kelestarian pengoperasian universiti. Dari segi tadbir urus, kita sedia maklum berhubung dengan peranan Lembaga Pengarah Universiti dalam mentadbir urus autonomi di Universiti Awam menjadi lebih cekap, teratur dan telus. Isu-isu berkaitan kelemahan pengurusan kewangan, pengurusan projek, dan tadbir urus anak syarikat seperti yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara perlu ditangani dengan serius. Kita juga berdepan dengan cabaran untuk memastikan sumber yang terhad diurus dengan cermat dan cekap. Setiap perbelanjaan yang dibuat hendaklah memenuhi prinsip best value for money bagi memastikan sumber kewangan dan pendanaan universiti kukuh untuk menampung kos operasi, pembangunan dan penyelidikan. Justeru, universiti perlu memaknai kembali semangat asal pemberian autonomi yang diberikan agar input yang dizahirkan memanfaatkan pelbagai pihak.
MEMETA FOKUS STRATEGIK KPT 2021
Sidang hadirin sekalian,
- Bertepatan dengan tema majlis pada hari ini, iaitu “Menginspirasi Minda, Mendakap Kehebatan”, saya ingin mengajak warga KPT sekalian untuk sederap melangkah ke hadapan berpandukan kepada enam fokus strategik.
- Pertama, Memperkasakan Agenda Pendigitalan Pendidikan. Sektor pendidikan tinggi yang bernilai melebihi RM35 bilion kepada ekonomi negara, adalah antara sektor yang terjejas sepanjang tempoh pandemik. Seramai 1.2 juta pelajar termasuk 130,000 pelajar antarabangsa terkesan apabila aktiviti PdP tidak dapat dijalankan seperti biasa. Kita tidak ada pilihan lain selain daripada memanfaatkan teknologi digital menerusi Massive Open Online Learning, Open Educational Resources, Flipped Classroom Online, dan lain-lain lagi.
- Dalam meningkatkan keberkesanan pembelajaran secara maya pasca COVID-19, Harvard Business Review dalam artikel bertajuk, “What the Shift to Virtual Learning Could Mean for the Future of Higher Education”, mencadangkan agar infrastruktur ICT dipertingkatkan termasuklah aspek fizikal; kapasiti bandwidth; dan perkakasan. Jadinya, projek menaik taraf MyREN yang diluluskan dengan peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2021 hendaklah disegerakan pelaksanaannya.
- Selain itu, semua IPT perlu menyesuaikan modul pembelajaran dan kaedah penilaian sedia ada dengan persekitaran digital selain menganjak minda untuk mendakap norma baharu PdP ini. Kapasiti tenaga pengajar juga perlu dipertingkatkan khususnya dalam mengendalikan teknologi agar matlamat pendigitalan pendidikan dapat dicapai. Impian saya dalam tempoh yang terdekat ini, persekitaran pembelajaran digital yang benar-benar kondusif seumpama Classroom of the Future di Harvard Business School dapat dilaksanakan di semua IPTA.
- Fokus strategik kedua, Memantapkan Jaringan Kolaborasi Strategik. Saya maklum bahawa telah banyak jalinan kerjasama yang kita laksanakan dengan pihak industri melalui pelbagai inisiatif seperti Sesi Dialog Industri; Program 2u2i; Persidangan Meja Bulat, Mesyuarat Majlis Penasihat Industri dan sebagainya. Sungguhpun begitu, saya melihat banyak lagi jalinan kerjasama yang boleh kita terokai dengan pihak lain.
- Contohnya, saya mengharapkan agar satu model baharu penajaan pengajian diketengahkan sebagai alternatif kepada pembiayaan biasiswa oleh Kerajaan. Sebagaimana yang telah dilaksanakan melalui Program MyBrighter Future dengan kerjasama Yayasan TNB, strategi seumpamanya melibatkan yayasan-yayasan lain, seperti Yayasan Tunku Abdul Rahman; Yayasan Sime Darby; Yayasan TNB: dan Yayasan Hasanah wajar dipergiatkan.
- Hibrid kepakaran akademia dan pengalaman praktikal tokoh-tokoh terkemuka industri serta masyarakat mampu menghasilkan pemikiran luar kotak yang bersifat Salah satu inisiatif yang telah berjaya memanifestasikan perkara ini ialah program CEO@Faculty. Justeru, saya mengharapkan program ini terus dilaksanakan dengan wajah dan pengisian baharu yang lebih segar. Berpandukan konsep yang sama, saya juga ingin mengusulkan di sini supaya pembentangan kertas secara berkala melalui platform digital yang boleh dinamakan sebagai Festival of Ideas dapat dianjurkan. Saya mohon kedua-dua inisiatif ini diperkemaskan lagi oleh pihak JPT.
