logo kpt black

TEKS UCAPAN

YBHG. DATO’ DR. HAJI MEGAT SANY BIN MEGAT AHMAD SUPIAN
TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (DASAR)

MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2023

16 NOVEMBER 2023


Terima kasih Saudara/ Saudari Pengacara Majlis.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.|

MUKADIMAH 

  1. Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita diberi kesempatan untuk bersama-sama dalam Majlis Sambutan Hari Integriti Nasional peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tahun 2023 pada pagi yang mulia ini.
  1. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Unit Integriti selaku urus setia program, atas segala usaha dalam merencana dan mengatur majlis pada hari ini. Program seperti ini amat signifikan dalam menyemai kesedaran tentang peri pentingnya integriti dalam kalangan warga KPT dalam memastikan pencapaian visi dan misi oraganisasi.

HARI INTEGRITI NASIONAL

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Hari Integriti Nasional telah diisytiharkan mulai 5 November 2005 sebagai satu sambutan dalam usaha membudayakan integriti dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat. Pada tahun ini, Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Integriti Nasional Tahun 2023 telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara pada 31 Oktober 2023 dengan tema “Integriti Citra Malaysia Madani”. Pemilihan tema ini adalah sejajar dengan gagasan Malaysia Madani yang menyatakan kerangka ikhtiar bagi mengembalikan martabat negara melalui teras pembangunan nilai, etika dan akhlak masyarakatnya.
  1. Sehubungan dengan itu, beberapa aktiviti telah direncanakan sepanjang bulan November sempena Sambutan Bulan Integriti Peringkat KPT yang turut dipanjangkan pelaksanaannya di peringkat Jabatan, Agensi dan Universiti Awam. Antaranya:
    1. Siaran Langsung Forum Perdana Ehwal Islam dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia, JAKIM dan RTM (UiTM) pada 2 November 2023;
    2. Khutbah Integriti bertajuk “Integriti Cerminan Sahsiah Terpuji” (UPSI) pada 3 November 2023;
    3. Taklimat Integriti Berkaitan Cyber Security dan Digital Security (USM) pada 6 November 2023;
    4. Temu Siswa/i: Gangguan Seksual, Hak Pelajar Untuk Didengari (UMT) pada 8 November 2023;
    5. Lawatan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya (UPM) pada 8 November 2023;
    6. Forum Integriti: Integriti Menurut Perspektif Pelbagai Agama (UM) pada 16 November 2023;
    7. Khutbah Jumaat Khas: Integriti Pemangkin Malaysia Madani (UMT) pada 17 November 2023;
    8. Forum Integriti: Integriti dari aspek akademik (UMS) pada 27 November 2023;
    9. Hebahan mesej integriti sepanjang bulan; dan
    10. Pameran buku bulanan ‘Integriti’ oleh Pusat Sumber KPT sepanjang bulan.
  1. Alhamdulillah, sebagai kemuncaknya pada pagi ini juga akan diadakan Wacana Integriti bertajuk “Integriti - Perlukah Anda Diperhati?” yang akan disampaikan oleh mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan. Saya percaya sesi ini akan dapat membuka mata dan minda kita khususnya tentang tanggungjawab dan amanah kita sebagai penjawat awam yang berkhidmat untuk rakyat daripada lensa seorang pemimpin yang ulung.

MEMANTAPKAN BUDAYA INTEGRITI

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal RMKe-12 pada 12 September 2023, YAB Perdana Menteri telah menyatakan komitmen bahawa Kerajaan akan memperkenalkan Pelan Integriti baharu dan Akta Tata Kelola Sektor Awam sebagai panduan penjawat awam untuk membudayakan integriti baik serta tatakelola bebas rasuah. Ini menunjukkan kerajaan komited dalam memastikan integriti menjadi budaya rakyat Malaysia.
  1. Pengukuhan dan pemantapan integriti dan tatakelola di KPT juga perlulah dilaksanakan secara berterusan. Bagi memastikan ekosistem integriti ini terus berkembang, penglibatan dan kerjasama daripada semua pihak amatlah penting. Jadi saya berharap semua warga kerja KPT terutamanya yang berada di majlis ini membulatkan tekad, berganding bahu bersama-sama komited membudayakan integriti.
  1. Komitmen Kerajaan MADANI dalam usaha untuk membanteras rasuah dan meningkatkan integriti serta tatakelola baik terbukti apabila YAB Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya pada 27 Julai 2023 sempena peluncuran “Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat” telah menetapkan tujuh (7) penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun. Salah satunya adalah meletakkan sasaran negara untuk mencapai kedudukan negara di kedudukan 25 terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
  1. Saya yakin dan percaya, kita semua akan berupaya untuk mencapai hasrat ini, dengan syarat semua pihak bergandingan bahu dan tangan, bekerjasama sebagai satu entiti yang utuh, serta tidak silo dalam melaksanakan strategi yang diatur.

