logo kpt black

TEKS UCAPAN

YANG BERHORMAT DATO’ HAJI MOHAMMAD YUSOF BIN HAJI APDAL
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PENYERAHAN WANG PENDAHULUAN PINJAMAN (WPP) PTPTN

23 SEPTEMBER 2023


Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, dan Salam Malaysia Madani.

Terima kasih kepada saudara/ saudari Pengacara Majlis.

(PENDAHULUAN)

  1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, kita dapat bersama-sama dalam Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman PTPTN pada hari ini.
  2. Kehadiran semua tetamu yang sudi hadir pada hari ini amat dialu- alukan. Sesungguhnya penganjuran majlis pada hari ini amat bermakna bagi sama-sama meraikan kejayaan anak-anak kita yang akan melangkah ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) tidak lama lagi. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua atas kejayaan ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(INISIATIF BANTUAN WANG PENDAHULUAN PINJAMAN)

  1. PTPTN yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah diamanahkan untuk menyediakan pinjaman pendidikan kepada warganegara Malaysia yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan sama ada awam atau swasta yang diiktiraf oleh Peranan, jasa dan sumbangan PTPTN ternyata mampu merealisasikan matlamat melahirkan lebih ramai generasi berpendidikan.
  1. Perbelanjaan sebelum memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) agak tinggi dan mungkin tidak mampu dibiayai oleh ibu bapa pelajar daripada golongan yang berpendapatan rendah. Sehubungan itu, Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN telah disediakan sebanyak RM1,500 bagi seorang pelajar untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan untuk memasuki IPTA seperti membeli pakaian, peralatan, pengangkutan dan membayar sebahagian yuran pengajian. Dengan WPP yang diberikan ini bolehlah bakal mahasiswa dan ibu bapa membuat persiapan untuk melangkah ke menara gading.
  1. WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah membuat persetujuan menerima WPP semasa memohon melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA, ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan. Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2023, seramai 969,046 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion.
  1. PTPTN telah menyediakan peruntukan berjumlah RM46.34 juta kepada seramai 30,893 pelajar yang telah berjaya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di IPTA bagi kemasukan sesi Oktober 2023. KPT dan PTPTN sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke IPTA sekali gus komited memastikan tiada lagi pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan.
  1. Pada sesi kemasukan ini, bagi Negeri Sabah seramai 3,321 orang pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan sebanyak RM4.98 juta. Manakala untuk kawasan Lahad Datu, PTPTN menawarkan kepada 251 pelajar yang melibatkan peruntukan sebanyak RM376,500.
  1. Untuk makluman, Surat tawaran WPP yang disampaikan pada hari ini mempunyai tempoh sah laku selama dua (2) bulan iaitu bermula pada 19 September 2023 hingga 18 November 2023. Pelajar-pelajar boleh menunaikan WPP di mana-mana cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 19 September 2023 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(MANFAAT SIMPAN SSPN)

  1. Kerajaan melalui PTPTN telah memperkenalkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tujuan pendidikan. Melalui Simpan SSPN, pelbagai keistimewaan dan manfaat disediakan seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000, perlindungan takaful ke atas pendeposit, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
  1. Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN juga perlu membuat pembukaan akaun Simpan SSPN terlebih dahulu. Bagi permohonan pinjaman PTPTN boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan yang telah ditetapkan bagi setiap IPTA bagi memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(PENUTUP)

  1. Tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua pelajar kerana berjaya melangkah ke menara gading dan gunakanlah WPP ini sebaik mungkin. Pelajar-pelajar yang menerima WPP diharap dapat berjimat cermat dan berbelanja untuk tujuan yang betul kerana ia adalah sebahagian daripada pinjaman pendidikan yang akan diluluskan.
  1. Akhir kata semoga dengan bantuan WPP yang diberikan PTPTN ini dapat memotivasikan para pelajar untuk terus belajar dengan bersungguh- sungguh, berjaya dalam pelajaran sekali gus mampu mengubah nasib keluarga dan menjadi modal insan yang berbakti kepada ibu bapa, agama, bangsa dan negara.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBTM Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN.pdf (193 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3836
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim