logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ HAJI MOHAMMAD YUSOF BIN APDAL
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS KONVOKESYEN KOMEMORATIF KOLEJ KOMUNITI MALAYSIA

18 - 21 JULAI 2023


( SALUTASI )

 Terima kasih Pengerusi Majlis

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamu alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani,

  1. Setinggi syukur dipanjatkan   ke hadrat Alhamdulillah, berkat dan limpah kasih-Nya, maka dapat bersama kita berhimpun bagi meraikan majlis yang penuh bermakna ini. Majlis yang meriah, meraikan setiap pelajar dan ibu bapa, menghargai setiap hasil usaha, iaitu MAJLIS KONVOKESYEN KOMEMORATIF KOLEJ KOMUNITI TAHUN 2023.
  1. Tulus di sini, saya amat berbangga dapat turut bersama dalam meraikan majlis yang indah ini, lebih membanggakan tahun ini adalah majlis sambutan dua dekad Kolej Komuniti. Komemoratif yang membawa maksud kenangan atau suatu memori memperingati usaha daripada tahun 2001 hingga 2023, membina, membangun, berdiri teguh bersama. Semoga terus cemerlang melakar nama kita bersama.
  1. Sekalung terima kasih buat semua warga Kolej Komuniti. Anda adalah peneraju kemajuan pendidikan negara. Dua dasawarsa menggembleng tenaga menjadikan impian kepada nyata.
  1. Pada dasarnya, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dari dahulu sehingga kini tetap berpegang kuat menyambut baik kewujudan Kolej Komuniti yang hadir dengan penuh kelebihan sebagai pusat terbaik dalam memberi peluang pendidikan kepada masyarakat.
  1. Kolej Komuniti juga telah menyediakan dasar pengambilan secara terbuka, serta fleksibel di samping menyahut keinginan belia dan para remaja dalam kebanyakan bidang dan cita-cita.
  1. Saya ingin menegaskan, kolej komuniti adalah suatu nilai harga yang mesti dikembalikan kepada masyarakat sebagai sebuah institusi untuk semua orang mempelopori minat dan kemahiran baharu, khususnya kepada golongan muda belia. Tidak ketinggalan juga buat yang sudah berusia.
  1. Justeru, medan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) telah menjadi pelonjak serta pemangkin kesejahteraan secara tidak langsung mampu menaik taraf masyarakat sekitar serta komuniti setempat. Mudah-mudahan Kolej Komuniti dapat meneruskan agenda ‘merakyatkan ilmu’ supaya bangsa dan watan dapat diperkasa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Saya amat yakin dan punyai penuh kepercayaan, bahawa menjadi amat penting bagi Kolej Komuniti memahami dengan jelas mandat dan fokusnya yang asal serta matlamat sebenar.
  1. KPT sedang berusaha untuk memperkasakan Kolej Komuniti untuk menjadi institusi yang benar- benar mampu mengupayakan masyarakat Kementerian telah melantik Pengerusi Jawatankuasa Penasihat yang membezakan kolej komuniti dengan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) yang lain, ia dipengerusikan oleh pemimpin di kawasan komuniti itu sendiri.
  1. Dunia kian mencabar, alam pekerjaan juga semakin tinggi permintaannya, malah kian berubah. Bagi mencapai perubahan serta kenaikan taraf hidup, selain akademik, kemahiran rentas bidang mampu menjadi pemudahcara dan penjana yang membawa impak yang sangat besar buat negara serta ekonomi

