TEKS UCAPAN
YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN
MINGGU TRANSFORMASI SISWA SESI II 2023/2024
1 FEBRUARI 2024
Terima Kasih saudara/i pengacara majlis, Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum W.B.T dan Salam Perpaduan
Salam MALAYSIA Madani Salam Sabah Maju Jaya
1. Alhamdulillah, saya panjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah memanjangkan usia, mengurniakan kesempurnaan akal, menganugerahkan kesihatan, memberikan keupayaan hingga membolehkan kita semua berkumpul sempena MAJLIS PERASMIAN PENUTUP MINGGU TRANSFORMASI SISWA SESI II 2023/2024 di Politeknik Kota Kinabalu ini. Sekalung penghargaan diucapkan kepada pengurusan tertinggi Politeknik Kota Kinabalu atas kesudian menjemput saya untuk hadir dan seterusnya merasmikan Majlis yang penuh makna ini.
2. Saya berasa sangat bertuah hari ini, dan pada masa yang sama turut berasa bangga, kerana dikelilingi oleh insan-insan hebat yang telah mencipta kejayaan sebelumnya sehingga terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke institusi ini. Syabas dan tahniah kepada semua pelajar baharu yang telah berjaya melayakkan diri ke Politeknik Kota Kinabalu. Semoga perjalanan anda di sini, menjadi permulaan kepada kejayaan pada masa hadapan kelak.
Hadirin-hadirat yang dimuliakan sekalian,
3. Pelajar baharu yang menjejakkan kaki ke Politeknik Kota Kinabalu khususnya membawa pelbagai latar belakang, sifat, fahaman, harapan dan pengalaman. Kepelbagaian ini merupakan satu aset yang penting, bukan sahaja dapat menyatupadukan siswa, memupuk perasaan saling memahami dan sikap toleransi antara satu sama lain, malah menjadi sumber kekuatan bagi memperkaya diri melalui peluang pembelajaran yang berterusan.
4. Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET merupakan proses pendidikan dan latihan yang menjurus ke arah pekerjaan dan menekankan amalan industri dalam pelbagai bidang berkaitan. TVET berperanan sebagai agen perubahan dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta menjadi pemacu pembangunan negara.
5. Sejajar dengan itu, Transformasi Politeknik 2023-2030 yang telah dilancarkan memberi fokus hala tuju untuk mendepani cabaran revolusi industri, anjakan teknologi, peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan kemahiran semula atau reskilling. Melalui Tranformasi Politeknik 2023-2030 ini pembaharuan dan objektif strategik dirancang yang merencanakan Politeknik Malaysia menuju peneraju TVET yang unggul. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk mempelbagaikan inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan secara proaktif agar mencapai kualiti mahasiswa tiada tara selari dengan matlamat pendidikan tinggi.
6. Sebagai warga politeknik, kita patut berbangga kerana kadar kebolehpasaran graduan politeknik sepanjang tiga (3) tahun berturut- turut melebih 90 peratus. Hal ini amat signifikan dengan visi Politeknik sebagai peneraju TVET terunggul dengan lanskap semasa yang memperlihatkan ketidaktentuan ekonomi kini dan peri pentingnya negara menjamin pekerjaan dan mengurangkan masalah pengangguran.
Hadirin yang dihormati sekalian,
7. Seiring dengan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2023, izinkan saya perjelaskan bahawa KPT memberi keutamaan kepada lima
(5) fokus utama dalam mencapai matlamat dan hasrat Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia 2023-2025 iaitu:
i. Pertama, Penyediaan Bakat Terbaik Negara;
ii. Kedua, Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi;
iii. Ketiga, Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu;
iv. Keempat, Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi; dan
v. Kelima, Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya.
8. Ingin saya tekankan di sini bahawa pelajar- pelajar yang hadir pada hari ini merupakan bakat terbaik negara untuk membentuk ‘human capital’ yang seterusnya membina ‘human faculty’ dalam menzahirkan kecemerlangan akademik dan sahsiah secara menyeluruh.
9. Hal ini mempunyai jalinan dengan salah satu landasan atau hala tuju khusus KPT iaitu landasan ketiga iaitu kemenjadian pelajar dan mahasiswa. Kemenjadian pelajar dan mahasiswa merupakan suatu perspektif yang luas kerana bukan sekadar berpaksikan kemahiran teknikal namun gabungan dan jalinan kasih sayang, kegembiraan, saling menghormati serta manusiawi. Ini adalah isyarat bahawa untuk melahirkan rakyat kelas pertama bukan hanya akademik, malah lebih luas daripada itu.
10. Besarlah harapan saya agar siswa-siswi yang ada di hadapan saya pada hari ini akan menjadi modal insan yang bukan sahaja hebat dari aspek fizikal, namun mantap minda dan luhur pekertinya. KPT komited untuk melahirkan mahasiswa bitara yang mempunyai keperibadian unggul, berketrampilan, kompeten serta progresif.
11. Saya percaya bahawa Politeknik Kota Kinabalu dengan tampuk kepimpinan Yang Berusaha Encik Dullah bin Muluk bersiap siaga untuk mendidik anda serta mempersiapkan diri anda menghadapi Revolusi Industri 4.0 semakin mencabar.
12. Kepada semua pelajar yang ada di hadapan saya ini, bersesuaian dengan nama majlis kita pada hari ini iaitu, “Majlis Transformasi Siswa”, manfaatkan peluang istimewa ini sebagai anjakan transformasi dalam merealisasikan kecemerlangan mahasiswa dalam bidang TVET dan selanjutnya berdaya saing dan beretika. Jadikan peluang belajar di Politeknik Kota Kinabalu sebagai lapangan untuk mengasah kemahiran TVET, menuntut ilmu dan berikan ‘Return of Investment’ yang terbaik.
13. Sebagai pelajar, anda seharusnya meletakkan keazaman yang tinggi untuk meningkatkan lagi usaha ke arah kecemerlangan untuk memacu hala tuju sebagai pembina masyarakat pada masa akan datang. Tingkatkanlah usaha serta tumpukanlah kepada tanggungjawab kita kepada tugas yang sebenar sebagai seorang pelajar dan pendidik demi mencapai kecemerlangan pada masa depan. Para pelajar sekalian adalah salah satu elemen ‘the brain of nation’ yang penting dalam Kementerian Pendidikan Tinggi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
14. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Politeknik Kota Kinabalu atas kesudian mengundang saya pada majlis hari ini.
15. Sekali lagi, syabas dan tahniah kepada semua pelajar baharu, atas kejayaan anda untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), semoga anda memperoleh kejayaan yang cemerlang dunia dan akhirat.
16. Patuhilah segala peraturan, turutilah segala nasihat, pasti anda tidak akan menghadapi masalah dalam menjalani hidup sebagai pelajar Politeknik. Akhir kata, belajarlah dengan tekun dan tuntutlah ilmu dengan bersungguh- sungguh untuk mencapai cita-cita yang diimpikan.
Ke mana rezeki hendak dikejar,
Tak akan lari meskipun cahaya redup,
Janganlah bermalasan engkau dalam belajar,
Agar dirimu tak mengalami kesulitan dalam hidup.
17. DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, SAYA MERASMIKAN MINGGU TRANSFORMASI SISWA SESI II 2023/2024 POLITEKNIK KOTA KINABALU.
Wabillahitaufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3852