PSKG 2026–2030 Jadi Panduan Lahir Graduan Adaptif, Tangkas dan Berdaya Tahan

PSKG 2026–2030 Jadi Panduan Lahir Graduan Adaptif, Tangkas dan Berdaya Tahan

20 Ogos 2026 | Kuala Lumpur

Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030 menjadi panduan baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membentuk graduan yang adaptif, tangkas dan berdaya tahan bagi menghadapi perubahan pasaran pekerjaan masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata sistem pendidikan tinggi perlu mempunyai keanjalan untuk disesuaikan dari semasa ke semasa berdasarkan perubahan dan keperluan pasaran pekerjaan.

Beliau berkata pendekatan itu dilaksanakan menerusi kerjasama KPT dengan kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Ekonomi (KE), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi menyelaras keperluan tenaga kerja negara.

Menurutnya, penelitian terhadap keperluan bakat juga perlu merangkumi pelbagai tahap kelayakan kerana permintaan industri tidak semestinya tertumpu kepada graduan peringkat ijazah, sebaliknya turut melibatkan lulusan diploma dan sijil.

Dalam masa sama, KPT memberi perhatian kepada program peningkatan kemahiran (reskilling and upskilling) dan pembelajaran bersifat stackable bagi membolehkan pekerja menambah kemahiran secara berperingkat selaras dengan penggunaan teknologi, mesin dan peralatan baharu dalam industri.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata kerjasama antara industri dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) turut membolehkan keperluan kemahiran khusus diterapkan dengan lebih dekat menerusi pendekatan industri berada di kampus.

Beliau berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan sistem pendidikan tinggi terus responsif terhadap perubahan dunia pekerjaan serta menyediakan bakat yang diperlukan negara pada masa kini dan masa hadapan.

Sehubungan itu, PSKG 2026–2030 diluncurkan sebagai dokumen rujukan nasional dengan visi “Graduan Adaptif, Tangkas, Berdaya Tahan Sebagai Pemangkin Negara Berpendapatan Tinggi” bagi membentuk ekosistem kebolehpasaran graduan secara menyeluruh dan bersepadu.

Peluncuran pelan itu menjadi kemuncak Persidangan Kebolehpasaran Graduan KPT 2026 bertemakan “Merapat Jurang, Melakar Peluang, Mencorak Graduan Masa Hadapan” yang menghimpunkan pemegang taruh daripada IPT, kementerian, agensi kerajaan dan industri bagi membincangkan hala tuju serta keperluan bakat masa hadapan.

Pada majlis sama, KPT melalui Bahagian Perancangan Strategik turut menyampaikan Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan 2021–2025 kepada IPT awam dalam kategori universiti awam, politeknik dan kolej komuniti sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian kebolehpasaran graduan yang konsisten sepanjang tempoh lima (5) tahun.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Timbalan KSU (Pengurusan dan Pembangunan) Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan KSU (Dasar), Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Lt. Jen. Datuk Arman Rumaizi Hj. Ahmad; dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa.

  • Last updated on .
  • Hits: 9
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 20 Ogos 2026, 10:36:55.

logo-sirim