YB Timbalan Menteri Rasmi Persidangan Kejururawatan Antarabangsa UIAM Kali Ke-3

YB Timbalan Menteri Rasmi Persidangan Kejururawatan Antarabangsa UIAM Kali Ke-3

Sumbangan para jururawat kepada dunia tidak boleh dianggap kecil kerana tanpa kemahiran dan kesungguhan mereka selama ini, umat manusia pasti akan menghadapi krisis kesihatan yang lebih meruncing.

Dari situasi harian seperti kelahiran dan penjagaan pesakit, hinggalah ke situasi yang merubah sejarah dunia seperti perang atau penularan wabak yang membawa maut, para jururawat sentiasa berada di barisan hadapan bersiap sedia mengorbankan masa dan juga nyawa.

Demikian ucapan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal ketika menyempurnakan perasmian Persidangan Kejururawatan Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kali ketiga bertempat di Kuantan pagi tadi.

Persidangan dua hari bermula hari ini yang bertemakan "Hala Tuju Global Masa Hadapan Bidang Kejururawatan dan Perbidanan Untuk Tenaga Kerja Kesihatan Yang Mampan" telah menghimpunkan lebih 200 orang peserta dan pembentang kertas kerja bagi mengetengahkan idea da inovasi serta membentangkan hasil kajian dan penyelidikan terkini berkaitan dunia kejururawatan dari dalam dan luar negara.

Menurut YB Timbalan Menteri, tema kali ini bersesuaian dengan keadaan semasa di mana pelbagai langkah dan usaha perlu dilaksanakan bagi mendepani cabaran yang sedang dihadapi dalam mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan negara, seperti tragedi dunia dilanda wabak Covid-19 hampir dua tahun lalu.

Diharapkan persidangan kali ini dapat mengeluarkan cadangan atau solusi dalam mengatasi isu kemampanan tenaga kerja penjagaan kesihatan yang bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain.

Hadir sama Rektor UIAM, YBhg. Prof. Emeritus. Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1904
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 29 Mei 2024, 11:44:53.