Para graduan sekalian,

  1. Bersediakah anda untuk memasuki arena pekerjaan yang penuh dengan persaingan dan pancaroba? Janganlah anda lalai dan selesa dengan ilmu di dada. Perkukuhkanlah nilai kemahiran, perelokkan bahasa diri serta tinggikan keyakinan kalian. Pasti ruang terbuka luas.
  1. Majikan dari pelbagai syarikat mahupun pengusaha amat memandang nilai tambah Ia umpama sebuah aset pada diri yang istimewa dan amat bermakna. Kilauan ini yang perlu digilap menyinar, diberi tempat serta harganya yang tersendiri.
  1. Permintaan dunia dan keperluan pekerjaan semasa yang berlatarkan Fifth Industrial Revolution 5.0 atau 5IR sebagai contoh, perkilangan robot termasuk robot industri dengan kecerdasan buatan yang dipertingkatkan dan teknologi pengkomputeran kognitif untuk meningkatkan kecekapan dan kelajuan penyampaian, harus dikuasai segera.
  1. Cerminan iltizam dan komitmen sedemikian, mesti ditonjolkan agar nilai kemahiran graduan layak dipertimbangkan untuk gaji yang ‘premium’.
  1. Hadirin serta hadirat sekalian,
  1. Sebagaimana perutusan YB Menteri bagi Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2023, terdapat sebelas amanat yang kita akan lestarikan dan jayakan bersama sekaligus umpama pemangkin dan tunjang kekuatan. Sebelas amanat tersebut adalah;
    1. Aspirasi Dasar Nasional
    2. Bersikap Profesional, Adil, Objektif & Tidak Politikal
    3. Menilai Semula Kedudukan Kementerian
    4. Memperkukuh Kekuatan Sumber Intelektual
    5. Mengurus Perubahan & Ledakan Teknologi
    6. Malaysia Sebagai ‘The Lynchpin’ Peringkat Teknologi
    7. Rombakan Sistem & Ekosistem TVET Nasional
    8. IPTS Sebagai Sektor Keberhasilan
    9. Kualiti & Kecemerlangan Akademik
    10. Memperbaiki Akses & Rejim Pembiayaan Pendidikan
    11. Pemerkasaan
  1. Peluang dan ruang bukan hanya terhad pada tawaran kerja. Menerima pola kerja makan gaji merupakan salah satu pilihan dan selainnya graduan juga boleh memilih dan membentuk kerjaya sendiri.
  1. Acukan diri anda sebagai ‘Job creator’ iaitu pencipta kerjaya atau dalam erti kata lain, menjadi usahawan. Dengan kegigihan, tidak mustahil para graduan sekalian mampu membina empayar dan seterusnya membuka peluang pekerjaan buat yang lain. Padukan ilmu untuk menjadi seorang pencipta, pengkarya dan pengusahaniaga.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. World Economic Forum baru-baru ini telah menerbitkan The Future of Jobs Report 2023 yang melaporkan dalam tempoh lima (5) tahun akan datang, kira-kira 41% daripada tenaga kerja atau ‘man power’ di dalam industri sedia ada perlu dilatih semula.
  1. Justeru, penglibatan secara langsung daripada pihak industri perlu diperkukuhkan. Kolaborasi serta paduan tenaga, kombinasi teknologi dan idea bersama, disatukan mencipta generasi berjaya. Kementerian sentiasa berusaha mewujudkan lebih banyak inisiatif ICP atau Industrial Collaboration Program agar usaha pemadanan kerja graduan yang bersesuaian dengan kelayakan dapat disinergikan dalam bidang keusahawanan, telekomunikasi mahupun teknologi.
  1. Saya amat berbangga kerana sering mendapat laporan berkaitan maklum balas daripada pihak industri yang memuji lepasan TVET dari kalangan graduan Kolej Komuniti sebagai pilihan utama mereka. Saya yakin, skop pekerjaan serta kemahiran yang Kolej Komuniti fokuskan, sentiasa relevan dengan aliran industri semasa.

Hadirin sekalian,

  1. Yakin dan percaya, setiap daripada kita berhak untuk berjaya dan mengecapi impian. Pasti setiap titik usaha menzahirkan habuan dan ganjaran. Itu adalah pilihan. Insha-Allah ganjaran akan diberikan bagi mereka yang berusaha tanpa berputus asa.
  1. Harapan saya, graduan sekalian agar terus terus menggapai cita, menggandakan usaha, banggakan ibu bapa serta tanamkan cinta pada bangsa, agama dan negara. Perkasakan jati diri mendepani cabaran. Berbaktilah sebaiknya. Lestarikan harapan menjadi kejayaan.
  1. Akhir kata, sekalung tahniah buat graduan Syabas juga buat para ibu bapa serta warga kolej komuniti seluruh Malaysia. Moga terus melestari impian menjadi jaya.
  1. Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.. SAYA DENGAN INI MERASMIKAN MAJLIS KONVOKESYEN KOMEMORATIF KOLEJ KOMUNITI TAHUN 2023

Sekian,

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBTM Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Malaysia.pdf (313 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5311
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim