UMK Bakal Teraju Pusat Kecemerlangan Keusahawanan Pendidikan Tinggi Kebangsaan

UMK Bakal Teraju Pusat Kecemerlangan Keusahawanan Pendidikan Tinggi Kebangsaan

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bakal menerajui Pusat Kecemerlangan Keusahawanan Pendidikan Tinggi yang akan menjadi rujukan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) lain dalam usaha menerapkan minat dan nilai keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

Satu-satunya universiti awam bertujahkan pendidikan keusahawanan dan perusahaan, UMK turut disaran untuk mendekati perniagaan-perniagaan komuniti yang boleh dimajukan bagi merubah lanskap ekonomi setempat dan seterusnya mampu meningkatkan pendapatan mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika membuat lawatan kerja rasmi ke UMK di sini pagi tadi.

Delegasi KPT telah disambut oleh barisan pengurusan, kakitangan dan mahasiswa UMK yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarahnya, YBhg. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

YB Menteri seterusnya telah menerima taklimat yang telah disampaikan oleh Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dr. Razli Che Razak berkenaan pencapaian dan hala tuju UMK dalam menjayakan misi mereka menjadi Universiti Keusahawanan Terbaik Asia menjelang tahun 2030.

Pada kunjungan tersebut, YB Dato' Seri Mohamed Khaled turut merasmikan Inkubator Keusahawanan dan Pusat Penyelidikan UMK yang dijangka mampu memantapkan lagi tujahan UMK dalam melatih lebih ramai mahasiswa menjadi usahawan.

Beliau turut melawat dan merasmikan Hospital Pengajar Fakulti Perubatan Veterinar UMK yang mengikut perancangan universiti bakal melahirkan lebih ramai doktor veterinar di masa hadapan.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohamad Zabri Yusoff; dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Prof. Dr. Norzaini Azman.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1786
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.