Sidang Kemuncak Kepimpinan Kuala Lumpur 2026: YB Menteri Garis 5 Kualiti Pemimpin Masa Hadapan

Sidang Kemuncak Kepimpinan Kuala Lumpur 2026: YB Menteri Garis 5 Kualiti Pemimpin Masa Hadapan

27 April 2026 | Kuala Lumpur

​Pembentukan generasi pemimpin masa hadapan yang utuh menuntut penerapan lima (5) kualiti utama iaitu berteraskan nilai, tangkas secara intelektual, berperikemanusiaan, kolaboratif, dan berani bertindak.

​Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyifatkan naratif tersebut sebagai solusi tuntas bagi mendepani era penuh kekacauan menerusi kepimpinan yang memiliki kompas moral yang teguh serta integriti tinggi.

​Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Sidang Kemuncak Kepimpinan (Leadership Summit) Kuala Lumpur 2026 yang menghimpunkan lebih 500 orang peserta di Dewan Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, petang tadi.

YB Dato' Seri Diraja Dr. ​Zambry turut menjelaskan bahawa pemimpin masa kini perlu mempunyai ketangkasan intelektual untuk bertindak sebagai arkitek masa hadapan dan bukan sekadar menjadi tawanan kepada realiti masa lalu.

​Kepimpinan yang diharapkan juga mestilah bersifat berperikemanusiaan dengan mengutamakan empati, selain berfikiran global bagi membina jajaran strategik dalam menyelesaikan krisis sejagat.

​Sidang kemuncak tersebut turut memaparkan sesi ucaptama oleh Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Republik Türkiye, Prof. Dr. Erol Özvar dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, Necmettin Bilal Erdoğan.

Selain itu, ​ikon bola sepak dunis, Mesut Özil turut hadir mengendalikan sesi khas bagi membincangkan bagaimana pengaruh awam mampu digunakan untuk memupuk perpaduan sosial dan keamanan sejagat.

​Forum kemuncak bertajuk “Kepimpinan dalam Era Kekeliruan” telah menampilkan barisan ahli panel, antaranya Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah; Presiden Yayasan Sycamore, Sharif Hassan al-Banna MBE; serta Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar.

​Prakarsa tersebut merupakan kolaborasi strategik antara KPT melalui UTM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, serta Yayasan Sycamore bagi memposisikan universiti sebagai tiang utama diplomasi global.

​Hadir sama Duta Besar Republik Türkiye ke Malaysia, TYT Emir Salim Yuksel; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Azman Haji Mokhtar; serta Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohammad Rahim. 

  • Last updated on .
  • Hits: 118
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 30 April 2026, 06:34:40.

logo-sirim