YB Menteri Luang Masa Berdialog Dengan Pengurusan Tertinggi UKM
Malam tadi Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengambil giliran untuk berdialog bersama para akademia di Program Karisma Pemikir MADANI: Pengurusan Tertinggi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pada sesi tersebut, beliau terlebih dahulu berkongsi amanat dan harapan dengan menjelaskan lebih tuntas dan telus akan dasar dan perancangan pihak kerajaan untuk sektor pendidikan tinggi negara menepati gagasan Malaysia MADANI.
Menghargai sumbangan serta pencapaian UKM sepanjang 50 tahun penubuhannya, kejayaan universiti tersebut dalam mengembangkan pengaruh dan jenama mereka ke persada dunia katanya turut membanggakan Malaysia.
Selaras objektif program untuk merencanakan semula hala tuju UKM sebagai Pembina Masa Depan Negara Bangsa, beliau turut berkongsi dilema yang sedang dihadapi dunia ketika ini.
"50 tahun dahulu, berbeza dengan 50 tahun akan datang. Suka tidak suka, dunia sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran yang bersifat 'post-normal' , 'disruptive' dan 'simultaneity'," ujar beliau.
Dalam sesi dialog bersama para peserta, topik-topik mencakupi pelbagai isu seputar dunia akademia telah dibincangkan secara telus dan kritis.
Perkongsian serupa ini mampu menjadi jejambat bukan sahaja antara para pentadbir dan ahli akademik di sesebuah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), malah turut menjadi ruang berharga merapatkan kedua-dua komponen penting tersebut dengan para pimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Malam tadi juga, YB Menteri Pendidikan Tinggi telah melancarkan buku baharu terbitan UKM yang bertajuk "Melakar Kepimpinan Cemerlang Era Covid-19 dan Pasca Pandemik".
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir; Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohamad Abd. Razak; serta Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1112