TEKS UCAPAN
YBHG. DATO' SERI ABDUL RAZAK BIN JAAFAR
KETUA SETIAUSAHA
MAJLIS PELANCARAN TVET DIGITAL
11 OGOS 2023
Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian,
Assalammualaikum wbt, salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.
- Alhamdulillah terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan inayah-Nya, dapat kita semua berkumpul pada pagi ini, bagi menjayakan Majlis Pelancaran TVET DIGITAL Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
- Secara peribadi, saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama menyaksikan detik yang bersejarah bagi politeknik dan kolej komuniti dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperkasa pembelajaran secara digital di institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
- Pendigitalan merupakan fokus utama dalam sektor pendidikan tinggi termasuklah di politeknik dan kolej komuniti.
- Syabas diucapkan kepada POLYCC!
- Seperti yang kita sedia maklum, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi, telah menyatakan dalam Amanat Tahun Baharu 2023 beliau bahawa pelan pendigitalan KPT sedia ada akan dilonjakkan dengan memfokuskan kepada pendigitalan total dalam semua aspek pengurusan, pendidikan, pembelajaran dan perkhidmatannya.
- Dan untuk makluman hadirin dan hadirat sekalian, di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pelan pendigitalan juga merupakan perkara penting yang sedang dirangka untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan merupakan salah satu inisiatif KPT dalam memantapkan tatakelola dan ketangkasan penyampaian bagi memperkasa rakyat di bawah Ekonomi Madani.
- Bagi mencapai hasrat ini, kementerian telah mengangkat agenda pendigitalan sebagai salah satu fokus utama untuk dirancakkan dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12 yang merangkumi kesediaan Infrastruktur dan Info-struktur.
- Infrastruktur merujuk kepada keadaan prasarana digital di sesebuah IPT; misalnya ruang pembelajaran digital seperti smart classroom, hybrid classroom dan Augmented reality- Virtual Reality Simulation Lab yang dibina mengikut keperluan dan kapasiti setiap IPT.
- Manakala Info-struktur pula merujuk kepada teknologi atau kemudahan yang berkaitan dengan informasi serta pengurusannya termasuklah database, computer network, software application, servers dan lain-lain perisian serta teknologi yang berkaitan dengan maklumat dan data.
Hadirian sekalian,
- Kementerian turut mengambil kira pemodenan teknologi dan komunikasi maklumat untuk mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran di Institusi Pengajian Tinggi yang berada bawah naungan kita.
- COVID-19 yang pernah melanda telah mengubah landskap sistem pendidikan dan mewujudkan new normal kaedah pengajaran dan pembelajaran yang memberi ruang kepada fleksibiliti bagi memastikan proses perpindahan ilmu terus berlaku dalam apa jua keadaan.
- Justeru, digitalisasi pengajaran dan pembelajaran perlu direalisasikan bagi memastikan sistem pendidikan tinggi kekal relevan sejajar dengan perubahan semasa.
- Melalui pendigitalan, pelajar dapat mendalami aspek teori misalnya enjin kenderaan secara maya yang selama ini mungkin terkekang berikutan kekurangan peralatan di makmal.
- Untuk itu, ketersediaan kita sebagai warga pendidik dan policy makers di peringkat kementerian dan agensi haruslah sentiasa ke hadapan dalam memastikan kelestarian pendidikan tinggi di Malaysia adalah bertaraf global.
- Atas kesedaran ini, kementerian juga bakal memperkenalkan sistem pembelajaran secara hibrid dan anjal untuk setiap mahasiswa sebagai salah satu inisiatif dalam membantu kumpulan tersebut daripada terus terbeban dengan kos pengajian, selain mengupayakan kemudahan teknologi digital secara optimal.
- Pelancaran transformasi TVET DIGITAL POLYCC ini jelas membuktikan bahawa politeknik dan kolej komuniti telah menyahut hasrat kerajaan dalam memperkasa pendigitalan dan bersedia mengadaptasi teknologi baharu.
- Tahniah dan syabas diucapkan kepada JPPKK, politeknik dan kolej komuniti.
- Saya yakin melalui transformasi TVET digital ini mampu menjadikan POLYCC kekal relevan selari perubahan teknologi baharu yang semakin pesat.
- Semoga apa yang aspirasikan ini mampu dicapai.
- Akhir kata, dengan lafaz mulia, Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan transformasi TVET Digital POLYCC.
- Sekian, terima kasih.
Muat Turun:
pdf KSU - Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran TVET Digital.pdf (142 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 4450