POLYCC Jadi Pilihan Utama Pelajar Di Sabah

POLYCC Jadi Pilihan Utama Pelajar Di Sabah

Pihak pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah perlu melipatgandakan sekali gus meningkatkan promosi berkaitan kemasukan pelajar baharu di negeri ini.

YB Dato’ Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata, ini kerana syarat pembayaran yang sangat fleksibel memerlukan pelajar hanya membayar yuran serendah RM200 untuk mengikuti pengajian pada setiap semester.

Katanya, ini merupakan satu kelebihan pada Politeknik serta Kolej Komuniti sudah tentu dapat membantu masyarakat mendapat akses pendidikan yang berkualiti pada kos yang berpatutan.

“Kita melihat dari perspektif pendidikan di Sabah, antara cabaran masyarakat tidak memperoleh pendidikan sempurna atau tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi ialah masalah kesempitan hidup dan kekangan kewangan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra bersama Warga Polycc Zon Sabah di Kolej Komuniti Lahad Datu (KKLD), di sini hari ini.

Pada majlis itu, YB Timbalan Menteri telah menyampaikan Anugerah Peserta Kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) berjaya kepada Encik Johan Thomas; Peserta Kursus Urban Farming, Anugerah Alumni Berjaya Dalam Bidang, Encik Muhammad Hanif Said; Anugerah Alumni Bakti Setia, Encik Khairi Nazim Kadir dan sijil kepada peserta-peserta Kursus PSH.

Beliau turut berkesempatan melawat makmal-makmal PSH yang menawarkan Kursus Penghasilan Nestum Cereal Cookies, Kursus Penghasilan Cornflakes Crunchy Cookies, Kursus Penghasilan Mazola Cookies dan Kursus Penghasilan Red Velvet Cookies.

Selain itu, YB Timbalan Menteri juga telah merasmikan Pusat Inkubator KKLD yang berperanan sebagai pusat keusahawanan bagi pelajar untuk memasarkan produk yang dihasilkan kepada komuniti setempat.

Hadir sama YBrs. Dr Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah JPPKK; YBrs. Tuan Haji Muhamad Rumzi Mamat, Timbalan Ketua Pengarah JPPKK dan YBrs. Encik Jamaluddin Lantara, Pengarah KKLD.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2689
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Julai 2024, 10:52:23.