Politeknik Sebagai Pemangkin Komuniti MADANI Angkat Peranan Wanita Dan Penjaga Warga Emas

Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bukan sekadar medan ilmu tetapi kini berperanan sebagai pemangkin komuniti berimpak sosial menerusi penganjuran Seminar Wanita Pesona Elegan, Jiwa Sejahtera: Kesejahteraan dan Keamanan di Usia Emas anjuran Politeknik Kuching Sarawak (PKS) yang menghimpunkan lebih 500 orang peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Program ini merupakan anjuran bersama Pertubuhan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (SALWA Malaysia), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan PUSPANITA PKS dengan kerjasama strategik daripada KPT, Jabatan Pembangunan Wanita (KPWKM) dan Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Sarawak.
Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang menyatakan penghargaan kepada penganjur atas usaha memperkukuh jaringan sokongan wanita serta memperkasa peranan penjaga warga emas sejajar dengan nilai-nilai MADANI.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa wanita hari ini bukan sahaja tulang belakang keluarga bahkan merupakan ejen perubahan sosial dan pembangunan negara yang signifikan dari aspek kepimpinan, pendidikan serta penjagaan nilai.
“Tema seminar ini "Pesona Elegan, Jiwa Sejahtera", sangat tepat kerana ia mencerminkan kekuatan dalaman wanita yang bukan hanya anggun di luar tetapi sejahtera jiwanya, matang emosinya dan mantap kepimpinannya,” ujar beliau.
Seminar ini memberi penekanan terhadap isu kesejahteraan fizikal, mental, sosial dan spiritual warga emas selain mengiktiraf peranan penting penjaga dalam membentuk masyarakat penyayang dan sejahtera.
Forum dan bual bicara yang disampaikan oleh pakar dan wakil agensi berkaitan turut memperkaya pemahaman peserta terhadap realiti proses penuaan dalam masyarakat moden.
Menurut YB Timbalan Menteri, isu pengabaian warga emas perlu ditangani secara holistik, inovatif dan berempati dan beliau yakin idea serta solusi yang dikongsi mampu mencetuskan kesedaran serta tindakan dalam komuniti.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan kerajaan melalui KPWKM yang melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah memperkasa wanita dan penjaga termasuk latihan kemahiran, kesihatan mental dan perlindungan daripada keganasan rumah tangga.
Selain sesi ilmiah, seminar ini turut diserikan dengan aktiviti sampingan seperti pameran kesihatan, khidmat guaman, jualan produk usahawan wanita serta penyertaan pelbagai agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan yang memberi manfaat langsung kepada peserta dan pengunjung.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Seminar merangkap isteri kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datin Rosnih Nasir; Pengerusi SALWA Malaysia, Nordiran Idris; Pengerusi PUSPANITA PKS, Ts. Aidawati Mustapha; dan Setiausaha PUSPANITA KPT, Erma Marlina Hamsan.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 18