TELAAH Bersama KSU KPT: Menelusuri Evolusi Ekonomi dan Sosial Malaysia Melalui Karya Sultan Nazrin

TELAAH Bersama KSU KPT: Menelusuri Evolusi Ekonomi dan Sosial Malaysia Melalui Karya Sultan Nazrin

6 Mei 2026 (KPT) | Putrajaya

Semangat menyuburkan budaya membaca dan wacana intelektual dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi nadi pelaksanaan program Telaah Bersama KSU, KPT yang berlangsung di Lobi Utama KPT pagi tadi.

Pada program tersebut, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim telah membedah buku bertajuk "Chronicling Themes in the Economic and Social History of Malaysia" suntingan DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Bertemakan diskusi ilmiah yang merentasi sempadan bilik mesyuarat, program selama sejam itu telah dikendalikan oleh Tn. Sayed Munawar Sayed Mustar selaku moderator.

Buku suntingan DYMM Sultan Nazrin ini menghimpunkan 35 bab yang ditulis oleh sarjana terkemuka, merangkumi sejarah Malaysia berbilang kaum dan budaya, serta menelusuri perjalanan negara daripada ekonomi berpendapatan rendah kepada hampir berpendapatan tinggi.

Naskhah berkenaan dilancarkan secara rasmi pada 2 Disember 2025 dan diterbitkan oleh World Scientific, mendokumentasikan evolusi Malaysia dari zaman penjajahan British hinggalah transformasi ekonomi daripada berasaskan komoditi kepada industri dan perkhidmatan.

Kandungan buku tersebut merangkumi tiga tema utama iaitu pembangunan ekonomi Malaya dan Malaysia, pembangunan sosial yang menganalisis perubahan masyarakat berbilang etnik, serta pembangunan negeri dan bandar yang menumpukan peranan bandar kecil dalam proses pembandaran.

Telaah merupakan platform bedah buku yang mempertemukan pemikir, penulis dan ilmuwan dalam bual bicara ilmiah, membedah karya besar yang membentuk dasar dan budaya fikir masyarakat, dilancarkan oleh Perdana Menteri YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025.

Melalui program Telaah Bersama KSU ini, KPT menegaskan komitmennya untuk menjadikan kementerian bukan sekadar pentadbir pendidikan tinggi, tetapi juga pemacu budaya ilmu yang progresif selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian serta pegawai-pegawai kanan KPT. 

  • Last updated on .
  • Hits: 76
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 08 Mei 2026, 09:18:20.

logo-sirim