Sedekad UITM Cawangan Perak Kampus Tapah, Memperkasa Pendidikan Tinggi Malaysia

Sedekad UITM Cawangan Perak Kampus Tapah, Memperkasa Pendidikan Tinggi Malaysia

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah, hari ini.

Peristiwa bersejarah ini menandakan satu lagi pencapaian besar dalam perjalanan pendidikan tinggi di Malaysia, terutamanya dalam usaha UiTM untuk terus menjadi peneraju utama dalam pendidikan dan inovasi.

Terdahulu, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah mula beroperasi pada 1 Disember 2010 dengan hanya enam unit bangunan dan 25 orang pelajar yang memulakan pengajian dalam Diploma Sains Aktuari dan Pra Diploma (Sains) manakala seramai 450 pelajar menjadi kumpulan pertama memulakan pengajian pada 27 Disember 2010.

Fasa Kedua kampus ini mula dibina pada tahun 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada 21 April 2014 yang mampu menampung sehingga 5,000 pelajar dengan fasiliti kediaman yang berkapasiti 2,500 pelajar.

Selain itu, terdapat kemudahan lain disediakan termasuk kompleks pentadbiran, blok fakulti, perpustakaan, pusat pelajar, pusat Islam, bangunan kafeteria, Unit Kesihatan, kolej kediaman dan pelbagai lagi kemudahan bertaraf moden untuk kemudahan pelajar.

Pada masa ini, UITM Cawangan Perak Kampus Tapah menawarkan sembilan (9) program utama daripada Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, Fakulti Perakaunan dan Fakulti Sains Gunaan.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, penubuhan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah bukan sahaja membuka peluang pendidikan yang luas, tetapi juga peluang pekerjaan kepada ratusan staf dan pensyarah muda.

Semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh warga kampus ini telah menjadi pemacu kejayaan sejak penubuhannya, dan terus menjadi penyumbang utama dalam memajukan lagi kecemerlangan institusi ini pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan melawat pameran yang disediakan sebelum berangkat ke majlis santapan dan berangkat pulang.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi,Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 899
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim