YB Timbalan Menteri Serah Skrol Diploma Kepada 342 Graduan Politeknik Melaka

YB Timbalan Menteri Serah Skrol Diploma Kepada 342 Graduan Politeknik Melaka

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-21 Politeknik Melaka dan menyerahkan skrol diploma kepada para graduan di sini pagi tadi.

Seramai 342 orang pelajar yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya dari Politeknik Melaka telah menerima skrol Diploma masing-masing.

Sambil merakamkan ucapan tahniah kepada para graduan, YB Timbalan Menteri dalam ucapannya turut mengingatkan mereka untuk sentiasa bersedia dan cekal mendepani cabaran yang akan datang.

Malah, para graduan turut dituntut lebih berani untuk berdaya kreatif dan meneroka ilmu dan inovasi baru agar kepakaran diperolehi terus kekal relevan.

Menyifatkan tiada jalan singkat untuk berjaya, beliau turut menggesa para graduan untuk mula bertanggungjawab dalam menentukan kecemerlangan kerjaya mereka.

Perkara tersebut selaras dengan peranan para graduan sebagai generasi baharu yang akan mencorakkan pembangunan negara pada masa depan kelak.

Sehingga kini, Politeknik Melaka telah berjaya melahirkan sejumlah 10,660 graduan sejak tahun 2,000 melibatkan program-program dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektronik (Kawalan) dan Jabatan Perdagangan (Akauntansi & Perniagaan Antarabangsa).

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Ts. Haji Muhammad Rumzi Mamat; dan Pengarah Politeknik Melaka, Sr. Tn. Haji Razali Johari. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1345
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim