Perjanjian Fulbright Diperbaharui, AS Sumbang Dana 'Smart' RM2.1 Juta Pacu Inovasi AI
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengorak langkah proaktif untuk memperkasa penyelidikan dan inovasi dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI) selaras dengan agenda pendidikan kalis masa hadapan negara.
Komitmen ini direalisasikan melalui pengumuman Dana ‘Strategic Malaysia-America Resources for Technology’ (SMART) bernilai RM2.1 juta ($500,000) sumbangan Kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Dana baharu itu diumumkan semasa majlis 'Fulbright SMART Futures' di ibu negara petang tadi, yang turut menyaksikan pembaharuan perjanjian Fulbright antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Program Fulbright, yang ditubuhkan pada 1946, merupakan program pertukaran akademik antarabangsa utama Kerajaan Amerika Syarikat bertujuan meningkatkan persefahaman bersama serta menyokong hubungan mesra dan damai antara rakyat AS dan rakyat negara lain.
Di Malaysia, program yang menjadi asas diplomasi akademik dan budaya AS tersebut telah ditadbir oleh Suruhanjaya Malaysia-Amerika mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) sejak 1963, membolehkan rakyat Malaysia mengajar, belajar, dan menjalankan penyelidikan di Amerika Syarikat.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, hadir menyaksikan detik bersejarah itu yang membuka lembaran baharu kerjasama teknologi tinggi kedua-dua negara.
Menurut YB Menteri, inisiatif ini mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI dan sejajar dengan visi Malaysia untuk menerajui teknologi serantau.
Dana SMART yang akan dipacu perlaksanaannya oleh MACEE itu diperuntukkan khusus untuk program pertukaran Fulbright bagi menyokong penyelidikan dan inovasi dalam AI serta kemunculan teknologi baharu.
Hadir sama Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, TYT Edgard D. Kagan; Timbalan Penolong Setiausaha Jabatan Negara AS untuk Hal Ehwal Asia Tenggara dan ASEAN, Hunt Vandertoll; dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 200