PPTM 2025-2035 Jadi Fokus Hari Ke-2 Seminar Perancangan Hala Tuju KPT Tahun 2025

PPTM 2025-2035 Jadi Fokus Hari Ke-2 Seminar Perancangan Hala Tuju KPT Tahun 2025

Masuk hari kedua Seminar Perancangan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2025 (SPHT 2025) siang tadi, pengisian program banyak difokuskan kepada Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 yang bakal dilancarkan pada tahun hadapan.

Pengerusi Kumpulan Pakar PPTM 2025-2035, Datuk Prof. Emerita Dr. Asma Ismail telah membuat pembentangan berkenaan hala tuju pelan tersebut yang mengupas kesemua 10 lonjakan ('shifts') yang bakal mentransformasikan sistem pendidikan tinggi negara dalam lanskap global yang dinamik.

Sesi pembentangan tersebut turut diikuti dengan sesi soal jawab yang menampilkan kesemua 10 orang Ketua Lonjakan bagi memberikan penerangan tuntas kepada para peserta seminar yang hadir.

Bagi membincangkan cabaran serta penambahbaikan dalam usaha menjayakan PPTM 2025-2035 kelak, sebuah forum bertajuk 'Navigasi Pendidikan Tinggi Pra PPTM 2025-2035' telah turut dianjurkan dengan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman bertindak sebagai moderator.

Forum tersebut telah menampilkan gandingan dua (2) orang ahli panel iaitu Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Azman Mokhtar serta penasihat YB Menteri Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dato' Seri Prof. Dr. Noor Azlan Ghazali yang masing-masing memiliki pengalaman luas serta kepakaran dalam mengemudi sektor korporat dan institusi pendidikan tinggi.

Pada petangnya pula, para peserta yang terdiri para pengurusan tertinggi KPT; para pegawai kanan kementerian, jabatan, dan agensi; para Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Awam (UA); para Naib Canselor UA; para Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti; serta Ketua Eksekutif 'Government Link Universities' (GLU) telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi membincangkan perancangan pendidikan tinggi pada tahun hadapan berdasarkan hala tuju PPTM 2025-2035.

Selain itu, mereka turut membincangkan berkenaan isu-isu strategik berkaitan KPT termasuklah mengemukakan cadangan penyelesaian bagi penyediaan hala tuju kementerian dan juga aspirasi YB Menteri Pendidikan Tinggi bagi tahun 2025.

Hasil daripada perbengkelan tersebut akan dibentangkan kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi esok bagi mendapatkan maklum balas serta cadangan penambahbaikan sebelum ia diumumkan kepada orang awam serta para pemegang taruh pada tahun hadapan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 406
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 10:01:10.

logo-sirim