RM2.14 Juta Laksana Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Komuniti MADANI

RM2.14 Juta Laksana Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Komuniti MADANI

Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) terus menjadi perhatian dan tumpuan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasa komuniti MADANI. Sejumlah RM2.14 juta telah diperuntukkan oleh KPT kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bagi melaksanakan Program PSH di 105 buah kolej komuniti seluruh negara.

Majlis penyampaian cek telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi kepada Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail di Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Negeri Johor.

Dalam ucapannya, YB Menteri berkata “peranan kolej komuniti perlu terus diperkasa dan menjadi saluran pengajian sepanjang hayat kepada masyarakat terutama kepada individu atau komuniti yang mahu melengkapkan diri dengan kemahiran baharu atau memperbaharui kemahiran lama.”

Tambah beliau lagi, KPT sedang merangka pelbagai program bagi melahirkan masyarakat celik digital. Bagi tujuan ini, KPT akan bekerjasama dengan universiti untuk melatih tenaga pengajar yang berkelayakan. Selain itu, KPT turut akan memperkasa peranan kolej komuniti sebagai pusat peningkatan kemahiran dan latihan semula atau 'reskilling' dan 'upskilling' selaras dengan perubahan serta keperluan semasa.

Bagi menjayakan hasrat tersebut, beliau menyeru semua Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) agar bersama-sama menggalas tanggungjawab untuk menarik masyarakat agar sentiasa menambah baik potensi dan kemahiran diri selaras dengan hasrat Malaysia MADANI iaitu membangunkan sebuah masyarakat yang berkeupayaan, mandiri dan mampu mencari kesejahteraan hidup.

Pada majlis tersebut, seramai 12 orang Pengerusi JPENKK Negeri Johor iaitu dari Kolej Komuniti (KK) Ledang, KK Pagoh, KK Muar, KK Segamat, KK Segamat 2, KK Bandar Penawar, KK Bandar Tenggara, KK Pasir Gudang, KK Tanjung Piai, KK Kota Tinggi, KK Batu Pahat dan KK Kluang telah dilantik untuk tempoh dua (2) tahun.

Hadir sama pada majlis ini ialah Ahli Pengurusan Tertinggi JPPKK dan Pengarah-pengarah Kolej Komuniti Negeri Johor.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1208
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.