Tarik Pelaburan Asing, Beri Peluang Mahasiswa Capai Pendapatan Tinggi
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan untuk mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 serta menyampaikan Titah Diraja di sini pagi tadi.
Keberangkatan tiba baginda bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah itu telah disambut oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud serta jemaah Menteri serta ahli-ahli parlimen dan senator.
Baginda bertitah bahawa taraf sistem pendidikan tinggi negara kini sudah meningkat serta berjaya melahirkan ramai graduan yang berkualiti tinggi.
"Namun, peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa ini adalah tidak setaraf dengan kelayakan yang mereka miliki.
Oleh yang demikian, Kerajaan perlu berusaha menarik pelaburan yang bernilai tinggi supaya peluang pekerjaan yang dihasilkan akan memberi pendapatan yang berpatutan," jelas baginda.
Dalam titahnya juga baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat jelata yang mengekalkan perpaduan yang harmoni, hidup bersatu padu dan berpegang teguh kepada Rukun Negara.
Baginda turut bertitah untuk memanjatkan doa dan usaha agar Malaysia terus aman dan maju dan seluruh rakyatnya menikmati kehidupan yang sempurna, bahagia dan sejahtera.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1065