logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL KERJAYA MYFUTUREJOBS @MOHE ZON BORNEO 2024

20 JANUARI 2024


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Perpaduan, Salam Malaysia Madani dan Salam Sabah Maju Jaya

Pohon Mangga Buahnya Lebat,
Secangkir Kopi Diminum Hangat,
Generasi Madani Generasi Hebat,
Belia berwawasan penuh semangat.

1. Alhamdulillah, merafak setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia- Nya, Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs @MOHE Zon Borneo 2024 pada hari ini dapat dijayakan.

2. Setinggi-tinggi tahniah saya untaikan buat Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Pengurusan Sumber Manusia (JPSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Negeri Sabah (PERKESO) atas kolaborasi strategik dalam merealisasikan program bermakna ini.

3. Sesungguhnya, kerjasama sebeginilah yang kita inginkan dan ianya akan terus dilaksana dalam pelbagai inisiatif berkala. Kita mahu bergerak dalam satu tekad kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dan memperkasa hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam memastikan isu nasional khususnya kebolehpasaran dan isu pengangguran dapat dikurangkan.

4. Terima kasih juga saya ucapkan atas jemputan ke majlis perasmian pada pagi ini. Ia mengembalikan nostalgia saya semasa berada di Kementerian Sumber Manusia dan kini kita jalin adunkan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Tinggi.

5. Saya difahamkan Karnival Kerjaya ini merupakan acara tahunan anjuran UMS dan pada tahun 2021 yang telah diadakan secara dalam talian kerana pandemik yang melanda negara.

Alhamdulillah, pada tahun ini kita dapat mengembalikan pelaksanaannya secara bersemuka.

6. Karnival yang dianjurkan ini merupakan usaha kerajaan yang berterusan dalam memastikan pencari kerja termasuk golongan rentan di wilayah ini mendapat peluang pekerjaan dari pelbagai sektor sekali gus menangani isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang dialami oleh rakyat Malaysia.

Hadirin yang dihormati sekalian,

7. Isu kebolehpasaran graduan acap kali didiskusi dalam landskap pendidikan tinggi negara berikutan masalah pengangguran siswazah dan ketidakpadanan pekerjaan.

8. Cabaran pasca pandemik COVID-19 telah memberi impak yang sangat besar khususnya dari aspek ekonomi yang menjejaskan peluang pekerjaan secara drastik.

9. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), secara holistiknya sejumlah 569.2 ribu penganggur direkodkan pada Suku keempat 2023. Kadar tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 0.3 peratus 570.9 ribu orang pada suku sebelumnya.

10. Walaupun, Prestasi Bilangan Tenaga buruh mencatatkan peningkatan 0.2 peratus dari bulan ke bulan menjadikan bilangan penduduk bekerja seramai 16.43 juta berbanding 16.40 juta pada bulan Oktober 2023, namun isu pengangguran ini perlu diberi perhatian serius merentas kementerian.

11. Tambahan itu, menurut Statistik melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikeluarkan KPT pada tahun 2022, jumlah graduan siswazah yang menganggur dicatatkan seramai 29,099 graduan, iaitu menurun sebanyak 12,368 graduan berbanding tahun sebelumnya (41,467 graduan). Kadar pengangguran siswazah pada 2022 menurun sebanyak 4.7 peratus kepada 9.8 peratus berbanding 14.5 peratus pada tahun sebelumnya.

12. Kadar Belum Bekerja Graduan bagi Negeri Sabah turut mencatatkan penurunan pada tahun 2022 sebanyak 7.6% kepada 14.2% berbanding tahun 2021 sebanyak 21.8%. Penurunan ini sebenarnya telah menunjukkan, usaha yang dilakukan oleh kerajaan khususnya melalui kerjasama sebegini amat signifikan dan saya percaya kadar pengangguran Negeri Sabah akan terus berjaya dikurangkan, Insyallah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

13. Dalam situasi masa kini, kerjasama antara sektor kerajaan, sektor swasta, pemain industri dan institusi pendidikan adalah kunci untuk mencapai matlamat kita dalam mengembangkan sumber manusia yang berkualiti khususnya di Sabah. Segenap daripada kita perlukan kesatuan dalam tindakan demi menangani isu kebolehpasaran graduan ini.

14. Platform seperti karnival kerjaya, sesi dialog di antara industri dan akademia serta siri kolaborasi program seperti yang diadakan pada hari ini haruslah dilaksanakan secara berkala.

15. IPT awam mahupun swasta perlu memastikan usaha menyediakan graduan berkualiti, bersifat global dan sentiasa relevan dilaksanakan sebaiknya agar dapat memasuki pasaran kerja tempatan dan juga berupaya menembusi pasaran kerja antarabangsa.

16. Graduan juga perlu didedahkan dan mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, kepimpinan, kerja berpasukan dan mempunyai karakter global. Dunia pekerjaan dengan ketidaktentuan ekonomi hari ini amat mencabar. Para graduan perlu bersedia untuk bersaing demi pekerjaan dan masa depan.

Sidang hadirin sekalian,

17. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited mempergiatkan pelbagai inisiatif ke arah meningkatkan kebolehpasaran graduan secara proaktif dan memastikan graduan mendapat penempatan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan.

18. Contoh yang sering kita dengar ialah program peningkatan kerjaya seperti Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan, PENJANA KPT-CAP, KPT- PACE, dan beberapa lagi.

19. Sesungguhnya, pihak KPT sangat berbesar hati dan terbuka dengan apa- apa pelaksanaan inisiatif oleh pihak industri yang dapat membantu meningkatkan keupayaan dan kemahiran graduan kita.

20. Penganjuran karnival ini amat relevan kerana banyak manfaatnya, bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat negeri ini malah menyumbang kepada perkembangan sektor industri dan pengukuhan sosio-ekonomi negeri Sabah.

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

21. KPT akan sentiasa berusaha dan komited dalam melonjakkan lagi kebolehpasaran graduan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

22. Namun begitu, tanggungjawab dan kerjasama yang utuh daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan objektif tersebut tercapai.

23. Bak kata pepatah, “sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk”. Saya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala agar program ini akan memberi manfaat yang besar kepada para graduan dalam mencari pekerjaan.

24. Menjadi harapan saya agar kolaborasi seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Pohon berangan tempat bertemu
Girangnya rasa si anak dara
Kerjaya graduan diiring ilmu
Binalah bangsa bangunkan negara

25. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs @MOHE Zon Borneo 2024.

Sekian.
Waabillahitaufiq Walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBTM - Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Myfuturejobs@MOHE Zon Borneo 2024 (161 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1904
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 16 April 2024, 08:56:15.