Sekitar Rangkuman Karnival KPT Keluarga Malaysia

19 Februari 2022

Usai sudah Karnival KPT Keluarga Malaysia yang berlangsung selama 3 hari ini.

Karnival yang telah disempurnakan oleh YAB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri itu telah berjaya menarik minat semua lapisan rakyat untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh IPT dan agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Penganjuran karnival ini bukanlah sekadar pameran pendidikan tinggi semata-mata malah KPT turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma oleh pasukan kesihatan hospital pengajar universiti (HPU), temuduga terbuka dengan kerjasama PERKESO, sesi ceramah dan sembang santai, serta gerai-gerai jualan.

Sesuai dengan inisiatif KPT Prihatin, pelbagai projek penyelidikan dan kemahiran para pakar dan pelajar daripada IPT turut diterjemahkan melalui aktiviti sumbang bakti seperti program Tautan Mesra UTM dan Program CSR TVET PolyCC Prihatin@Parit Sulong.

YAB Perdana Menteri yang telah berbesar hati menyampaikan pelbagai sumbangan serta surat tawaran pengajian pada majlis perasmian semalam turut mengumumkan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) yang mensasarkan seorang siswazah lahir daripada setiap keluarga B40 dan akan dibantu dari mula belajar hingga mendapat pekerjaan.

Biarpun para pengunjung silih berganti dari pagi hingga ke petang, kementerian tetap tidak melupakan tanggungjawab dalam memastikan penganjuran dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Keseluruhannya, semangat Keluarga Malaysia telah berjaya dimanifestasikan oleh KPT dengan merakyatkan pengisian dan aktiviti sepanjang karnival berlangsung.

Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri memuji inisiatif ini dan berharap ia diteruskan ke seluruh negara bagi menyebarluaskan manfaatnya ke segenap pelusuk masyarakat.

Terima kasih Keluarga Malaysia!!!

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 13165
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 09 April 2024, 09:42:49.