UTM Kongsi Kepakaran Bersama Komuniti Melalui Bengkel Kelulut Moden

UTM Kongsi Kepakaran Bersama Komuniti Melalui Bengkel Kelulut Moden

YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi hari ini telah merasmikan Bengkel Kelulut Moden Bee-Modular yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Seramai 30 peserta yang terdiri daripada penduduk setempat telah dipilih untuk menyertai bengkel fasa 1 pemindahan ilmu dan teknologi “Bee Modular Box” bagi meningkatkan penjanaan pendapatan komuniti dengan mengaplikasikan inovasi yang dibangunkan oleh UTM.

Matlamat utama penganjuran bengkel yang mempunyai 6 fasa ini adalah untuk memastikan peserta mendapatkan pengetahuan tentang asas perniagaan, pemasaran, penjenamaan dan kaedah pengurusan sistematik teknologi kelulut moden “Bee Modular Box”, dan akhirnya menjana pendapatan tambahan yang lestari untuk mereka.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Menteri berkata inisiatif perkasakan komuniti menerusi program pemindahan ilmu dan teknologi perlu diteruskan oleh IPT sebagai sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.

“Ia selari dengan aspirasi KPT agar semua IPT memperbanyak program turun padang serta menyemarakkan lagi perkongsian ilmu dan kepakaran dengan komuniti menerusi Program “University for Society@Keluarga Malaysia” atau UNiTY.

“Justeru, penganjuran bengkel Kelulut Moden Bee-Modular yang dianjurkan oleh UTM hari ini amat bertepatan dengan hasrat KPT agar UA dapat menurunkan ilmu kepada penduduk setempat bagi memberi manfaat khususnya dalam upaya kita semua untuk menyantuni Keluarga Malaysia,” katanya.

Turut hadir Dr Mohd Zabry Yusoff, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan), Prof Dato’ Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Prof Datuk Dr Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4710
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Ahad 15 September 2024, 01:15:57.

logo-sirim