Sidang Kemuncak Perpustakaan Asia Tenggara Untuk Masa Depan 2024: Tingkat Pengetahuan Dan Inovasi Antara Pustakawan Dan Perpustakaan Akademik Serantau
Dalam era yang ditandai dengan kemajuan teknologi yang pesat dan masyarakat yang berkembang secara dinamik, perpustakaan kekal muncul sebagai hab ilmu dan inovasi yang penting.
Justeru, kerjasama antara tiga (3) universiti awam di utara semenanjung, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Elsevier, peneraju global dalam syarikat maklumat saintifik dan analisis, telah mengambil inisiatif menghimpunkan pustakawan dan profesional sains maklumat dari seluruh negara ASEAN dalam Sidang Kemuncak Perpustakaan Asia Tenggara Untuk Masa Depan 2024 (South East Asia Libraries of the Future Summit 2024) di sini pagi tadi.
Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, sidang kemuncak bertemakan 'Membina Perpustakaan Hari Esok: Inovasi Mampan untuk Masa Depan Berdaya Tahan' tersebut membincangkan pelbagai topik merangkumi aspirasi kolektif pustakawan dan profesional sains maklumat yang berdedikasi untuk memacu dan mengekalkan kemajuan dalam bidang mereka.
Dalam ucapannya, Mustapha menekankan bahawa perkongsian industri-akademik menetapkan penanda aras baharu untuk memacu inovasi, memajukan transformasi digital dan memperkasakan penyelidikan dalam universiti.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa sidang kemuncak ini akan meletakkan asas untuk perpustakaan masa depan dengan memupuk persekitaran di mana trend baru muncul dan amalan inovatif boleh berkembang maju, walhasil akan meningkatkan keupayaan penyelidikan dan impak institusi akademik.
“Perpustakaan akademik dan pustakawannya telah memainkan peranan penting dalam menyokong penyelidikan, pengurusan data penyelidikan dan menggalakkan akses terbuka kepada pengetahuan.
Oleh itu, kita mesti melabur dalam penyelesaian dan platform repositori digital yang mampan, yang mampu menyediakan akses terbuka kepada penyelidikan akademik, memastikan pengetahuan tersedia secara percuma untuk semua, sekali gus menyumbang kepada pertukaran maklumat global dan menyokong kemajuan sains dan kesarjanaan,” katanya.
Tambahnya lagi, proses pembelajaran dan penyesuaian berterusan perlu ditekankan sebagai elemen penting dalam membina perpustakaan masa depan di tengah-tengah senario Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity (VUCA) iaitu Ketidakstabilan, Ketidakpastian, Kerumitan dan Kekaburan hari ini.
Hadir sama Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr Abdul Rahman Mohamed; Naib Canselor UUM, Prof. Dr Mohd Fo’ad Sakdan; Ketua Pustakawan UniMAP, Mazmin Mat Akhir yang mewakili Naib Canselor UniMAP; serta Pengarah Rantau Asia Tenggara, Australia dan New Zealand Elsevier, Omar Malik.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 622