- Kelembapan ekonomi dunia pada tahun 2020 ekoran pandemik COVID-19 turut memberikan dampak kepada kelestarian IPTS. Besar harapan saya agar tahun 2021 dan pasca COVID-19 ini menjadi satu titik transformasi kepada IPTS. Keputusan kemasukan pelajar antarabangsa dari semua negara kecuali United Kingdom bermula 1 Januari 2021 diharapkan dapat membantu mengukuhkan kewangan IPTS yang terjejas. Dalam pada itu, saya mengharapkan 37 isu yang telah dikenal pasti oleh pasukan PEMUDAH IPTS dapat diterjemahkan dalam bentuk solusi yang lebih tuntas agar impaknya benar-benar dapat dirasai oleh IPTS.
Sidang hadirin yang saya muliakan,
- Fokus strategik yang ketiga, ialah Memperkukuh Kebolehpasaran Graduan. Dalam usaha untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu dan menangani isu pengangguran, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara atau National Employment Council (NEC). Dalam hal ini, KPT bertanggungjawab kepada dua specialised taskforce, iaitu National Education dan TVET. Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan. Jadi, gunakanlah platform ini secara strategik dalam upaya untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.
- Future of Jobs Report oleh World Economic Forum, melaporkan bahawa lebih daripada 50 peratus pekerja perlu memperoleh kemahiran baharu atau reskilling menjelang tahun 2025, bagi disesuaikan dengan perkembangan teknologi dan keperluan kemahiran masa hadapan. Sebagai respons strategik kepada perkara ini, Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan IPT 2021 – 2025 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak. Selain itu, program-program peningkatan kebolehpasaran graduan seperti PENJANA KPT-CAP dan program Baucar KPT-PACE perlu digarap menjadi lebih kemas, diperluaskan spektrumnya, dan dipantau secara rapi bagi memastikan outcome yang ditetapkan dicapai.
- Tahun 2021 juga buat julung kalinya bakal menyaksikan pelaksanaan Majlis TVET Negara (MTVET). Pewujudan MTVET ini adalah sebagai pelengkap kepada NEC kerana MTVET menumpukan kepada ekosistem TVET secara keseluruhan. Manakala NEC lebih memfokuskan kepada landskap pekerjaan negara yang berada pada akhir rantaian nilai bagi laluan pelajar TVET, iaitu sebelum memasuki dunia pekerjaan. Jadinya, saya mengharapkan KPT terus secara aktif melibatkan diri dan memainkan peranan dengan penuh responsif dan proaktif bagi menjayakan aspirasi ini.
- Satu lagi usaha yang boleh dilaksanakan di bawah fokus ini ialah pengukuhan agenda keusahawanan. Pelan Tindakan Keusahawanan 2021 – 2025 perlu disegerakan. Ini termasuklah menerapkan aspek keusahawanan dalam kurikulum; mempromosi keusahawanan sebagai satu peluang kerjaya; memberi bantuan dan sokongan bagi memulakan perniagaan; serta mendendangkan kisah-kisah kejayaan usahawan graduan.
- Pendekatan baharu pemerkasaan agenda keusahawanan juga wajar difikirkan. Bagi maksud itu, perluaskanlah lagi ruang kerjasama strategik dengan kementerian atau agensi berkaitan. Selain daripada rakan strategik yang sedia ada, antara kementerian dan agensi lain yang boleh kita bekerjasama ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); MARA dan SME Corporation. Saya juga mencadangkan agar Majlis Keusahawanan Pengajian Tinggi Nasional diaktifkan semula sebagai forum untuk membincangkan hala tuju dan penyelesaian berkaitan inisiatif melahirkan modal insan yang berdaya keusahawanan.
- Fokus keempat, Memacu Kesejahteraan Komuniti menekankan tentang keperluan untuk kita menggiatkan sumbangan beyond academics kepada komuniti. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapan beliau di majlis perjumpaan dengan warga Universiti Malaysia Sabah pada 11 September 2020 yang lepas, meminta pensyarah dan profesor supaya tampil ke hadapan dengan sumbangan yang lebih besar, iaitu menjadi pakar kepada masyarakat dan negara dalam bidang masing-masing. Sumbangan ini haruslah melimpah keluar dari kampus kepada masyarakat dalam bentuk spillover effect dan rakyat dapat menikmati kepakaran mereka. Siapa tahu sumbangan yang signifikan ini akan mendapat pengiktirafan antarabangsa sehingga boleh dinobatkan sebagai nobel laureate. Dalam hal ini, KPT perlu bersama-sama dengan semua IPT merangka program khusus yang lebih komprehensif bagi membangunkan potensi calon nobel laureate
- Fokus strategik yang kelima, iaitu Mempersada Kecemerlangan Institusi. Kecemerlangan sesebuah institusi dipacu oleh tadbir urus yang baik. Salah satu aspek tadbir urus yang wajar diberi perhatian ialah pengurusan Universiti Awam Holdings. Daripada 25 Syarikat Induk Universiti Awam dan 106 anak syarikat, analisis bagi tahun 2015 hingga 2019 menunjukkan hanya lima syarikat induk Universiti Awam yang mencatatkan pendapatan melebihi RM25 juta dan lima syarikat induk Universiti Awam mencatatkan untung bersih melebihi RM3 juta. Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perakaunan pada tahun 2018, didapati hanya 60 peratus daripada bilangan syarikat induk Universiti Awam memberi sumbangan dalam bentuk dividen dan kewangan tidak langsung. Manakala 40 peratus lagi memberikan pulangan dalam bentuk sumbangan kewangan tidak langsung sahaja. Sehubungan dengan itu, saya sarankan supaya kita berikan naratif baharu kepada business model syarikat induk Universiti Awam ini serta pastikan mereka memainkan peranan sebagaimana GLC lain.
- Universiti sebagai Badan Berkanun yang diberikan kuasa untuk menubuhkan anak syarikat dan membuat pelaburan haruslah mewujudkan kaedah pemantauan yang efektif terhadap pengurusan pelaburan, penubuhan syarikat induk dan anak syarikat serta pinjaman yang bakal dibuat oleh Universiti Awam. Ini penting supaya syarikat-syarikat ini dapat memberikan pulangan yang positif kepada sumber kewangan universiti. Justeru, sinergi antara universiti dengan syarikat induk Universiti Awam hendaklah dimantapkan.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
- Pelaksanaan program Universiti Penyelidikan sejak tahun 2006 telah memberikan impak yang tinggi dalam mempersada kecemerlangan IPT di mata dunia. Pencapaian ini dimanifestasikan melalui pertambahan kemasukan pelajar antarabangsa dan peningkatan kolaborasi dengan universiti-universiti tersohor global khususnya dalam aspek penyelidikan. Meniti kecemerlangan ini, saya mencadangkan agar lebih banyak Universiti Awam diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan. Dalam hubungan ini, saya mencadangkan Universiti Penyelidikan sedia ada menjadi mentor kepada universiti-universiti yang dikenal pasti melalui program Rakan RU. Saya mengharapkan program ini dapat diperhalusi oleh pihak JPT.
- Bagi meneruskan keunggulan KPT, saya menyarankan AKEPT dan MQA melebarkan sayap ke luar negara. Program-program bersesuaian perlu dirangka untuk menarik minat komuniti antarabangsa. AKEPT sebagai pakar dalam pembangunan kepimpinan bakat pendidikan tinggi perlu lebih kreatif untuk mempromosikan kepakaran yang dimiliki sehingga diakui di peringkat antarabangsa. Begitu juga MQA yang boleh mengetengahkan Program Accreditation of Prior Experiental Learning (APEL) sehingga melangkaui sempadan negara.
- Fokus strategik keenam adalah Menyemarakkan Semangat #KPTPrihatin. Saya menyeru agar kita terus menghayati semangat #KPTPrihatin yang kita pegang sebelum ini dengan menyerapkan elemen kebajikan sama ada kepada graduan-graduan di IPT mahupun terhadap warga kerja kita.
- Satu daripada contoh yang saya boleh kongsikan di sini adalah pewujudan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal pelajar luar kampus dengan kerjasama semua UA dan Majlis Perumahan Universiti Malaysia. Langkah proaktif telah diambil dengan membangunkan Portal Rumah Siswa yang bakal menyediakan platform menghubungkan pelajar sebagai penyewa dengan pemilik premis, mendapatkan khidmat nasihat serta memudahcarakan proses pencarian bilik atau rumah sewa.
- Selain itu, usaha memperkasakan fungsi kad matrik pelajar menerusi inisiatif Kad Prihatin Siswa yang berfungsi sebagai kad debit dan dilengkapi dengan kemudahan lain seperti e-wallet dan transaksi tanpa tunai juga sedang giat dilaksanakan. Begitu juga dengan pelancaran Tabung Prihatin Siswa oleh Yayasan Sukarelawan Siswa yang merupakan satu lagi contoh inisiatif di bawah fokus strategik ini.
- Dengan keenam-enam fokus strategik tersebut, saya percaya kita akan dapat mendepani cabaran tahun 2021 ini dan menjadi penggerak kepada modal insan yang kreatif dan inovatif, bagi memenuhi keperluan masa hadapan Malaysia. Menjadi harapan saya supaya bagi setiap fokus strategik yang saya nyatakan tadi dapat diperhalusi lagi dalam Seminar Perancangan Strategik KPT yang dijadualkan pada 22 hingga 24 Januari 2021 nanti.
