Program KUDAH Tanam 100 Anak Pokok Sepanjang Sungai Langat
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang telah mengetuai program tanam pokok dan kutip sampah sambil riadah (KUDAH) di Denai Sungai Langat berdekatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pagi tadi.
Program yang dianjurkan oleh Friends of Rivers Malaysia (FoRM) bersama Smart and Sustainable Township Research Centre (SUTRA) UKM ini mengumpulkan seramai 90 orang peserta yang terdiri daripada ahli FoRM, Etika, UKM, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Para peserta bergotong-royong membersihkan kawasan denai dan menanam sebanyak 100 anak pokok di sepanjang satu kilometer denai sungai sebagai sebahagian daripada inisiatif Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Selain itu, aktiviti penanaman pokok ini menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon.
Inisiatif untuk mewujudkan denai di sepanjang sungai ini telah dicetuskan oleh YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini sendiri setelah melihat kawasan rizab sungai yang menjadi kawasan pembuangan sampah yang tidak terjaga dan dipenuhi semak samun.
Para peserta turut mengibarkan jalur gemilang sepanjang aktiviti berlangsung sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan durian dan rambutan sebelum para peserta bersurai.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 501