logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

KARNIVAL KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) @SABAH

4 Mei 2024


Terima Kasih Saudara/i Pengacara Majlis.

Assalamualaikum W.B.T dan Salam
Sejahtera

Salam Perpaduan

Salam Malaysia Madani

Salam Sabah Maju Jaya

[RUJUK SALUTASI]

Daun dianyam makin tersimpul,
Gulai di dapur terlebih santan,
Warga Pendidikan Tinggi ramai berkumpul,
Meraih lebaran penuh kerahmatan.

Jambangan Indah lagi berseri,
Menjadi hiasan di Aidilfitri,
Kita berhimpun di hari ini,
Mengukuh tekad Pendidikan tinggi.

1. Alhamdulillah, pertama sekali, mari sama- sama panjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Illahi dengan limpah serta kurnia- Nya dapat kita berkumpul dan menjayakan sebuah program KARNIVAL RAYA PENDIDIKAN TINGGI @SABAH bagi
tahun 2024 pada hari ini bersamaan 25 Syawal 1445H. Sedar tidak sedar kita sudah di penghujung bulan Syawal.

2. Sebelum saya teruskan, saya kira belum terlambat untuk saya turut mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1445H kepada semua. Semoga syawal kali ini akan membawa lebih banyak keberkatan dan kejayaan kepada kita semua, insya-Allah!

Hadirin yang dihormati sekalian,

3. Awal pembuka bicara, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas penglibatan dan Kerjasama warga KPT, jabatan dan agensinya dalam menjayakan karnival raya Pendidikan tinggi kali ini. Tidak dilupakan Pejabat Parlimen Sepanggar yang turut berusaha sama menjayakan karival ini.

4. Berikan tepukan gemuruh buat ahli jawatankuasa, penyedia gerai makanan serta pempamer yang juga terdiri dari IPTS menjadi sebahagian watak penting merealisasikan karnival yang julung- julungnya diadakan ini.

5. Saya sangat berbesar hati dan gembira berpeluang bertemu dengan semua yang hadir pada hari ini. Sesungguhnya, penganjuran Karnival Raya Pendidikan Tinggi ini mempunyai tujuan serampang dua mata iaitu merakyatkan pendidikan tinggi agar sampai kepada masyarakat melalui inisiatif-inisiatif KPT serta mengeratkan silaturahim KPT dan rakyat setempat melalui jamuan hari raya yang sudah menjadi tradisi kita di negara ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

6. Untuk makluman semua, penganjuran karnival pada hari ini, tidak hanya melibatkan kakitangan KPT, jabatan dan agensinya, tetapi ia juga turut melibatkan ramai mahasiswa UMS dan UiTM serta pelajar- pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti sebagai petugas.

7. Daripada pengacara majlis, penyambut tetamu sehinggalah yang menjadi artis persembahan, ramai antara mereka adalah mahasiswa yang menjadi tunjang kepada kejayaan penganjuran karnival ini. Saya rasa penglibatan mahasiswa program seumpama ini penting untuk mendedahkan mereka dengan kerja lapangan sebenar dengan komuniti.

Hadirin yang dihormati sekalian,

8. Saya ingin kongsikan, pada hari ini juga, Majlis Perasmian Program Jelajah Jom Masuk U Zon Tengah yang sedang berlangsung di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi. Jelajah Jom Masuk U ini akan melebar ke 10 Zon di seluruh negara.

9. Bagi Zon Sabah, KPT akan anjurkan Jelajah Jom Masuk U ini di dua Kawasan. Jangan terlepas peluang ini dan jangan lupa hadir ke Kompleks Sukan Tawau pada 18-19 Mei ini dan di UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu pada 8-9 jun ini sebagai penutup siri jelajah. Insya-Allah!.

Hadirin yang dihormati sekalian,

10. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk “highlight” beberapa isu penting yang menjadi cabaran Pendidikan tinggi negara.

11. Antaranya ialah; isu kebolehpasaran graduan yang sering menjadi perhatian saya dalam lanskap pendidikan tinggi negara berikutan masalah pengangguran siswazah dan ketidakpadanan pekerjaan.

12. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penganggur pada Januari 2024 terus menurun kepada 567,300 orang, dengan kadar pengangguran kekal 3.3 peratus. Alhamdulillah, berkat usaha kerajaan Madani, kadar pengangguran ini sering menjadi keutamaan untuk membentuk sebuah negara dengan ekonomi yang kukuh. Dengan usaha yang dizahirkan oleh YAB Perdana Menteri membawa lebih ramai pelabur-pelabur asing ke negara kita.

13. Khamis lalu, satu lagi pelaburan besar ke Malaysia berjumlah RM10.5 billion diumumkan oleh Syarikat gergasi teknologi, Mikrosoft.

14. Natijahnya, pasaran pekerjaan negara kekal dalam trend menaik, sejajar dengan kedudukan ekonomi negara yang terus meningkat dan selari dengan perkembangan ekonomi global. Misalnya, tenaga kerja pada Januari 2024 menunjukkan peningkatan yang berterusan, bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 17.05 juta orang berbanding Disember 2023 sebanyak 17.03 juta orang.