MELANGKAH KE HADAPAN
Hadirin sekalian,
- Bagi memastikan bahawa enam fokus strategik yang saya nyatakan tadi dapat dilaksanakan, saya ingin mencadangkan supaya kita dapat menerapkan nilai organisasi yang saya ringkaskan sebagai 5S, iaitu SPEED; SYNERGY; SOLIDARITY; STRATEGIC; dan STANDARD.
- SPEED merujuk kepada kepantasan dalam bertindak dan melaksanakan sesuatu tugasan. Saya mahu supaya dalam setiap diri warga kerja KPT diterapkan budaya kepantasan bertindak atau cepat dalam membuat keputusan. Sesungguhnya kecemerlangan penyampaian perkhidmatan hendaklah berpaksikan kepada budaya kesegeraan supaya kita terus berdaya saing dan kekal relevan. Kita perlu mengubah minda agar sentiasa ingin menjadi lebih baik dan bersedia mencabar status quo serta keluar dari kepompong keselesaan.
- SYNERGY adalah kebersamaan kita dalam setiap tindakan yang kita ambil. Bagi maksud ini, saya mengharapkan agar semua warga kerja KPT bersatu hati dan mempunyai suara yang sama terhadap apa jua tindakan yang dibuat demi memartabatkan pendidikan tinggi negara. Amalan bekerja secara silo hendaklah dielakkan. Semua pihak perlu berurusan secara muafakat, saling bantu-membantu dan bukannya bekerja dalam lohong masing-masing.
- SOLIDARITY pula menekankan kepada keharmonian dalam bahagian, jabatan, universiti awam, dan juga agensi. Bagi mewujudkan suasana ini, keharmonian merupakan satu kemestian dalam organisasi dan wajar untuk disemarakkan lagi. Saya menyeru agar semua warga kerja KPT lebih aktif untuk turut serta dalam apa jua program yang dianjurkan, sama ada di peringkat kementerian, jabatan mahupun agensi. Budaya berpuak-puak atau berpolitik untuk menonjolkan diri juga hendaklah dielakkan.
- STRATEGIC merujuk kepada amalan kita dalam melunasi tanggungjawab yang diamanahkan. Ini dapat dizahirkan melalui cara berfikir atau bertindak dan membuat perancangan yang teliti dalam melaksanakan tugas, dengan mengambil kira setiap aspek serta implikasi secara holistik. Justeru, semua maklumat yang disampaikan kepada pemegang taruh dan masyarakat khususnya akan menjadi lebih teratur dan tepat. Pada masa yang sama, risiko penyampaian informasi yang ralat dapat dielakkan.
- STANDARD memfokuskan kepada penghasilan kerja, budaya kerja dan sikap warga yang mementingkan kualiti atau disandarkan kepada satu tanda aras yang tinggi. Hal ini sewajarnya menjadi amalan kerja kita. Melaluinya, dimensi penyampaian perkhidmatan akan dapat dianjak kepada suatu trajektori baharu dan akhirnya menghasilkan perubahan yang berimpak tinggi.
AKHIR KALAM
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
- Saya ingin mengajak semua untuk memahami analogi Formula One. Dalam satu pasukan Formula One, ahli-ahlinya terdiri daripada pemandu, pengarah, krew pit-stop, jurutera enjin dan sebagainya. Masing-masing mempunyai tugas yang telah pun diamanahkan. Jika tugas-tugas ini tidak dilaksanakan dengan baik, maka tidak sempurnalah pasukan itu, apatah lagi untuk mencapai misi pasukan memenangi pertandingan, memang jauh panggang dari api. Contohnya, kegagalan salah seorang krew pit-stop menukar tayar kereta tepat pada masanya atau terlupa untuk memasang satu skru, nescaya akan menjejaskan perlumbaan.
- Samalah juga halnya apabila kita berada dalam sesebuah organisasi. Kecemerlangan individu sahaja tidak cukup bagi menjamin kejayaan organisasi. Sebaliknya, pencapaian sesebuah organisasi ialah hasil usaha sama setiap individu dalam organisasi tersebut. Kita ada ketua, dan kita ada bahagian-bahagian lain yang menjadi nadi dan penggerak kepada organisasi supaya misi dan visi tercapai. Sekiranya satu daripada bahagian ini gagal menjalankan fungsinya dengan baik, maka pincanglah operasi organisasi tersebut, apatah lagi dalam menyempurnakan khidmat terasnya.
- Akhir kata, saya menyeru kepada seluruh warga KPT untuk sama-sama berganding bahu dan mengaplikasikan analogi ini dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Gandakan pemanduan kita dan pecutlah selaju-lajunya menuju ke mercu kegemilangan sehingga tidak ada yang bisa menyaingi KPT. Bangkit berdiri dan seiring sejalanlah dengan saya. Semoga segala usaha murni kita untuk memartabatkan perkhidmatan khususnya dalam sektor pengajian tinggi tercapai dengan jayanya.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 30573