YB Menteri Suntik Semangat Atlet IPT Ke WUG 2025, Rai Kejayaan Cemerlang Di AUG 2024

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyuntik semangat juang kepada atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang akan mewakili negara ke temasya World University Games (WUG) 2025 di Jerman sambil merakamkan penghargaan atas kejayaan cemerlang kontinjen negara di ASEAN University Games (AUG) 2024 di Indonesia.
Berucap di Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Sukan AUG 2024 dan Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen WUG 2025 semalam, beliau menegaskan bahawa atlet IPT bukan sahaja membawa harapan sukan negara, malah turut memainkan peranan sebagai duta diplomasi rakyat Malaysia di pentas dunia.
“Saudara-saudarilah yang akan menjadi duta kepada negara kita. Bukan sekadar membawa panji universiti tetapi imej Malaysia di mata dunia,” katanya.
Konsep “The Thinking Athlete” turut diketengahkan, menggambarkan keperibadian atlet IPT yang bukan sahaja cemerlang dalam arena sukan, malah memiliki pemikiran kritikal, EQ dan SQ yang tinggi, serta membawa diri secara beradab dan berhemah.
“You are the real thinking athlete. Bukan hanya hebat dari segi IQ, tetapi juga dari segi EQ dan SQ. Inilah realiti baharu yang perlu kita terapkan dalam pembinaan anak muda,” tegas beliau.
Kontinjen AUG 2024, yang diketuai oleh Pengerusi Majlis Sukan Komuniti (MASKOM), Suhairi Ismail, berjaya melepasi sasaran dengan meraih 38 pingat emas, 47 perak dan 62 gangsa, sekali gus menduduki tempat ketiga keseluruhan daripada 11 negara ASEAN yang bertanding dengan acara olahraga, renang dan judo menjadi penyumbang utama emas negara.
Sementara itu, Kontinjen Malaysia ke WUG 2025 yang bakal berlangsung dari 16 hingga 27 Julai di Rhine-Ruhr, Jerman, terdiri daripada 93 anggota, termasuk 64 atlet daripada 27 IPT akan bertanding dalam enam (6) jenis sukan iaitu olahraga, renang, taekwondo, memanah, gimnastik artistik dan badminton.
Antara atlet berprofil tinggi negara yang akan menyarung jersi kebangsaan termasuk Muhammad Azeem Mohd Fahmi, pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter dan 200 meter; Umar Osman, jaguh 400 meter dari Politeknik Ungku Omar; Khiew Hoe Yean, perenang rekod kebangsaan dari UCSI University; Syaqiera Mashayikh, pemanah recurve wanita dan atlet Olimpik negara; serta Muhammad Syafiq Zuber, atlet taekwondo dan pemenang pingat emas Sukan SEA dari Politeknik Shah Alam.
YB Menteri turut merakamkan penghargaan kepada para jurulatih, pegawai dan urusetia yang membimbing serta menyediakan atlet negara untuk menghadapi pertandingan bertaraf dunia.
Kemuncak majlis disempurnakan dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke WUG 2025, Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff, sebagai simbol amanah dan semangat juang untuk negara.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 191