PEMANTAUAN TATAKELAKUAN WARGA KPT

Warga KPT yang saya hormati sekalian,

  1. Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuah Kebangsaan (JAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara pada 26 Oktober 2023 telah mengarahkan supaya semua Kementerian/Agensi mengambil tindakan segera terhadap kakitangan mereka yang dikaitkan dengan salah laku melalui Laporan SPRM.
  1. Berdasarkan rekod terdapat 39 kes Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (LSPRM) yang masih aktif melibatkan Jabatan/Institusi di bawah KPT, iaitu satu (1) kes melibatkan Jabatan; 14 kes melibatkan Politeknik dan Kolej Komuniti; serta 24 kes melibatkan Universiti Awam.
  1. Selain itu, terdapat empat (4) kes tatatertib yang telah dijatuhkan hukuman dan lima (5) kes dalam prosiding tatatertib. Kes-kes tatatertib ini melibatkan pelanggaran tatakelakuan seperti tidak hadir bertugas, perolehan, gangguan seksual dan kes jenayah berkaitan dadah.
  1. Saya ingin menegaskan bahawa Kementerian memandang serius berhubung laporan salah laku membabitkan kakitangan Kementerian/Jabatan/Agensi di bawah KPT. Justeru saya menyeru semua Ketua-Ketua Jabatan di KPT untuk memastikan kes-kes tatatertib dan LSPRM ini dapat diambil tindakan dalam tempoh enam (6) bulan.

INISIATIF UNTUK MEMPERKUKUH INTEGRITI

Hadirin-hadirat sekalian,

  1. Pembangunan Manual Pengurusan Anti-Bribery Management System (ABMS) merupakan salah satu pendekatan yang perlu diambil untuk mempertingkatkan tadbir urus integriti dan antirasuah. Saya difahamkan draf pertama Manual Pengurusan ABMS MS ISO 37001: 2016 telah berjaya dibangunkan dan akan diedarkan untuk semakan dan pandangan semua pihak yang terlibat dalam masa terdekat.
  1. Semoga dengan adanya Manual Pengurusan ABMS ini, tadbir urus integriti dan antirasuah di KPT dapat dipertingkatkan seterusnya memberi panduan tatacara pelaksanaan secara sistematik dan berkesan.

PENGANUGERAHAN SIJIL “KOMPETENSI BERASASKAN INTEGRITI”

Hadirin yang saya hormati,

  1. Bagi memperkasakan integriti dalam kalangan warga KPT, KPT akan mengambil tindakan terhadap pegawai yang tidak berintegriti dan memberi penghargaan kepada pegawai yang mendukung integriti dengan memberi ganjaran sewajarnya.
  1. Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Anti- Rasuah (JAR) KPT Bilangan 2 Tahun 2022 pada 2 Ogos 2022 telah bersetuju supaya penganugerahan Sijil Pengiktirafan “Kompetensi Berasaskan Integriti” dilaksanakan secara tahunan. Pada tahun lepas, KPT telah memperakukan 17 orang pegawai sebagai penerima Anugerah Sijil Pengiktirafan “Kompetensi Berasaskan Integriti”.
  1. Pada tahun ini, seramai tujuh (7) pencalonan telah diterima. Senarai pencalonan ini telah disaring dan diperakukan oleh Jawatankuasa Panel Penilai bahawa usaha dan integriti mereka dalam pelaksanaan tugas rasmi telah mengelakkan kerugian berterusan atau mengelakkan reputasi dan nama baik KPT dan Perkhidmatan Awam terjejas.
  1. Mesyuarat Jawatankuasa Panel Penilai telah bersetuju untuk memilih seorang calon bagi penerima anugerah pada tahun ini. Penerima telah membantu dalam siasatan Unit Integriti dan berjaya mengelakkan kerugian kepada Kementerian dengan anggaran RM100 Majlis penyerahan sijil ini akan dilaksanakan secara tertutup bagi menjaga kerahsiaan identiti penerima anugerah tersebut.
  1. Surat makluman akan dikeluarkan kepada Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan beliau supaya diberi keutamaan dan dipertimbangkan bagi pengiktirafan yang bersesuaian seperti kenaikan pangkat, pencalonan pingat, dan lain-lain ganjaran yang bersesuaian.
  1. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru agensi-agensi di bawah KPT untuk turut memperkenalkan inisiatif-inisiatif bagi menghargai usaha warga dalam menangani ketirisan dan penyelewengan di organisasi masing-masing.

