Politeknik Besut Terengganu Terima Kampus Baharu Beri Manfaat Komuniti Setempat

Politeknik Besut Terengganu Terima Kampus Baharu Beri Manfaat Komuniti Setempat

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah melawat Politeknik Besut Terengganu (PBT) sempena lawatan kerja beliau ke Terengganu hari ini.

PBT merupakan Politeknik ke-34 dan sebelum ini telah beroperasi di kampus sementara di Mukim Kampung Raja sejak Jun 2017.

Kampus baharu ini pula dibina di atas tapak berkeluasan 70 ekar di Mukim Keluang bakal menyediakan TVET kepada bakal pelajar di seluruh negara amnya dan komuniti setempat khasnya.

Kampus baharu PBT ini dilengkapi dengan kemudahan dua blok asrama pelajar yang mampu menampung kapasiti sehingga 480 orang, kafeteria, Student Plaza, Pusat Taska, Unit Kesihatan, Pusat Islam yang boleh memuatkan seramai 500 orang jemaah serta dewan utama dengan kapasiti 1000 orang pada satu-satu masa.

Selain itu, dalam menggalakkan warga kampus mengamalkan gaya hidup sihat, PBT turut dilengkapi dengan pusat sukan yang mempunyai kemudahan padang bola sepak, hoki dan futsal. PBT turut memiliki perpustakaan bagi menyokong proses pembelajaran pelajar ketika berada di kampus. Di samping itu, PBT turut dilengkapi dengan kemudahan internet tanpa wayar (WiFi) berkelajuan tinggi.

Turut hadir YB Dato' Haji Muhammad Pehimi Yusof, ADUN Jerteh, YB Datuk Nawi Mohamad, ADUN Hulu Besut dan YBrs Che Mukhtar Bakar, Pengarah PBT.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3162
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.