YB Menteri Ke Ruang Bicara Hurai Topik 'Digitalisasi TVET Lahirkan Graduan Berkemahiran Tinggi'

YB Menteri Ke Ruang Bicara Hurai Topik 'Digitalisasi TVET Lahirkan Graduan Berkemahiran Tinggi'

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menghuraikan topik 'Digitalisasi TVET Lahirkan Graduan Berkemahiran Tinggi' dalam program Ruang Bicara di Bernama TV malam semalam.

Beliau yang ditemuramah oleh hos, Wan Syahrina bersempena sambutan Hari TVET Negara yang bakal disambut pada Sabtu depan telah menjelaskan pelan serta fokus yang sedang dijayakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melaksanakan agenda pendigitalan bidang TVET bawah terajunya.

Antara yang menjadi isi perbincangan malam tadi adalah berkenaan pemerkasaan infrastruktur dan infostruktur; pelan TVET Digital PolyCC; trend Revolusi Industri 4.0; Kecerdasan Buatan (AI); serta pelbagai penemuan baharu dan inovasi terkini yang perlu dijujukkan dengan dasar sedia ada kementerian.

Selain itu, turut disentuh tentang siri-siri lawatan beliau ke beberapa negara maju sebagai usaha mempelajari dan penandaarasan dalam membangunkan ekosistem TVET KPT yang kompeten dan bercirikan tempatan.

Di bawah ekosistem TVET KPT, terdapat empat (4) universiti teknikal di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN); 36 buah politeknik; dan 105 buah kolej komuniti yang masing-masing berupaya menawarkan pelbagai kursus dan program berasaskan teknikal dan kemahiran bukan sahaja kepada pelajar lepasan sekolah, malah warga negara yang berminat.

Mod pembelajaran anjal seperti Work Based Learning (WBL) dan micro-credentials turut ditawarkan oleh KPT melalui ekosistem tersebut, sekali gus menjadi nilai tambah dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan negara.

Menurutnya lagi, bidang TVET telah diberikan penekanan yang utama oleh kerajaan melalui penubuhan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu, kerjasama KPT dengan sektor industri turut membantu melahirkan graduan yang mampu memenuhi permintaan dan keperluan pasaran kerja tempatan dan juga antarabangsa.

YB Menteri turut menyatakan kesediaan KPT bersama 11 kementerian lain di bawah payung Majlis TVET Negara, untuk berganding bahu dalam menjayakan Dasar TVET Negara 2030 yang bakal dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Sabtu ini. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1309
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 01:33:11.

logo-sirim