PM Rasmi Residensi Siswa UM, Sasar Tampung Kediaman 40,000 Mahasiswa Seawal 2032

PM Rasmi Residensi Siswa UM, Sasar Tampung Kediaman 40,000 Mahasiswa Seawal 2032

15 Oktober 2026 | Kuala Lumpur

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada siang tadi telah merasmikan Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) yang dirancang menyediakan kemudahan penginapan untuk sehingga 40,000 orang mahasiswa seawal tahun 2032 menerusi dua (2) fasa pembangunan bagi menangani keperluan kediaman di universiti tersebut.

Projek itu selari dengan usaha Kerajaan menangani keperluan penginapan mahasiswa diumumkan menerusi Belanjawan 2026 yang menetapkan sasaran awal pembinaan 1,000 unit residensi di UM, manakala pembangunan Residensi Siswa UM kini dirancang menyediakan kapasiti penginapan sehingga 40,000 mahasiswa menerusi dua (2) fasa.

Pembangunan berkenaan melibatkan empat (4) lokasi strategik di dalam kampus UM dengan keluasan keseluruhan kira-kira 52.4 ekar, merangkumi 10.3 ekar bagi Fasa 1 dan 42.1 ekar bagi Fasa 2.

Projek itu dilaksanakan menggunakan model pembinaan, pajakan dan pemindahan (Build, Lease, Transfer, BLT) tanpa memerlukan suntikan kewangan awal daripada UM atau Kerajaan.

Fasa 1 yang dibangunkan dengan kerjasama PBLT Sdn. Bhd. melibatkan pembangunan kediaman berhampiran Kolej Kediaman Dayasari dengan kapasiti 10,000 mahasiswa dan disasarkan siap pada tahun 2031.

Fasa 2 pula dirancang menyediakan kapasiti tambahan untuk 30,000 mahasiswa di tiga (3) lokasi dengan sasaran siap pada tahun 2032, sekali gus melengkapkan keseluruhan kapasiti penginapan yang dirancang.

Residensi Siswa UM menawarkan empat (4) kategori kediaman, iaitu Standard, Standard Premium, apartmen dua bilik dan studio, selain kemudahan sokongan termasuk capaian Internet berkelajuan tinggi, ruang bersama (common room), kedai serbaneka dan kemudahan rekreasi.

Pelaksanaan projek itu selari dengan agenda Belanjawan MADANI 2027 yang turut menyediakan RM800 juta bagi menaik taraf prasarana Universiti Awam (UA), manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengumumkan pelaburan RM750 juta menerusi Projek Vista Kampus di enam (6) UA lain yang terpilih.

Pembangunan Residensi Siswa UM turut dirancang menggabungkan kemudahan kediaman dengan ruang hijau, kemudahan komersial dan ruang komuniti bagi mewujudkan persekitaran kehidupan kampus yang lebih selesa serta menyokong kesejahteraan mahasiswa.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Pengerusi Lembaga Pengarah UM; Tan Sri Zarinah Anwar; serta Naib Canselor UM, Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

  • Last updated on .
  • Hits: 60
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 16 Oktober 2026, 08:51:40.

logo-sirim