TEKS UCAPAN
YBHG. DATO' DR. HAJI MEGAT SANY BIN MEGAT AHMAD SUPIAN
KETUA SETIAUSAHA (DASAR)
MAJLIS PENGANUGERAHAN TOKOH AKADEMIK BAHASA MELAYU DAN WACANA BAHASA MELAYU KONTEMPORARI 2023
02 OKTOBER 2023
Bismillahirrahmannirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
(SALUTASI)
(Senarai salutasi akan disediakan secara berasingan)
MUKADIMAH
- Alhamdullillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya jua, maka dapat kita bersama- sama hadir dalam Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu dan Wacana Bahasa Melayu Kontemporari 2023 pada hari ini.
- Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya rakamkan kepada Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi selaku pihak penganjur, bersama-sama rakan strategik, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya atas kesudian menjemput saya ke majlis ini bagi merasmikan majlis yang sungguh bermakna ini.
- Sesungguhnya, majlis pada hari ini mempunyai signifikan yang cukup besar kepada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memartabatkan bahasa Melayu di arena pendidikan tinggi negara. Ini juga adalah selaras dengan harapan YAB Perdana Menteri untuk sektor pendidikan terus memartabatkan bahasa kebangsaan.
BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA TUNJANG KEKUATAN BANGSA
Hadirin sekalian,
- Kementerian Pendidikan Tinggi telah acap kali menzahirkan bahawa usaha memartabatkan dan memperjuangkan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan tinggi tetap menjadi salah satu agenda fokus Kementerian. Ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa harus tersemat dalam sanubari setiap rakyat Malaysia. Bahasa Melayu perlu dijadikan sebagai bahasa tunjang kekuatan bangsa dalam mendepani masa depan demi berhadapan dengan cabaran dan persaingan yang kian sengit.
- Atas dasar itu, bahasa Melayu perlu terus diperjuangkan agar menjadi lebih baik, tersusun, teratur dengan berasaskan data dan pemikiran sebenar orang Melayu. Justeru, pihak Kementerian tetap komited untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan seramai mungkin pakar dan bijak pandai bahasa dalam usaha memartabatkan dan memastikan kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara kita.
- Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukanlah sesuatu yang Malah, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Akta Pendidikan 1961 dan Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu sudah termaktub dan jelas dengan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar pendidikan.
- Dalam konteks Malaysia Madani, bahasa Melayu turut mampu untuk dijadikan sebagai bahasa perpaduan. Hal ini dapat dilihat pada Penyata Razak 1956, iaitu untuk menyatukan anak-anak dari semua bangsa negara ini, dengan menggunakan bahasa Melayu, iaitu bangsa negara kita, sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.
- Tanggungjawab untuk terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya mengangkat bahasa ini sebagai bahasa ilmu demi melahirkan golongan cerdik pandai bukan hanya harus dipikul oleh Kementerian atau institusi-institusi pendidikan sahaja tetapi oleh semua rakyat Malaysia yang mengaku sebagai warganegara Malaysia.
- Saya yakin, dengan kerjasama semua pihak, kita mampu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia. Seperti kata pepatah Melayu, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dilepah. Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing bagi memastikan bahasa Melayu tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, malah terus kekal relevan sepanjang zaman.
- Di peringkat Kementerian, usaha memantau dan memainkan peranan dalam memastikan penglibatan semua pihak, terutamanya institusi-institusi pendidikan tinggi dijalankan secara terus menerus. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian. Antaranya kewujudan pusat-pusat penyelidikan bahasa Melayu seperti Akademi Pengajian Melayu (APM) di Universiti Malaya dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan yang turut terkenal di kalangan pencinta bahasa sebagai pusat rujukan dan penyelidikan bahasa Melayu.
- Terus komited dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, Kementerian turut melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023 – 2030 pada 15 Jun 2023 yang lalu.
- Pelaksanaan Pelan Tindakan secara berterusan ini, iaitu sejak Pelan Tindakan yang pertama pada 2011, menunjukkan usaha dan komitmen Kementerian yang tidak berbelah bahagi dalam mendukung aspirasi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu khususnya di IPTA.
- Semua usaha yang dilakukan ini adalah untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu terus dijulang tinggi, di samping meletakkan nilai ‘ilmu’ dalam bahasa tersebut.
ANUGERAH TOKOH AKADEMIK BAHASA MELAYU
Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,
- Pada hari ini kita akan bersama-sama meraikan penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu atau ATABM 2023. Penganugerahan yang dianjurkan oleh Kementerian sejak tahun 2012 ini merupakan satu daripada inisiatif strategik yang terkandung dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT.
