Program Semarak Komuniti Kota Tinggi, Kongsi Manfaat Bersama Penduduk Setempat

Program Semarak Komuniti Kota Tinggi, Kongsi Manfaat Bersama Penduduk Setempat

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin pada pagi ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Program Semarak Komuniti Kota Tinggi di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor.

Dalam ucapannya, YB Menteri berkongsi bahawa peranan universiti tidak hanya terhad melahirkan graduan yang berkualiti sahaja, tetapi juga perlu meneroka ilmu baharu melalui penyelidikan dan memastikan pemindahan ilmu berlaku kepada masyarakat. Melalui penglibatan ini, maka masyarakat akan dapat melihat keterlibatan institusi pendidikan tinggi (IPT) dan mampu memperbaiki serta meningkatkan kedudukan sosial, ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat setempat.

Ini juga selaras dengan Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) YB Menteri turut mensasarkan program bersama masyarakat harus juga diberikan keutamaan oleh setiap universiti.

Menyahut seruan tersebut, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Program Semarak Komuniti Kota Tinggi mulai 26 Mei 2023 hingga hari ini, 28 Mei 2023 iaitu program berbentuk universiti- masyarakat yang merangkumi program berbentuk pemindahan ilmu daripada kepakaran penyelidik UMT, tanggungjawab sosial universiti dan aktiviti mahasiswa kepada masyarakat setempat.

Program selama tiga hari ini juga telah diisi dengan pelbagai aktiviti bersama masyarakat setempat; antaranya sesi perkongsian ilmu daripada penyelidik UMT dan aktiviti bersifat ilmiah merangkumi kluster pendidikan, kebudayaan, sosial dan keluarga komuniti.

Selain itu, bagi memastikan program yang dijalankan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti Kota Tinggi, UMT juga mengambil pendekatan bersepadu dengan libatsama pihak industri. Pada pagi ini juga telah berlangsung sesi penyerahan Surat Niat Kerjasama di antara Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, UMT dengan K Bees Sdn. Bhd. berkaitan kerjasama dalam teknologi penternakan Lebah Kelulut.

Melalui program ini juga, masyarakat sekitar turut mendapat pelbagai manfaat daripada aktiviti-aktiviti dan projek-projek yang telah dilaksanakan bersama.

Turut hadir ke majlis perasmian pada pagi ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan); YBhg. Dato’ Prof. Dr. Noraini Azman; Naib Canselor UMT, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pertanian Malaysia (UPM), YBhg. Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo, Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi, Encik Mohammad Nazrul bin Abd Rahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, YB Tuan Muszaide bin Makmor, para pelajar serta masyarakat setempat.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3389
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 03 Oktober 2024, 04:17:23.

logo-sirim