PENGHARGAAN KEPADA INISIATIF JABATAN/AGENSI

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  1. Dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, KPT merupakan salah satu peneraju bersama-sama dengan SPRM dan Institut Integriti Malaysia bagi tiga (3) inisiatif iaitu:
    1. Inisiatif 2.4.2: Memberi penekanan terhadap elemen integriti dan nilai insan (tadbir urus insan) dalam program induksi pensyarah di IPT;
    2. Inisiatif 2.4.4: Memperkukuhkan program kepimpinan bagi warga pendidik dan pentadbir di semua pusat pengajian tinggi dengan memasukkan elemen tadbir urus insan; dan
    3. Inisiatif 2.4.7: Memperkenalkan kursus mata pelajaran wajib di IPT pada peringkat Sijil, Diploma dan Sarjana Muda yang menekankan kepada aspek kenegaraan, etika, peradaban, nilai, integriti dan falsafah.
  1. Saya difahamkan ketiga-tiga inisiatif di bawah KPT ini telah selesai dilaksanakan sebelum pelan ini berakhir pada Disember Sekalung tahniah saya ucapkan semua pihak kerana telah berjaya melaksanakan inisiatif-inisiatif NACP.
  1. Pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) adalah inisiatif mandatori di bawah Pelan NACP 2019-2023 yang juga telah digariskan dalam Arahan YAB Perdana Menteri Siri 2 No.1 Tahun 2019. OACP diwujudkan bertujuan untuk menangani permasalahan dan kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam organisasi.
  1. Di KPT, Pelan Antirasuah KPT 2022-2026 telah dilancarkan pada 1 Jun 2022. Pelan ini menggariskan tanggungjawab bersama yang seharusnya kita pikul berdasarkan tiga (3) bidang keutamaan dan 31 inisiatif yang berkait rapat dengan perkhidmatan teras KPT. Di kesempatan ini saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Bahagian dan Unit yang telah selesai melaksanakan 16 inisiatif di bawah pelan ini.
  1. Selain daripada pelan di peringkat Kementerian, Mesyuarat JAR Kebangsaan juga memantau status pembangunan OACP di peringkat Jabatan/Agensi. Sehingga kini, sebanyak 11 Agensi iaitu MQA, PTPTN dan lapan (8) buah Universiti Awam telah selesai membangunkan OACP.
  1. Pada hari ini kita juga akan melancarkan OACP bagi Tahniah atas komitmen yang telah diberikan. Saya berharap semua Jabatan/Agensi/Institusi yang belum siap untuk menyegerakan pembangunan Pelan OACP agar kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam organisasi dapat dikenal pasti dan ditangani dengan sebaiknya.

PENUTUP

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Sebelum mengakhiri ucapan, ingatlah kata-kata ini: “Orang yang memiliki komitmen dan integriti yang tinggi, tidak pernah merasa takut, ragu atau bimbang dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka”.
  1. Akhir kata, terima kasih saya ucapkan atas sokongan dan usaha berterusan semua kepimpinan dan warga KPT, jabatan dan agensi dalam membantu Kementerian menuju ke arah Membudayakan Tata Kelola Berintegriti Berlandaskan Kod Etika dan Tatakelakuan Kementerian Pendidikan

Sekian. Wabillahitaufiq wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan TKSU (D) - Majlis Sambutan Hari Integriti Nasional Peringkat KPT 2023.pdf (179 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 9934
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 09 Oktober 2024, 08:12:06.

logo-sirim