UPNM Sapu Bersih Kejohanan 'LE TOUR de IPT 2023'
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dinobat sebagai juara keseluruhan edisi pertama kejohanan lumba basikal jelajah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Le Tour de IPT 2023 (LTdIPT 2023) apabila Mohamad Afi Danial Ramli Abu Bakar melengkapkan penguasaan dengan memenangi peringkat terakhir di sini pagi tadi.
Mohamad Afi Danial, pelajar UPNM itu telah berjaya menyarung jersi kuning kejohanan apabila konsisten menduduki tempat pertama podium dan mendahului para peserta dari IPT lain bermula dari sesi kibar mula iaitu Kolej Komuniti Segamat-Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 17 Jun lalu.
Malah beliau telah turut ditabal sebagai Raja Pecut (Jersi Hijau) serta memenangi kategori Pendahulu Bawah 21 Tahun.
Selepas KK Segamat-UTeM, LTdIPT 2023 meneruskan jelajah ke tiga lagi peringkat iaitu UTeM pada 18 Jun lalu, diikuti Politeknik Port Dickson-Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam, dan peringkat terakhir pagi tadi dari UNITEN-KPT dengan jumlah jarak keseluruhan sejauh 332.7 KM merentasi lima (5) buah negeri termasuk Putrajaya.
Selain Afi Danial, seorang lagi pelajar UPNM iaitu, Ahmad Irfan Abdul Hamid turut berjaya menamatkan kejohanan sebagai Raja Bukit dan memenangi jersi polka dot.
Penganjuran LTdIPT 2023 telah dijayakan secara bersama antara Seksyen Sukan KPT dengan UTeM dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) melibatkan para penaja dari sektor korporat dan badan-badan sukan tempatan.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang serta upacara penutup telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2588