Wacana AKEPT 2026: Universiti Perlu Jadi Pemangkin Pembangunan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan

Wacana AKEPT 2026: Universiti Perlu Jadi Pemangkin Pembangunan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan

4 Jun 2026 | Bandar Enstek, Negeri Sembilan

Universiti perlu memainkan peranan sebagai pemangkin utama pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan melalui pengukuhan sinergi antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), industri, kerajaan dan komuniti dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata kejayaan sesebuah negara membangunkan industri berteknologi tinggi tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan institusi ilmu yang menjadi sumber kepada penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat.

Menurut beliau, pengalaman pusat teknologi terkemuka dunia seperti Lembah Silikon di Amerika Syarikat dan Hsinchu di Taiwan membuktikan bahawa universiti merupakan teras kepada pembentukan ekosistem inovasi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi secara mampan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Wacana Kepimpinan AKEPT Siri 3 Tahun 2026 bertajuk Memperkasa Sinergi IPT, Industri dan Komuniti yang berlangsung di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) siang tadi.

Jelas beliau, pembangunan ekonomi masa hadapan memerlukan pendekatan yang menggabungkan peranan universiti, industri, kerajaan dan komuniti menerusi model quadruple helix bagi memastikan setiap pihak dapat menyumbang secara bersepadu kepada agenda pembangunan negara.

Dalam hubungan ini, beliau menegaskan bahawa universiti tidak boleh bergerak secara bersendirian sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan yang mampu menjana penyelesaian kepada cabaran industri dan masyarakat.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa kewujudan institusi berasaskan pengetahuan merupakan faktor penting dalam menyokong pembangunan koridor pertumbuhan baharu dan hab teknologi negara agar tidak hanya tertumpu kepada aktiviti pengeluaran semata-mata.

Menurut beliau, pembangunan industri yang berdaya saing memerlukan pengukuhan aspek penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi serta penerapan budaya inovasi yang berterusan dalam kalangan warga akademia dan pemain industri.

Beliau turut berpandangan bahawa kekuatan universiti dalam menghasilkan ilmu, bakat dan penyelesaian berasaskan penyelidikan perlu dimanfaatkan secara optimum bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi yang dipacu inovasi.

Wacana yang dikendalikan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Dato' Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed itu turut menghimpunkan pemimpin IPT, wakil industri dan peserta Kursus Kepimpinan Institusi: Jaringan Industri dan Masyarakat bagi membincangkan pendekatan memperkukuh hubungan strategik antara sektor pendidikan tinggi dan industri.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato' Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran; Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; naib-naib canselor Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, wakil industri serta peserta Kursus Kepimpinan Institusi: Jaringan Industri dan Masyarakat. 

  • Last updated on .
  • Hits: 30
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 10 Jun 2026, 07:46:50.

logo-sirim