15. Saya melihat perkara ini sebagai sebuah ekosistem yang saling bersangkut paut. Walaupun pencapaian positif ini telah memperlihat kesan “Madani” kepada ekonomi negara, saya terus ingin menyarankan agar kerjasama antara sektor kerajaan, sektor swasta, pemain industri dan institusi pendidikan adalah kunci untuk mencapai matlamat kita membantu menyelesaikan isu pengangguran khususnya dalam kalangan graduan IPT.

Hadirin yang dihormati sekalian,

16. Sepertimana yang dinyatakan oleh Khazanah Research Institute (KRI), dua pertiga daripada graduan baru kekal terperangkap dalam gaji rendah iaitu dengan gaji permulaan kurang RM2,000 walaupun memiliki pendidikan tinggi yang menunjukkan pertumbuhan gaji di negara ini adalah lembab dan tidak banyak berubah sejak sedekad lalu. Malah melalui pengalaman peribadi saya, gaji saya 30 tahun lalu menjadi jurutera tidak banyak bezanya dengan yang ditawarkan hari ini.

17. Oleh kerana itu, saya percaya pengumuman oleh YAB Perdana Menteri dalam sambutan Hari Pekerja baru-baru ini adalah langkah tepat dengan menaikan gaji penjawat awam kepada pendapatan minimum melebihi RM2,000 sebulan berbanding RM1785 sebelum ini. Kenaikan itu adalah yang paling tinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara seperti yang sedang dibuat dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan dan akan dilaksana hujung tahun ini.

18. Seperti yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri, kenaikan pendapatan penjawat awam ini juga perlu dihayati dan dilaksanakan oleh sektor swasta yang meraih keuntungan mega. Saya fikir, ia merupakan petanda baik buat landskap pekerjaan awam dan swasta agar pendapatan wajar dapat ditawarkan kepada graduan sejajar dengan keperluan kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

19. Kita juga perlu untuk sama-sama mendukung dan merealisasikan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang mahukan pendidikan tinggi negara ini selari menongkah arusnya khususnya dalam kecerdasan buatan (AI) serta pendidikan Latihan teknikal serta vokasional (TVET).

20. KPT sendiri, sentiasa komited mempergiatkan pelbagai inisiatif memperkukuh AI dan TVET dalam sektor Pendidikan tinggi. Insya-Allah pada 10 Mei 2024, KPT akan melancarkan sebuah Fakulti AI pertama di Negara yang akan ditubuhkan di UTM yang dan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri.

Hadirin yang dihormati sekalian,

21. Di negara ini, secara purata seramai 170 ribu graduan STEM dihasilkan setiap tahun untuk pasaran kerja. Namun begitu, penawaran jawatan yang bersesuaian adalah terhad sebanyak 48 ribu kekosongan atau bersamaan 25.3% sahaja. Malah dalam kekosongan jawatan yang ada, majoritinya memerlukan kelulusan pendidikan menengah, pasca menengah atau SKM 1 dan 2 sahaja.

22. Isu kekurangan bakat dan ketidak sepadanan kemahiran dan bidang ini ditafsir melalui laporan World Economic Forum (WEF) oleh UNESCO Institute of Statistic yang mendapati, Malaysia adalah negara yang menghasilkan graduan bidang STEM tertinggi iaitu 43.5%, namun berada pada kedudukan 33 daripada 63 buah negara dalam World Talent Ranking pada tahun 2023.

23. Pelbagai isu dan cabaran STEM yang perlu kita lihat dengan teliti termasuklah kemerosotan minat dan kualiti pelajar dalam Pendidkan STEM berbanding bukan STEM dan bagaimana strategi terbaik untuk menarik minat pelajar mengikuti Pendidikan STEM khususnya di peringkat sekolah.

24. Dalam mengukuhkan Pendidikan STEM, KPT berpendirian bahawa masih terdapat ruang dan peluang untuk diterokai dalam usaha meningkatkan akses dan kualti keberhasilan pembelajran STEM dalam kalangan pelajar.

25. Sesungguhnya, tanggungjawab serta sokongan yang utuh daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan objektif tersebut tercapai. Bak kata pepatah, “Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk”.

Hadirin yang dihormati sekalian,

26. Saya berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar karnival ini akan memberi manfaat yang besar kepada bakal-bakal mahasiswa serta seluruh yang hadir pada hari ini dalam memartabatkan pendidikan tinggi ke persana dunia. Terima kasih atas kesudian semua hadir memeriahkan karnival.

27. Menjadi harapan saya agar Karnival Raya Pendidikan Tinggi @Sabah ini bukan kali pertama dan bukan juga yang terakhir serta akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

1 Syawal Menjelang Tiba,
Takbir bergema menggegar Jiwa,
Sekiranya ada Salah & Dosa,
Ampun Maaf Dipinta Di Hari Mulia.

Sayang Selasih Ditumpah Minyak
Bunga Jengkang Dengan Jerami
Terima Kasih Banyak-Banyak
Kerana Sudi Bersama Kami

Sekian, saya akhiri dengan.
Wabillahitaufiq Walhidayah W.B.T
Terima Kasih!

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan - YBTM Karnival KPT @ Sabah (208 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1389
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 24 Julai 2024, 03:08:48.

logo-sirim