Permohonan UPUOnline Sesi Akademik (2024/2025) Dilanjutkan Sehingga 10 Jun 2024
"Permohonan UPUOnline Sesi Akademik (2024/2025) kini dilanjutkan sehingga 10 Jun 2024 (Isnin)," demikian berita gembira yang telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud semasa berucap dalam perasmian Penutup Program Jom Masuk U (JMU2024) di sini hari ini.
YB Timbalan Menteri berkata, setelah mempertimbangkan permintaan dan keperluan calon-calon yang masih belum memuktamadkan permohonan UPUOnline bagi sesi akademik 2024/2025, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melanjutkan tarikh permohonan UPUOnline sehingga 10 Jun 2024 (Isnin).
Terdahulu, permohonan UPUOnline Fasa 1 telah dibuka pada 29 Februari 2024 hingga 29 Mac 2024 manakala dibuka semula melalui Fasa 2 bermula 29 April 2024 dan dijadualkan sepatutnya berakhir pada hari ini (9 Jun 2024), jam 5.00 petang.
Dalam pada itu, terdapat sebanyak 504 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,114 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM/Setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara menjadikan keseluruhannya sebanyak 1,618 program akademik ditawarkan melalui UPUOnline.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil pendekatan mewujudkan program JMU sebagai platform membolehkan pelajar, ibu bapa, pendidik, kaunselor dan masyarakat umum untuk mendapatkan maklumat berkenaan peluang pengajian dan pembiayaan yang ditawarkan oleh IPTA, IPTS, ILKA, ILKS dan agensi pembiaya secara langsung di bawah satu bumbung.
Justeru, JMU kini merupakan acara tahunan KPT sejajar dengan aspirasi Kementerian melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi (2015 –2025), di bawah Lonjakan 10: Transformasi Penyampaian Pendidikan Tinggi.
Semua calon lepasan SPM 2023 dinasihatkan untuk mengambil peluang pelanjutan permohonan mengisi UPUOnline sebelum permohonan ditutup berakhir jam 12.00 tengah hari esok.
Pelajar-pelajar di sekitar Kota Kinabalu pula digesa merebut peluang keemasan datang ke tapak program untuk mendapatkan Pin UPU selain mendapatkan khidmat nasihat pengajian bersesuaian dengan keputusan pelajaran yang diperolehi.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Sabah, kampus Kota Kinabalu melengkapkan destinasi 10 zon program JMU2024 tahun ini dan bas percuma turut disediakan khususnya kepada masyarakat di sekitar Kota Kinabalu sehingga jam 5.00 petang ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1616