- Matlamatnya adalah untuk mengiktiraf ahli akademik yang telah memperlihatkan dampak penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di samping menjadi pemangkin semangat kepada ahli akademik untuk menghasilkan lebih banyak penulisan dan penerbitan dalam bahasa
- Saya difahamkan sehingga tahun ini, seramai sembilan (9) ahli akademik telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Tokoh-tokoh ini terdiri daripada pelbagai latar belakang bidang kepakaran termasuklah bidang Linguistik, Kejuruteraan, Perubatan, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Kesusasteraan, Ekonomi dan Aeronautik.
- Pada tahun 2020, Kementerian telah melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan dua anugerah baharu, iaitu Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu; dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal. Inisiatif ini bertujuan untuk memperluas usaha memartabatkan bahasa Melayu ke sektor teknikal dan juga dalam kalangan ahli akademik
- Pada tahun ini, saya juga telah dimaklumkan bahawa terdapat persaingan yang sengit apabila sebanyak 31 permohonan telah diterima bagi ketiga-tiga anugerah yang dipertandingkan. Jawatankuasa Teknikal Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, yang terdiri daripada pakar-pakar bahasa Melayu telah mengadakan bengkel khas pada 16 hingga 18 Ogos 2023 yang lalu bagi menyemak, menyaring dan menilai kesemua permohonan tersebut.
- Justeru, sekalung penghargaan saya rakamkan kepada semua yang terlibat atas segala kerjasama dan komitmen yang telah diberikan, terutama Ahli- ahli Jawatankuasa Teknikal Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2023. Bukan mudah hendak membuat penilaian dan pemilihan. Ibarat menarik rambut di dalam tepung; rambut tidak putus, tepung tidak berserak. Penilaian perlu dibuat dengan sangat teliti dan Alhamdulillah, prosesnya berjalan dengan lancar dan penerima anugerah yang telah dikenal pasti bakal kita ketahui sebentar sahaja lagi.
- Saya dengan besar hati ingin mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada semua bakal penerima Anugerah pada hari ini. Semoga Anugerah yang diperoleh dapat memberi dorongan kepada semua penerima untuk terus memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang ilmu masing-masing. Ketahuilah bahawa peranan dan amanah yang dipikul oleh kesemua penerima Anugerah amat besar dalam memastikan kelestarian bahasa Melayu di negara ini.
WACANA BAHASA MELAYU KONTEMPORARI
Hadirin sekalian,
- Bermula dari tahun 2017, Kementerian Pendidikan Tinggi telah menganjurkan Seminar Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu setiap dua Walau bagaimanapun, penganjuran ini telah terhenti seketika pada tahun 2020 ekoran penularan wabak COVID-19.
- Seiring dengan pelancaran Pelan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu 2023 – 2030 yang dilancarkan pada 15 Jun 2023 yang lalu, Kementerian mengambil langkah proaktif dan meneruskan penganjuran Wacana Bahasa Melayu pada tahun ini bagi terus menyemarakkan agenda pemartabatan bahasa Melayu khususnya di peringkat pendidikan tinggi.
- Wacana ini dilihat mampu menjadi medan perkongsian ilmu dan percambahan idea bagi membantu usaha Kementerian dalam memartabatkan bahasa dan pengajian Melayu ke tahap yang lebih tinggi.
- Saya juga menyeru kepada ahli-ahli akademik untuk memperhebat kajian ilmiah menggunakan Bahasa Melayu bagi memperkaya khazanah bahasa ini. Marilah kita bersama-sama memikul tanggungjawab agar bahasa Melayu tidak lenyap ditelan zaman atau hanya menjadi sekadar bahasa komunikasi sehari-hari.
- Malah, bahasa Melayu mampu untuk menjadi salah satu bahasa komunikasi antarabangsa. Kelestarian bahasa Melayu, terutama di peringkat pendidikan tinggi harus diteruskan agar bahasa Melayu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pelbagai bahasa antarabangsa yang lain.
- Harapan saya agar wacana yang diadakan ini akan dapat membakar semangat juang semua pihak dalam usaha memartabatkan dan menyuburkan rasa cinta kepada bahasa kebangsaan kita.
AKHIR KALAM
Para hadirin yang saya hormati,
- Di akhir ucapan saya, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat para penganjur dan semua pihak yang mengambil daya usaha dalam menjayakan majlis ini termasuk Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
- Sebelum saya merasmikan majlis ini, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun yang sangat dikenali sejak dahulu lagi:
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
- Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, saya merasmikan Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu dan Wacana Bahasa Melayu Kontemporari 2023.
- Sekian, wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi
Sekian, terima kasih.
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 5791