Putrajaya FOI 2026: MoU EMGS dan Bank Islam, Mudahkan Urusan Pelajar Antarabangsa

18 November 2026 | Putrajaya
Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 menjadi wadah memperluas kerjasama antara sektor pendidikan tinggi dan industri menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bagi memudahkan pembukaan akaun bank kepada pelajar antarabangsa di Malaysia.
Kerjasama itu mencerminkan bagaimana jaringan industri dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan penyelesaian praktikal yang memenuhi keperluan komuniti pendidikan tinggi, khususnya dalam membantu pelajar antarabangsa menyesuaikan diri dengan kehidupan di Malaysia.
MoU berkenaan bertujuan mengurangkan kekangan pentadbiran serta memudahkan akses kepada perkhidmatan perbankan tempatan, termasuk bagi urusan perbelanjaan harian, penerimaan kiriman wang dari luar negara dan pengurusan komitmen kewangan sepanjang tempoh pengajian.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyaksikan majlis pertukaran MoU yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram.
Penganjuran Putrajaya FOI 2026 dari 17 hingga 19 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertemakan 'Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani' turut mengetengahkan kepentingan menghubungkan idea, inovasi dan kepakaran dengan keperluan sebenar masyarakat.
Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 175,000 orang pelajar antarabangsa di Malaysia setakat September 2026, selain menyokong penyediaan kemudahan asas yang membantu mereka menguruskan kehidupan sepanjang berada di negara ini.
Kerjasama itu menggabungkan kepakaran perbankan Bank Islam dengan peranan EMGS dalam memudah cara urusan pelajar antarabangsa, termasuk menyediakan sokongan terhadap keperluan mereka sepanjang tempoh pengajian.
Menerusi kerjasama seumpama itu, Putrajaya FOI 2026 turut memperlihatkan peranan festival berkenaan sebagai ruang menghubungkan idea dengan tindakan melalui jaringan antara Kerajaan dan industri demi memenuhi keperluan semasa serta masa depan pendidikan tinggi negara.
“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”
- Last updated on .
- Hits: 23
