Persidangan ICT4U 2.0, Bincang Hala Tuju Transformasi Digital Dalam Sektor Pendidikan Tinggi Negara

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin menyeru agar semua pegawai dan ketua ICT di universiti untuk berganding bahu dalam merealisasikan pendigitalan sepenuhnya di institusi masing-masing, demi mempertingkatkan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran melalui teknologi maklumat.
Tegas Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO) KPT, YBhg. Datuk Mohamad Azhan Md. Amir lagi, pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan di setiap Universiti Awam (UA) merupakan langkah penting untuk meneraju perubahan serta penerimaan teknologi digital yang terkini.
Beliau berkata demikian kepada para peserta Persidangan ICT for University 2024 (ICT4U 2.0), ketika merasmikan program anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pagi tadi.
Tambah beliau lagi, KPT telah memperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) Pendidikan Tinggi di bawah Inisiatif 1 yang menumpukan pada peningkatan kapasiti rangkaian digital di institusi pendidikan melalui Malaysian Research and Education Network (MYREN).
Mengangkat tema "Menebak Evolusi Digital untuk Pendidikan Mampan - Foresighting Digital Evolution for Sustainable Education", persidangan dua (2) hari bermula semalam tersebut berjaya menarik penyertaan 157 orang peserta dengan 29 jumlah kertas kerja telah berjaya dibentangkan oleh 27 orang pembentang dalam membincangkan hala tuju transformasi digital sektor pendidikan tinggi negara.
"Persidangan ini telah menyaksikan pembentangan yang merangkumi topik-topik penting seperti Kecerdasan Buatan (AI), Infrastruktur Digital, Big Data, Keselamatan ICT dan konsep Kampus Pintar.
“Ia merupakan satu perkembangan yang sangat relevan dengan masa hadapan yang lebih inovatif dan berimpak tinggi," ujar Datuk Mohamad Azhan lagi.
Hadir sama Ketua Pegawai Digital USM, Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan; serta
Ketua-ketua Pegawai Digital Universiti seluruh Malaysia.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1714